Kisah Obsesi Melampau Peminat Live Streamer yang Berakhir Dengan Letupan Bom

     Kisah ini berlaku di wilayah Hunan, China. Mangsa iaitu Lirina menjana pendapatan sebagai penstrim langsung (live streamer) separuh masa di platform media sosial popular untuk membesarkan anak perempuan tunggalnya selepas mengalami kegagalan perkahwinan.

     Pada sekitar tahun 2022, seorang lelaki bernama Yuan-chan mula menjejaki siaran langsungnya. Pada awalnya, lelaki itu hanyalah penonton yang pasif dan pendiam sebelum mula menghantar wang ganjaran sebanyak 1000 yuan (sekitar RM600). Mengikut budaya platform digital ketika itu, pemberi ganjaran tinggi lazimnya diberikan akses kepada media sosial peribadi penstrim. Walau bagaimanapun, Lirina tidak pernah menyangka bahawa kebaikan kecil itu akan menjadi titik permulaan kepada episod gangguan yang meragut ketenteraman hidupnya.

     Hubungan mula keruh pada Ogos 2023 apabila Yuan-chan secara misteri muncul di lokasi Lirina sedang melakukan siaran langsung luar tanpa pernah dimaklumkan tentang lokasinya. Hanya selepas sekali bertentang mata dan keluar makan bersama, lelaki terbabit secara melulu menganggap mereka sudah intim dan mendakwa telah menyediakan wang hantaran sebanyak 160 000 yuan (sekitar RM320 000) untuk melamar Lirina. Apabila Lirina menolak lamaran tersebut secara berhemah dengan menyatakan statusnya sebagai ibu tunggal yang tidak sepadan, Yuan Chan gagal menerima hakikat itu. Lelaki berkenaan menganggap penolakan itu sebagai satu bentuk penghinaan dan pengkhianatan yang besar.

     Dendam kesumat Yuan Chan dilakukan melalui siri gangguan berterusan yang merangkumi ugutan, penyebaran fitnah bagi memburuk-burukkan imej Lirina di internet, penyebaran maklumat palsu kepada peminat lain hinggalah kepada perbuatan khianat yang membahayakan nyawa. Dalam satu kejadian, Yuan Chan memasang perangkap paku tajam di bawah tayar kenderaan mangsa selain meletakkan bahan kimia menghakis di kawasan kediaman Lirina. Paling mengejutkan yakni ketika proses undang-undang dan aduan difailkan, kelemahan dalam prosedur birokrasi pendaftaran kes mendedahkan alamat peribadi Lirina kepada Yuan Chan.

     Kemuncak kepada dendam itu berlaku pada pagi 15 Oktober 2025. Ketika Lirina membuka pintu rumah untuk menghantar anaknya ke sekolah, dia mendapati sebuah bungkusan kotak misteri diletakkan di atas rak kasut. Selepas bungkusan itu dipegang, satu letupan dahsyat berlaku serta-merta. Bungkusan tersebut sebenarnya adalah bom buatan sendiri yang dipenuhi dengan bebola logam bagi memastikan kesan kerosakan maksimum. Letupan tersebut menyebabkan Lirina mengalami kecederaan melecur tahap teruk pada bahagian muka, leher dan lengannya. Sementara itu, anaknya terselamat tanpa kecederaan fizikal yang besar.

     Walaupun berjaya menyelamatkan diri daripada maut dan dirawat selama berbulan-bulan di hospital, Lirina terpaksa menanggung kesan fizikal yang kekal. Kulit wajahnya terjejas teruk, alah kepada sinaran cahaya matahari sekali gus mematikan terus kerjayanya sebagai penstrim luar. Penderitaan mentalnya turut ditambah dengan kecaman tidak beretika daripada segelintir warganet yang menyalahkan dirinya atas kejadian tersebut. Di peringkat perundangan, kes ini telah dibawa ke muka pengadilan di wilayah Hunan di mana suspek didakwa atas pertuduhan jenayah berat membahayakan keselamatan awam menggunakan kaedah letupan. Lirina pula dikatakan meneruskan kehidupannya secara senyap di tempat terpencil demi keselamatan anaknya.


Catat Ulasan for "Kisah Obsesi Melampau Peminat Live Streamer yang Berakhir Dengan Letupan Bom"