KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SILVI AYU NUGRAHA

     Pada bulan Ogos 2021 bertempat di Semarang, Indonesia, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku yang melibatkan seorang wanita bernama Silvi Ayu Nugraha, 22 tahun. Dia telah dibunuh oleh teman lelakinya sendiri iaitu Agung Dwi Saputro, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang masih menuntut di bangku sekolah menengah pada waktu itu.

     Perkenalan mereka bermula secara tidak sengaja pada tahun 2020 di sebuah warung makanan di Solo, Jawa Tengah. Pertemuan santai itu perlahan-lahan bertukar menjadi hubungan cinta. Namun sejak awal lagi, hubungan tersebut mendapat tentangan daripada pihak keluarga lelaki kerana faktor perbezaan usia yang ketara serta kebimbangan terhadap masa depan akademik Agung. Disebabkan tentangan tersebut, pasangan ini memilih untuk meneruskan hubungan secara rahsia di mana mereka sering menghabiskan masa berdua di bilik sewa Silvi yang akhirnya membawa kepada titik hitam apabila Silvi disahkan hamil akibat terlanjur.

      Berita kehamilan tersebut mencetuskan panik yang mendalam kepada Agung yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap, masih bersekolah dan dihimpit rasa takut terhadap keluarganya. Maka dalam keadaan tertekan, Agung dilaporkan sempat mendesak Silvi supaya menggugurkan kandungan tersebut tetapi ditolak mentah-mentah oleh Silvi yang bertegas mahu mempertahankan bayi berkenaan. Konflik itu yang terus berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian matang akhirnya mendorong mereka mengambil keputusan drastik untuk melarikan diri ke Semarang pada akhir Mei 2021 bagi memulakan hidup berdua jauh daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

     Di kota Semarang, kehidupan mereka jauh daripada kesenangan dan dihimpit masalah kewangan. Mereka menyewa sebuah bilik di Jalan WR Supratman, Kelurahan Simongan di mana Agung memperkenalkan Silvi kepada pemilik rumah sewa sebagai isterinya bagi mengelakkan kecurigaan. Bagi menyara kehidupan seharian, Agung bekerja sekadar mencari barangan lusuh atau barangan kitar semulam Beban hidup bertambah berat apabila usia kandungan Silvi mencecah peringkat akhir atau trimester ketiga. Silvie sering mengalami keletihan melampau, kesakitan fizikal pada bahagian pinggang dan kesukaran untuk bergerak sekali gus menyebabkannya sangat bergantung kepada bantuan Agung untuk melakukan pelbagai urusan harian termasuklah ketika hendak ke tandas.


     Puncak kepada kejadian ini berlaku pada hari Jumaat, 20 Ogos 2021 yakni di dalam bilik sewa mereka. Pada waktu itu, Agung sedang khusyuk bermain permainan video di telefon pintarnya apabila Silvi berulang kali meminta tolong ditemani ke tandas kerana bimbang tergelincir akibat keadaan fizikalnya yang sarat. Rasa terganggu, penat dan emosi yang gagal dikawal menyebabkan Agung hilang kesabaran secara mendadak. Didorong oleh perasaan benci akibat tumpuan permainannya terganggu serta dendam terpendam kerana mangsa enggan menggugurkan kandungan, Agung bertindak kejam dengan melancarkan serangan fizikal yang sangat kejam terhadap wanita yang sedang sarat mengandung sembilan bulan itu.

      Berdasarkan laporan siasatan forensik dan bedah siasat, Agung telah menekup mulut serta hidung Silvi dengan kuat selama hampir sejam, menghentakkan kepala Silvi ke dinding beberapa kali sehingga meninggalkan kesan lebam dan berdarah. Paling mengerikan, Agung menekan perut Silvi dengan lutut serta memijak bahagian perut teman wanitanya itu secara berulang kali. Serangan ganas itu menyebabkan organ dalaman Silvi rosak teruk manakala bayi di dalam kandungan turut mengalami kecederaan parah. Selepas Silvi terkulai kaku dan tidak lagi bernyawa, Agung sengaja menyimbah air ke bahagian kepala mangsa bagi mengaburi mata pihak luar kononnya mangsa rebah secara tiba-tiba.

     Selepas memastikan mangsa meninggal dunia, Agung merangka sandiwara licik dengan keluar meminta pertolongan daripada jiran tetangga sejurus selepas selesai waktu solat Jumaat dengan mendakwa dia baru sahaja menemui teman wanitanya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Walau bagaimanapun, lakonan semata-mata itu gagal menipu pihak berkuasa. Jiran tetangga mula curiga kerana pada sebelah pagi Silvi masih kelihatan sihat manakala keterangan yang diberikan oleh Agung bercanggah serta mencurigakan. Pihak polis yang bergegas ke lokasi kejadian segera menahan suspek dan merampas bahan bukti. Hasil bedah siasat forensik merungkai seluruh kebenaran apabila mendapati kematian Silvi berpunca daripada serangan fizikal yang ekstrem dan terancang sekali gus memaksa Agung membuat pengakuan penuh di balai polis. 

      Agung Dwi Saputro telah didakwa di bawah peruntukan undang-undang berat termasuk Pasal 340 KUHP bagi kesalahan pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau 20 tahun penjara. Cuma disebabkan pelaku berusia 17 tahun ketika kejadian, hukumannya tertakluk kepada akta pesalah di bawah umur yang lazimnya memperuntukkan separuh daripada hukuman maksimum dewasa serta penahanan di institusi khas juvana.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SILVI AYU NUGRAHA"