KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARINA BUDUCHAN

Pada bulan Januari 2009, satu kes pembunuhan ngeri dan kejam tekah berlaku di Saint Petersburg, Rusia. Mangsa iaitu seorang gadis berusia 16 tahun bernama Karina Buduchan telah menjadi korban kepada dua individu yang terbabit dalam aktiviti jenayah yang sukar untuk diterima oleh akal fikiran manusia.
Karina Buduchan merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang aktif dan bercita-cita tinggi. Pada 19 Januari 2009, gadis itu telah keluar dari rumahnya untuk ke sekolah namun tidak pernah pulang. Siasatan polis kemudian mendapati bahawa Karina secara sukarela telah mengikut dua kenalannya yang bernama Maxim Golovatskiy (19 tahun) dan Yuri Mozhnov (19 tahun) ke sebuah pangsapuri yang disewa oleh seorang rakan mereka. Maxim bekerja sebagai seorang penyembelih di pasar jalanan . Sementara itu, Yuri merupakan seorang penjual bunga yang dikenali dalam kalangan komuniti subkultur di bandar tersebut.

Menurut pihak pendakwa raya yakni selepas sesi minum yang berlanjutan sehingga larut malam, satu pertelingkahan telah tercetus antara Karina dan Maxim. Maka dalam keadaan yang masih tidak jelas sepenuhnya, kedua-dua suspek bertindak nekad dengan menenggelamkan Karina di dalam tab mandi hingga mangsa meninggal dunia. Kekejaman mereka bagaimanapun tidak terhenti di situ. Selepas memastikan mangsa tidak bernyawa, mereka bertindak memotong tubuh gadis malang itu dengan menggunakan kepakaran Maxim sebagai penyembelih. Sebahagian daripada anggota badan mangsa telah dimasak bersama kentang serta bawang untuk dijadikan hidangan manakala sisa anggota tubuh yang lain dibuang ke dalam beg plastik dan diselerakkan di sekitar daerah tersebut.

Lebih menjijikkan adalah tindakan suspek yang menghidangkan masakan tersebut kepada rakan serumah mereka tanpa pengetahuan rakan tersebut mengenai kandungan sebenar hidangan itu. Apabila disoal siasat oleh pihak berkuasa selepas penahanan mereka, alasan yang diberikan oleh kedua-dua suspek adalah amat tidak masuk akal. Maxim dan Yuri mendakwa bahawa mereka memakan daging tersebut semata-mata kerana mereka berasa lapar dan tiada bekalan makanan lain di rumah.
Siasatan pihak polis menjadi lebih mendalam apabila mereka menemui kesan darah pada sistem perpaipan dan papan lantai di pangsapuri tersebut. Bukti fizikal ini yang digabungkan dengan pengakuan suspek telah mengukuhkan kes terhadap kedua-dua lelaki itu. Pihak berkuasa turut mendapati bahawa kedua-dua suspek mempunyai latar belakang yang meresahkan. Maxim pernah menerima rawatan di hospital psikiatri manakala Yuri pula mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rompakan pada tahun 2005.

Pada bulan Mei 2010, Mahkamah Bandar Saint Petersburg telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh. Maxim Golovatskiy dijatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun. Yuri Mozhnov pula menerima hukuman penjara selama 18 tahun. Kedua-duanya diperintahkan untuk menjalani hukuman di penjara berstatus keselamatan maksimum. Walau bagaimanapun, pengakhiran hidup Maxim Golovatskiy berlaku di dalam penjara. Pada Mac 2017, lapan tahun selepas menjalani hukuman, dia dilaporkan meninggal dunia akibat menggantung diri di dalam selnya.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARINA BUDUCHAN"