Kisah Pembunuhan Kejam Tiga Adik-Beradik di Patras

      Kejadian ini bermula di bandar pesisir pantai Patras, Greece, apabila pasangan Roula Pispirigou dan suaminya iaitu Manos Daskalakis berdepan dengan siri kematian anak-anak mereka yang pada mulanya disifatkan sebagai musibah perubatan semula jadi. Mangsa pertama ialah anak kedua mereka, Malena yang meninggal dunia di hospital pada 13 April 2019 ketika baru berusia tiga tahun setengah. Malena pada ketika itu sedang menerima rawatan selepas disahkan menghidap leukemia akut. Walaupun laporan awal forensik mengaitkan kematiannya dengan kegagalan hati dan masalah jantung secara mendadak, tiada siapa yang menyangka ia adalah permulaan kepada episod hitam keluarga tersebut.

     Belum sempat luka kehilangan Malena sembuh sepenuhnya, pasangan ini diuji sekali lagi apabila anak bongsu mereka, Iris yang baru berusia enam bulan ditemui tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di dalam buaiannya pada 21 Mac 2021. Kematian bayi malang itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai edema pulmonari serta disyaki berpunca daripada masalah degupan jantung. Kehilangan dua orang anak dalam tempoh kurang daripada dua tahun ini mencetuskan simpati mendalam daripada orang sekeliling. Pada masa sama, hubungan rumah tangga Roula dan Manos pula semakin retak di ambang penceraian.

     Kemuncak kepada pendedahan jenayah ini berlaku pada 29 Januari 2022 apabila anak sulung pasangan itu, Georgina yang berusia sembilan tahun meninggal dunia di sebuah hospital kanak-kanak di Athens. Georgina sebenarnya sudah lama menderita komplikasi kesihatan yang teruk selepas mengalami episod henti jantung setahun sebelumnya yang menyebabkannya lumpuh kekal dan memerlukan penjagaan rapi. Namun selepas kematiann Georgina, ujian toksikologi yang dijalankan mendedahkan satu penemuan yang merubah landskap siasatan di mana kandungan dadah bius jenis ketamin yang terlalu tinggi dikesan di dalam darahnya. Pihak hospital mengesahkan bahawa ubat tersebut tidak pernah diberikan oleh mana-mana anggota perubatan sepanjang proses rawatan dan usaha menyelamatkan mangsa.

     Penemuan bahan terlarang itu mendorong pihak berkuasa polis Greece menahan Roula Pispirigou pada 30 Mac 2022 atas pertuduhan membunuh anaknya, Georgina. Penahanan tersebut mencetuskan kemarahan rakyat Greece hingga orang ramai berkumpul di luar kediaman Roula sekali gus memaksa pihak polis bertindak tegas mengawal keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Susulan penahanan itu, pihak pendakwaan mengarahkan agar kes kematian dua anak yang terdahulu (Malena dan Iris) dibuka semula untuk bedah siasat dan semakan pakar forensik bebas.

     Hasil semakan semula yang diumumkan pada pertengahan tahun 2022 membawa kepada pendedahan yang jauh lebih mengejutkan. Pakar patologi merumuskan bahawa Malena serta Iris sebenarnya telah mati akibat asfiksia akibat saluran pernafasan mereka disekat secara sengaja dan bukan disebabkan masalah kesihatan semula jadi seperti yang didakwa sebelum ini.

      Motif di sebalik pembunuhan kejam ini didorong oleh tekanan psikologi dan masalah rumah tangga yang teruk. Suami Roula, Manos dilaporkan sudah berulang kali berniat untuk meninggalkannya dan memfailkan perceraian akibat keretakan rumah tangga serta isu kecurangan. Pihak pendakwa raya membuktikan di mahkamah bahawa Roula bertindak membunuh anak-anak kandungnya sendiri secara sistematik sebagai satu bentuk manipulasi terancang. Dia menggunakan tragedi dan kesakitan anak-anak untuk menarik simpati serta menghalang suaminya daripada meninggalkan rumah tangga mereka.


     Selepas perbicaraan panjang yang melibatkan keterangan puluhan saksi, pakar perubatan dan bahan bukti saintifik, Mahkamah Jenayah Campuran Athens menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berganda terhadap Roula Pispirigou. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan Georgina pada awal 2024 disusuli dengan dua lagi hukuman penjara seumur hidup pada Mac 2025 selepas didapati bersalah atas pembunuhan dua anak kecilnya, Malena dan Iris.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Tiga Adik-Beradik di Patras"