Bunuh Dua Anak Demi Wang Pampasan: Wanita Vietnam Dihukum Penjara Seumur Hidup

VIETNAM — Mahkamah Rakyat Bandar Da Nang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang wanita berusia 45 tahun kerana membunuh anak kandungnya yang berusia lima tahun serta menipu pampasan insurans hayat bernilai lebih 4.1 bilion dong (sekitar RM600 000) dengan merancang kematian mangsa agar kelihatan seperti kes lemas secara tidak sengaja.
Tertuduh iaitu To Thi Ty Na dari Komun Thang Binh didapati bersalah atas pertuduhan membunuh dan melakukan penipuan perniagaan insurans. Mahkamah mengenakan hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan membunuh dan penjara enam tahun bagi kesalahan penipuan insurans yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup secara keseluruhan mengikut undang-undang Vietnam.
Menurut kertas pertuduhan, pihak polis pada mulanya menerima laporan pada 3 Januari 2023 bahawa anak lelaki Na yang lahir pada 2017 ditemui mati dalam baldi di bilik air rumah keluarga itu pada malam sebelumnya. Namun saudara kepada mangsa, Nguyen Thi Bich Tam membuat laporan kepada pihak berkuasa pada hari yang sama kerana berasa curiga selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan arah kamera telah dialihkan dengan sengaja oleh Na sebelum kejadian.
Tam turut memaklumkan bahawa seorang lagi anak Na pernah meninggal dunia dalam keadaan hampir serupa pada 2021 akibat lemas di dalam baldi di bilik air yang mana Na kemudiannya menerima pampasan insurans melebihi 2 bilion dong (sekitar RM300 000). Persamaan antara kedua-dua kes kematian tersebut mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Siasatan mendapati hanya Na dan anaknya sahaja yang berada di dalalm rumah sebelum, semasa dan selepas kejadian. Keterangan forensik dan bedah siasat turut menolak dakwaan lemas secara tidak sengaja kerana saiz mangsa tidak selari dengan kapasiti baldi selain menemui kesan lebam pada tubuh mangsa akibat pergelutan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Na sengaja menghalakan kamera keselamatan ke arah dinding sebelum memanggil anaknya masuk ke bilik air dan menekup kepala mangsa ke dalam baldi sehingga mati. Tertuduh kemudiannya merekayasa tempat kejadian agar kelihatan seperti kemalangan, menukar pakaian, mengeringkan tangan serta rambut menggunakan pengering rambut, dan bertindak seolah-olah sedang tidur sebelum mayat mangsa ditemui oleh kakaknya yang pulang ke rumah lewat malam itu.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Na pernah menjalani hukuman penjara selama 40 bulan atas kesalahan mencuri sebelum mendirikan rumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Selepas suaminya meninggal dunia pada 2020, Na berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa menjual rumah keluarga bagi menampung perbelanjaan harian. Tertuduh kemudiannya membeli tujuh polisi insurans hayat untuk keempat-empat anaknya dengan bayaran premium tahunan melebihi 100 juta dong dan meletakkan dirinya sebagai benefisiari tunggal.
Selepas kematian anak bongsunya, Na membuat pengisytiharan palsu kononnya mangsa lemas secara tidak sengaja bagi membolehkannya menuntut pampasan daripada dua syarikat insurans berbeza berjumlah lebih 4.1 bilion dong yang kesemuanya telah dibelanjakan untuk kegunaan peribadi. Semasa perbicaraan, Na terus menafikan pertuduhan dan memohon mahkamah membenarkannya kembali kepada keluarga. Selepas meneliti segala bahan bukti dan hujah, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan tertuduh tanpa sebarang keraguan sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.
Catat Ulasan for "Bunuh Dua Anak Demi Wang Pampasan: Wanita Vietnam Dihukum Penjara Seumur Hidup"