Kisah Pembunuhan Kejam Vihozhonu Zao

     Pada akhir bulan Oktober 2025 bertempat di Kohima, Nagaland, India, Vihozhonu Zao iaitu seorang atlet bola keranjang berbakat besar dan pelajar cemerlang berusia 22 tahun telah menjadi mangsa pembunuhan kejam hanya kerana disebabkan benda remeh.

      Vihozhonu merupakan seorang anak tempatan dari Kampung Jakama yang mempunyai bakat luar biasa dalam bidang akademik dan sukan. Dia pernah mewakili negeri Nagaland ke Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Bawah 23 Tahun di Guwahati serta merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik Nagaland. Selain aktif sebagai atlet yang berdedikasi tinggi, Vihozhonu juga cemerlang dalam pelajaran apabila dinobatkan sebagai penuntut terbaik dalam jurusan ekonomi di St. Joseph’s College, Kohima. Sejak kematian bapanya ketika usianya baru mencecah lapan tahun, dia dibesarkan oleh nenek dan ibu-ibu saudaranya di kediaman keluarga di Old Minister’s Hill Colony, Kohima.


     Kejadian bermula pada petang Jumaat, 24 Oktober 2025 yakni ketika Vihozhonu berada di rumah bersama ahli keluarga. Menurut hasil siasatan dan pengakuan suspek, pertelingkahan tercetus apabila bapa saudara angkatnya yang berusia 31 tahun iaitu Samuel Zao meminta Vihozhonu membancuh air teh untuknya. Semasa permintaan itu dibuat, Vihozhonu dilaporkan sedang leka menggunakan telefon pintarnya dan memberikan respons sambil lewa tanpa segera bangkit untuk memenuhi permintaan tersebut. Penolakan secara langsung atau kelewatan bertindak itu telah menyalakan rasa marah yang meluap-luap dalam diri Samuel yang kemudiannya bertindak agresif dengan mengambil sepotong kayu api lalu memukul kepala Vihozhonu beberapa kali. 

      Kekuatan pukulan tersebut menyebabkan tengkorak Vihozhonu retak teruk di mana dia telah rebah tidak sedarkan diri di bahagian dapur. Maka dalam usaha menutup perbuatan kejamnya, Samuel melakukan tindakan terancang untuk menyembunyikan jenayah itu. Dia menutup kepala Vihozhonu dengan sehelai baju sejuk yang turut menyebabkan gadis itu terjerut dan lemas di samping merosakkan telefon pintar mangsa serta membuang kad SIM serta cebisan peranti ke dalam lori sampah. Mayat Vihozhonu disembunyikan di dalam bilik Samuel selama semalaman sebelum dipindahkan pada keesokan paginya ke kawasan longgokan kayu dan bahan terpakai berhampiran telaga cincin di bawah kediaman mereka.

     Mayat Vihozhonu akhirnya ditemui oleh jiran tetangga pada pagi Sabtu, 25 Oktober 2025 yang kemudiannya bertindak melaporkan penemuan tersebut kepada pihak berkuasa. Pasukan polis dari Balai Polis Selatan bersama Pasukan Siasatan Khas (SIT) segera digerakkan untuk merungkai misteri pembunuhan yang pada mulanya kelihatan sukar dikesan. Selepas 11 hari siasatan rapi yang melibatkan analisis forensik di tempat kejadian serta semakan rekod telekomunikasi, pihak polis berjaya menahan Samuel Zao pada 4 November 2025. Lelaki terbabit akhirnya mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut dan menceritakan keseluruhan kronologi kejadian.

     Kes ini turut menimbulkan pelbagai reaksi emosi, bantahan awam dan perhimpunan menyalakan lilin oleh komuniti bola keranjang serta penduduk kampung bagi menuntut keadilan buat Vihozhonu. Walaupun terdapat spekulasi dan khabar angin di media sosial mengenai kemungkinan penglibatan individu lain atau motif perkauman berhubung latar belakang etnik, pihak polis menegaskan bahawa siasatan rasmi mendapati Samuel bertindak seorang diri. Pihak berkuasa turut memberi amaran keras agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu atau meniupkan api kebencian kaum. Hingga setakat ini, keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman muktamad belum selesai sepenuhnya kerana kes masih tertakluk kepada proses keadilan mahkamah India.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Vihozhonu Zao"