Anak Bunuh Ibu Kandung Hanya Kerana Dikejutkan Solat Subuh
![]() |
| Gambar sekadar hiasan (Janaan AI) |
INDONESIA – Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan pihak polis kerana disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dalam satu kejadian kejam di Desa Wanasaraya, Kecamatan Kalimanggis, Kabupaten Kuningan pada Sabtu lalu.
Pihak polis mengesahkan bahawa kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 5.00 pagi. Suspek yang merupakan anak kelima dalam keluarga dan menetap di Brebes bersama isterinya itu difahamkan sedang melawat rumah ibunya, Rusti, 77 tahun sebelum insiden tersebut berlaku.
Menurut siasatan awal, punca kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang berang apabila dikejutkan oleh ibunya untuk menunaikan solat Subuh. Hilang pertimbangan diri, suspek bertindak memukul kepala ibunya menggunakan tukul besi sebelum mencampakkan mangsa ke dalam perigi di sisi rumah. Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di dalam perigi tersebut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Sejurus selepas melakukan perbuatan kejam itu, suspek melarikan diri ke rumah isterinya di Desa Lemahabang, Kecamatan Tanjung, Kabupaten Brebes bagi menyembunyikan diri. Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya mengesan kedudukan suspek dan melakukan tangkapan pada hari yang sama. Suspek ditangkap mengikut prosedur tanpa sebarang perlawanan fizikal.
Hasil serbuan, polis merampas barang bukti berupa tukul besi yang digunakan untuk membunuh serta pakaian suspek. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Pasal 458 ayat 1 dan 2 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun. Pihak polis turut memaklumkan bahawa hukuman tersebut boleh ditambah sebanyak satu pertiga lagi memandangkan mangsa merupakan ibu kandung suspek.
Berhubung spekulasi orang ramai mengenai status kesihatan mental suspek, pihak polis menegaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang rekod perubatan rasmi yang mengesahkan suspek mengalami gangguan jiwa.
"Hingga setakat ini, tiada bukti formal mengenai dakwaan gangguan jiwa namun pihak kami akan memanggil pakar psikiatri untuk menjalani pemeriksaan kejiwaan terhadap suspek bagi memastikan tahap kewarasannya. Kami juga sedang menyiasat punca sebenar mengapa suspek memilih untuk tinggal bersama ibunya sejak kebelakangan ini walaupun sudah mempunyai isteri," jelasnya lagi.

Catat Ulasan for " Anak Bunuh Ibu Kandung Hanya Kerana Dikejutkan Solat Subuh"