Kisah Kematian Menyayat Hati Oksana Makar

Pada malam 9 Mac 2012 bertempat di negara Ukraine, Oksana Makar, seorang gadis berusia 18 tahun telah bertemu dengan tiga orang lelaki berusia awal 20-an di sebuah kafe di bandar Mykolaiv. Ketiga-tiga lelaki tersebut dikenali sebagai Yevhen Krasnoshchok, Maksym Prysiazhniuk dan Artem Pohosian. Selepas dipelawa ke sebuah pangsapuri milik salah seorang daripada mereka, Oksana telah dirogol secara bergilir-gilir. Apabila Oksana mula melawan dan mengugut untuk melaporkan perbuatan mereka kepada pihak polis, suspek bertindak mencekik mangsa sehingga pengsan.

Maka dalam cubaan untuk melupuskan bukti, mereka membungkus tubuh Oksana yang dianggap sudah mati ke dalam selimut dan membawanya ke tapak pembinaan terbiar. Di sana, mereka bertindak membakar mangsa hidup-hidup menggunakan timbunan sampah yang mudah terbakar. Oksana dibiarkan di situ selama kira-kira 10 jam dalam keadaan yang amat mengerikan. Walau bagaimanapun, Oksana secara ajaib masih bernyawa sebelum ditemui oleh seorang lelaki yang kebetulan lalu di kawasan tersebut pada pagi 10 Mac 2012.
Apabila berita mengenai kes ini tersebar, ia mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan rakyat Ukraine. Kontroversi memuncak apabila pihak polis Mykolaiv bertindak membebaskan dua daripada tiga suspek dengan ikat jamin sejurus selepas penahanan awal mereka. Rakyat mendakwa pembebasan tersebut berlaku kerana suspek dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pegawai kerajaan dan golongan elit tempatan. Tindakan ini disifatkan sebagai bukti budaya imuniti bagi golongan kaya dan berpengaruh di Ukraine.

Protes besar-besaran tercetus di bandar Mykolaiv dan beberapa bandar lain di seluru negara bagi menuntut keadilan untuk Oksana. Tekanan orang awam yang meluas selain ditambah dengan campur tangan Presiden Ukraine pada ketika itu memaksa pihak berkuasa untuk menahan semula kesemua suspek dan menjalankan siasatan yang lebih telus. Beberapa pegawai polis tempatan juga dipecat kerana kecuaian dalam mengendalikan kes tersebut.
Oksana menerima rawatan rapi di Pusat Rawatan Kebakaran Donetsk di mana dia menjalani pembedahan amputasi pada bahagian kaki dan tangan akibat jangkitan kuman yang merebak daripada kecederaan bakaran yang sangat teruk. Meskipun semangatnya untuk hidup dipuji ramai, tubuhnya tidak lagi mampu menahan penderitaan tersebut. Pada 29 Mac 2012 yakni kira-kira tiga minggu selepas serangan, Oksana disahkan meninggal dunia akibat kegagalan organ pelbagai, keradangan otak dan pendarahan pulmonari.

Perbicaraan kes ini bermula pada Mei 2012 di Mahkamah Daerah Mykolaiv. Semasa perbicaraan, ketiga-tiga suspek didapati bersalah atas pertuduhan merogol dan membunuh. Pada 27 November 2012, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Yevhen Krasnoshchok. Sementara itu, dua orang rakannya, Maksym Prysiazhniuk dan Artem Pohosian, masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan 14 tahun. Hukuman ini kekal selepas beberapa siri rayuan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dalam tahun-tahun berikutnya.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Menyayat Hati Oksana Makar"