Kes Pembunuhan Kejam Julia Rizki Ramadani

     Kes ini berlaku di Merauke, Papua Selatan di mana seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya berusia 11 tahun bernama Julia Rizki Ramadani atau lebih mesra dipanggil Kiki telah menjadi mangsa pembunuhan kejam.

     Kiki merupakan seorang kanak-kanak istimewa yang mengalami masalah pendengaran serta pertuturan. Walaupun mempunyai keterbatasan fizikal, dia dikenali sebagai seorang murid yang ceria dan pandai. Kiki tinggal di sebuah rumah sederhana di Gang Haji Kasim, Kelurahan Seringgu Jaya bersama ibu bapanya iaitu Maulana Papuntungan dan Ratna serta dua orang adiknya. Pada pertengahan November 2025, guru-guru di sekolahnya sempat merasai kelainan apabila Kiki tiba-tiba kelihatan murung dan tidak bersemangat seperti kebiasaannya.

      Kejadian bermula pada pagi Khamis, 27 November 2025 apabila ibunya, Ratna mendapati Kiki sudah tiada di dalam bilik tidur yang dikongsi bersama adik-adiknya. Panik dengan kehilangan itu, keluarga bersama-sama penduduk sekitar segera menjalankan operasi pencarian. Tidak lama kemudian, mayat Kiki ditemui di kawasan berumput tebal di Gang Evadekai yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari kediaman mereka. Keadaan fizikal mangsa ketika ditemui amat menyayat hati di mana tubuh kecilnya dipenuhi kesan tetakan senjata tajam, bahagian kepala nyaris terpisah daripada badan serta bahagian lutut patah. Penemuan ini menimbulkan kesedihan yang mendalam dalam kalangan penduduk Papua Selatan yang kemudiannya mengadakan perhimpunan solidariti, majlis doa bersama serta kutipan derma bagi meringankan beban keluarga Kiki.

     Sejak hari pertama penemuan mayat, kes ini diliputi pelbagai tanda tanya dan kejanggalan. Bapa mangsa, Maulana Papuntungan aktif tampil di media serta majlis awam untuk menuntut keadilan, mendesak agar keselamatan kanak-kanak di Merauke diperketat dan mendakwa kejadian itu berlaku serentak dengan kes pecah rumah serta kecurian di kedai miliknya. Walau bagaimanapun, sikap Maulana mendapat kecaman hebat daripada warga maya kerana ekspresinya yang dianggap ganjil yakni kelihatan tenang, mampu tersenyum dan tidak menitiskan air mata walaupun baru sahaja kehilangan anak kandung dengan cara yang begitu kejam. Di samping itu, siasatan pihak polis terpaksa berdepan jalan berliku dan memakan masa selama sembilan bulan lamanya sebelum petunjuk kukuh berjaya dikumpul.


      Penyelidikan yang digerakkan semula secara intensif pihak polis Merauke pada Ogos 2026 akhirnya membuahkan hasil. Pada 19 Ogos 2026, pihak polis secara rasmi mengumumkan penahanan dan penetapan Maulana Papuntungan sendiri sebagai suspek utama pembunuhan tersebut. Keputusan ini dibuat berdasarkan dua bukti yang kukuh. Bukti yang dimaksudkan ialah keterangan saksi-saksi serta laporan saksi ahli termasuk pakar psikiatri yang merumuskan bahawa suspek mempunyai keupayaan mental untuk melakukan perbuatan kejam tersebut. Lebih mengejutkan lagi, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap Maulana mendapati lelaki terbabit positif mengambil dadah jenis ganja selain menjalankan perniagaan pembuatan minuman keras tradisional.


      Pihak berkuasa mendedahkan bahawa motif pembunuhan kejam ini berpunca daripada konflik atau permasalahan dalaman keluarga. Analisis forensik digital yang dijalankan ke atas telefon pintar suspek turut menguatkan bukti bahawa jenayah terbabit telah dirancang. Walaupun pelbagai bahan bukti fizikal seperti pakaian berlumuran darah dan tilam telah dirampas, pihak polis masih berhati-hati dalam mendedahkan butiran terperinci kronologi bagi menjaga integriti siasatan sebelum kes ini dibawa ke muka pengadilan. Sementara itu, ibu mangsa, Ratna buat masa ini masih diletakkan di bawah status sebagai saksi.

Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Julia Rizki Ramadani "