Kisah Kematian Aneh Gabriela Murat dan Marcos Marones

     Kes yang berlaku di bandar Porto Alegre, Brazil pada bulan November 2006 ini membabitkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bernama Gabriela Murat bersama guru pianonya yang berusia 31 tahun iaitu Marcos Marones Junior. 

     Gabriela dilahirkan pada tahun 1993 dalam sebuah keluarga kelas pertengahan tinggi di Porto Alegre. Dia terkenal sebagai seorang remaja yang bijak, ceria serta mempunyai pelbagai kebolehan. Selain cemerlang dalam akademik, Gabriela juga menonjol dalam bidang sukan bola tampar berikutan ketinggian fizikalnya yang mencapai kira-kira 1.80 meter pada usia yang masih muda. Minatnya yang mendalam terhadap seni muzik, terutamanya piano mendorong ibu bapanya menghantarnya ke sebuah konservatori muzik berprestij di bandar tersebut. Di sinilah dia mula bertemu dengan Marcos Marones, pemilik institut merangkap guru yang dipertanggungjawabkan untuk membimbing bakat muziknya.

      Marcos pula dikenali sebagai seorang pemuzik profesional yang menuntut kesempurnaan dalam kerjayanya, namun beliau sebenarnya sedang berdepan dengan konflik peribadi yang rumit akibat penceraian bersama isterinya. Pada peringkat awal, interaksi antara guru dan anak murid itu berjalan seperti biasa dan tertumpu sepenuhnya kepada latihan piano. Walau bagaimanapun, perbualan mereka perlahan-lahan beralih ke arah peribadi melalui pertukaran mesej ringkas dan panggilan telefon yang kerap. Hubungan yang asalnya itu mula melangkaui batas tanpa disedari oleh ahli keluarga mahupun rakan-rakan terdekat mereka.

      Seiring dengan berjalannya masa, perubahan ketara mula berlaku pada diri Gabriela. Remaja yang dahulunya periang dan mesra itu mula menunjukkan tanda-tanda mengasingkan diri, kurang berinteraksi dengan rakan sekolah serta menunjukkan obses yang melampau terhadap gurunya. Menjelang Ogos 2006, Gabriela akhirnya mendedahkan kepada rakan karibnya bahawa dia mempunyai perancangan untuk melarikan diri bersama Marcos kerana yakin hubungan mereka tidak akan direstui oleh ibu bapanya. Rakan yang ketakutan itu segera memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa Gabriela bagi menyelamatkan keadaan.

      Ibu bapa Gabriela bertindak dengan pantas sebaik sahaja mendapat tahu tentang perancangan tersebut. Mereka melarang anak perempuan mereka daripada keluar bersendirian, merampas telefon bimbitnya, mengeluarkan beliau dari konservatori terbabit serta mendapatkan khidmat kaunseling keluarga. Walau bagaimanapun, langkah pencegahan itu menemui jalan buntu apabila Gabriela terus mencari pelbagai ikhtiar untuk berhubung secara diam-diam dengan Marcos menggunakan peranti milik rakan sekolahnya. Hubungan sulit itu diteruskan secara tersembunyi di tengah-tengah kawalan ketat keluarga.

      Kemuncak kepada episod duka ini bermula pada pagi Jumaat, 17 November 2006 apabila Gabriela menunjukkan tingkah laku luar biasa di sekolah seperti termenung jauh, kerap menangi dan menghabiskan masa yang lama di bilik air. Sekembali dari sekolah pada waktu tengah hari, remaja itu tiba-tiba hilang dari rumah tanpa jejak. Bapa Gabriela segera membuat laporan polis rasmi mengenai kehilangan anaknya dan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap bekas guru piano tersebut. Pihak polis Wilayah Sivil segera melancarkan operasi besar-besaran bagi menjejaki kedudukan Gabriela dan Marcos di sekitar bandar Porto Alegre.

      Misteri kehilangan tersebut akhirnya terjawab pada pagi Ahad, 19 November 2006 apabila pihak pengurusan sebuah motel di Porto Alegre berasa curiga terhadap sebuah bilik yang dihuni sejak petang Jumaat dan gagal dihubungi untuk daftar keluar. Selepas berulang kali mengetuk pintu tanpa jawapan, pekerja motel menggunakan kunci pendua untuk masuk ke dalam bilik berkenaan. Mereka terkejut besar apabila mendapati Gabriela dan Marcos terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah serta hampir tidak berpakaian yakni lengkap dengan senjata api di tangan masing-masing. Gabriela mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.


      Pasukan perubatan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan dan membawa kedua-dua mangsa ke hospital terdekat. Nyawa Gabriela bagaimanapun tidak dapat diselamatkan apabila dia disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Sementara itu, Marcos pula meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat kecederaan parah yang dialaminya. Penemuan dua pucuk senjata api berkaliber .32 dan .38, bersama-sama dengan nota bertulis yang ditinggalkan di dalam bilik motel tersebut mengubah keseluruhan fokus siasatan polis daripada kes orang hilang kepada siasatan jenayah berat.

      Pasukan forensik dan pegawai penyiasat menjalankan analisis menyeluruh terhadap kedudukan mayat, trajektori tembakan serta isi kandungan nota yang ditinggalkan oleh mangsa. Berdasarkan bukti fizikal dan keterangan saksi yang dikumpul, pihak berkuasa Polis Sivil mengumumkan kesimpulan rasmi pada Januari 2007 bahawa kejadian tersebut berpunca daripada perjanjian bersama untuk membunuh diri atau pakatan bunuh diri antara kedua-dua individu terbabit. Pihak polis secara rasmi menolak teori pembunuhan yang disusuli bunuh diri atau kemalangan.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Aneh Gabriela Murat dan Marcos Marones"