PERNAH CETUS KONTROVESI PECAHKAN PATUNG KEAGAMAAN, PEMPENGARUH INI MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEMALANGAN

     CHINA — Pempengaruh media sosial iaitu Jiang Xiaorou meninggal dunia pada usia 24 tahun selepas hampir sebulan bertarung nyawa akibat kecederaan parah dalam satu kemalangan jalan raya. Kematiannya telah disahkan secara rasmi oleh pihak keluarga pada 10 Ogos lalu. 

     Kejadian tu berlaku pada jam 7:00 pagi, 15 Julai lepas ketika Jiang menaiki sebuah kenderaan persendirian dalam perjalanan dari Guangxi menuju ke Guangzhou di selatan China. Mengikut rekod perubatan mangsa, impak kuat daripada kemalangan tersebut menyebabkannya mengalami kecederaan otak yang teruk, kejutan hemoragik, masalah pembekuan darah serta kegagalan pelbagai organ. Dia kemudiannya diletakkan di bawah alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Guangzhou. Meskipun doktor berusaha memberikan rawatan rapi selama sebulan, mangsa gagal sedarkan diri sebelum disahkan menghembuskan nafas terakhir. Berita duka ini mula tersebar luas selepas pembantunya membuat hantaran di media sosial yang kemudian diperakui oleh pihak keluarga. 

     Semasa hayatnya, wanita yang mempunyai nama sebenar Li dan berasal dari Kaunti Lanshan, Yongzhou, wilayah Hunan ini sangat terkenal di platform Douyin (TikTok versi China) dengan meraih sehingga 1.3 juta pengikut. Kandungan video yang diusahakannya sering mengetengahkan aksi penjelajahan bangunan terbiar, pencarian elemen ghaib serta cabaran terbuka terhadap tabu dan kepercayaan masyarakat tempatan. 

     Nama Jiang pernah mencetuskan kontroversi hangat apabila dia memuat naik rakaman video merosakkan patung suci Buddha iaitu Guanyin menggunakan tukul besi sambil mencabar kewujudan kutukan Tuhan (Video di hujung artikel). Disebabkan itu, segelintir pihak mengaitkan kemalangan tersebut sebagai balasan satu pembalasan. Walau bagaimanapun, portal berita United Daily News menegaskan bahawa tiada sebarang bukti saintifik yang mengaitkan insiden kemalangan itu dengan kontroversi berkenaan. 

      Di sebalik popularitinya, keluarga mangsa dilaporkan berdepan dengan beban kewangan yang tinggi akibat kos perubatannya sepanjang dirawat di hospital hingga mendorong ibunya merayu bantuan kewangan daripada orang ramai. Susulan pengesahan pemergian itu, pihak keluarga merayu agar orang ramai menghentikan sebarang spekulasi liar serta menghormati privasi si mati. Hingga setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut dan belum mengeluarkan sebarang laporan rasmi berhubung punca sebenar kemalangan tersebut.



Catat Ulasan for "PERNAH CETUS KONTROVESI PECAHKAN PATUNG KEAGAMAAN, PEMPENGARUH INI MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEMALANGAN"