Skandal Kecuaian Polis Jeju Dalam Kes Jang Mi-ran Cetus Kemarahan Rakyat Korea Selatan


     Sejak sekian lama, Korea Selatan diletakkan sebagai salah sebuah negara paling selamat di peringkat global dengan kadar jenayah jalanan yang sangat rendah serta persekitaran yang membolehkan rakyat mahupun pelancong berjalan tanpa rasa bimbang walaupun pada lewat malam. Namun tanggapan selamat ini baru-baru ini digegarkan oleh satu kes yang berlaku di Pulau Jeju yakni destinasi. 

     Kejadian ini bermula pada pertengahan Mei 2026 apabila seorang wanita warga Korea Selatan berusia 37 tahun bernama Jang Miran dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah rumah tetamu di kawasan Aewol yang terletak di bahagian barat Pulau Jeju. Selepas tiga hari gagal dihubungi, pasangannya bertindak membuat laporan rasmi kepada pihak polis tempatan. Di bawah prosedur standard, polis sepatutnya melancarkan gerakan mencari, menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam yang bersepah di seluruh Korea Selatan serta mengesan isyarat telefon mangsa. Namun apa yang berlaku seterusnya adalah satu bentuk pengkhianatan yang mengejutkan.



     Pegawai polis yang ditugaskan mengendalikan kes tersebut yang dikenal pasti sebagai Pegawai Bu dari Balai Polis Jeju Barat telah bertindak menutup kes itu hanya dalam tempoh dua setengah jam selepas ia dibuka. Bagi mewajarkan tindakan tidak bertanggungjawab itu, pegawai terbabit memalsukan catatan rasmi di dalam sistem elektronik polis dengan mendakwa kononnya dia telah berhubung dengan Jang melalui panggilan telefon. Maklumat yang direkodkan, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan dia bertindak keluar secara sukarela. Rekod mangsa kemudiannya dipadamkan secara sengaja daripada pangkalan data orang hilang aktif. Akibat penutupan kes palsu ini, tiada sebarang operasi mencari dijalankan dan malapetaka terbesar berlaku terhadap bahan bukti fizikal.

      Di Korea Selatan, rakaman video keselamatan awam lazimnya ditimpa ganti secara automatik selepas tempoh 30 hari bagi menjimatkan ruang storan digital melainkan pihak polis secara rasmi memohon untuk membekukan dan mengarkibkannya. Disebabkan kes ditutup secara penipuan, lebih 100 rakaman CCTV di sekitar kawasan kehilangan Chang dibiarkan terpadam begitu sahaja selama beberapa minggu sekali gus melenyapkan petunjuk penting yang mampu merungkai ke mana mangsa pergi selepas meninggalkan tempat penginapannya. Selama lebih dua bulan, keluarga mangsa berdepan jalan buntu setiap kali cuba mendapatkan perkembangan kerana sistem memaparkan status kes sebagai telah selesai.


     Kebenaran hanya mula terbongkar pada lewat Julai apabila ahli keluarga yang lain mengambil inisiatif merentas ke ibu negara, Seoul untuk membuat laporan kehilangan baharu di jabatan polis yang berbeza. Tindakan ini mendorong pihak berkuasa pusat menjalankan audit menyeluruh terhadap fail asal. Apabila penyiasat dalaman menyemak rekod komunikasi Pegawai Bu serta talian balai polis, mereka mendapati hakikat mengejutkan bahawa tiada satu pun panggilan telefon pernah dibuat kepada atau daripada telefon Jang pada hari yang didakwa oleh pegawai tersebut. Malah isyarat telefon mangsa sebenarnya terpadam berhampiran sebuah pelabuhan tempatan beberapa jam selepas dia hilang dan tidak pernah dihidupkan semula.

     Susulan penemuan itu, Pegawai Bu ditahan serta-merta atas pertuduhan memalsukan dokumen elektronik rasmi dan melakukan pelepasan tugas yang berat. Siasatan dalaman yang lebih mendalam kemudiannya membuka satu kotak kes yang jauh lebih menakutkan. Audit mendapati bahawa tindakan menutup kes secara palsu bukanlah satu kes terpencil. Sepanjang perkhidmatannya, Pegawai Bu telah menutup hampir 300 kes dengan lebih 200 kes dan pelbagai laporan orang hilang dikesan ditamatkan secara tidak sah menggunakan kaedah catatan palsu yang serupa demi memenuhi metrik prestasi atau mengurangkan beban kerja atas kertas.


     Kesan daripada pendedahan ini, kemarahan rakyat Korea Selatan meletus hingga memaksa pimpinan tertinggi polis mengarahkan pembukaan semula ratusan kes orang hilang yang pernah dikendalikan oleh pegawai terbabit di samping mengerahkan unit pencarian besar-besaran di seluruh Pulau Jeju. Kemuncak pencarian pada 24 Ogos menyaksikan pasukan penyelamat menemui mayat manusia di sebuah ladang pokok palma di Aewol yang terletak hanya kira-kira 400 meter atau 10 minit berjalan kaki dari tempat penginapan asal mangsa. Keadaan mayat yang mengalami pereputan ekstrem akibat terdedah lebih tiga bulan dalam cuaca panas musim panas menyukarkan pengecaman awal sebelum barangan peribadi seperti gelang emas, pakaian dan telefon pintar mengesahkan identitinya sebagai Jang Miran.

     Meskipun keputusan bedah siasat forensik awal mendapati tiada tanda-tanda jelas perbuatan jenayah berat, pihak polis meneruskan siasatan jenayah menyeluruh sementara keluarga mangsa terus menolak spekulasi bahawa mangsa bertindak membunuh diri. Apa yang lebih membimbangkan ialah penemuan tragis ini tidak berdiri sendiri. Sepanjang tiga hari operasi menyemak semula kes-kes lama Pegawai Bu, pihak berkuasa turut menemui mayat tiga individu lain yang sebelum ini dilaporkan hilang dalam insiden berasingan. Penemuan empat mayat mangsa dalam tempoh tiga hari di sebuah pulau kecil secara langsung mendedahkan betapa buruknya kesan kecuaian awal pihak berkuasa terhadap keselamatan awam.

Catat Ulasan for "Skandal Kecuaian Polis Jeju Dalam Kes Jang Mi-ran Cetus Kemarahan Rakyat Korea Selatan"