Remaja 17 Tahun Dibunuh, Zakar Dikerat untuk Dijual Dengan Nilai Hampir RM500 000
![]() |
| Zoheb Khan (kiri) dan Aamir Qureshi (kanan) |
INDIA - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bernama Rehan telah menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila dia dibunuh dan dikerat zakarnya oleh sekumpulan individu di Bhopal, tengah India. Kejadian ini terbongkar selepas pihak polis menemui mayat mangsa di Tasik Lower berhampiran Dhobi Ghat pada 10 Ogos yakni ima hari selepas ibunya membuat laporan kehilangan. Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan maut yang parah dan zakarnya telah dikerat secara paksa.
Siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa pembunuhan kejam itu didalangi oleh seorang penuntut perniagaan berusia 20 tahun bernama Zoheb Khan. Khan didakwa mendapat inspirasi daripada sebuah video media sosial yang memaparkan dakwaan palsu bahawa zakar manusia mampu bernilai hampir 12 juta rupee (sekitar RM470 000) di pasaran gelap negara-negara Teluk. Bagi meyakinkan rakan-rakannya, Khan sanggup menyamar sebagai doktor dengan membeli apron putih, stetoskop dan termometer secara atas talian untuk melatih kumpulannya cara-cara mengeluarkan organ tersebut.
Kronologi kejadian bermula pada 6 Ogos apabila dua suspek di bawah umur datang ke gerai Rehan menawarkan upah 100 rupee untuk membendung satu pergaduhan di kawasan Khatlapura. Mangsa dipujuk ke kawasan sunyi sebelum diserang hendap dari belakang sebelum ditikam bertalu-talu menggunakan pisau. Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Bhopal, Ayush Gupta, empat suspek terlibat secara langsung di tempat kejadian manakala Khan memantau serta membimbing mereka dari jauh menerusi panggilan video.
Selepas jenayah itu, kumpulan berkenaan sempat menyimpan zakar Rehan di dalam ais selama dua hari dalam usaha mencari pembeli di pasaran gelap. Apabila usaha penjualan itu menemui jalan buntu, Khan mengarahkan agar organ tersebut dibuang secara terpisah ke dalam tasik.
Susulan daripada kejadian ini, polis berjaya menahan suspek utama Zoheb Khan bersama Aamir Qureshi (18 tahun) serta tiga lagi individu di bawah umur. Pihak polis turut merampas pisau yang digunakan dalam pembunuhan tersebut dan mengerahkan pasukan penyelam untuk mencari organ mangs walaupun Penolong Pesuruhjaya Polis Bhopal, Santosh Patel mengakui pencarian itu sukar dan bergantung sepenuhnya kepada petunjuk suspek. Pihak penyiasat kini sedang giat menyoal siasat beberapa individu lain yang dikenal pasti sebagai bakal pembeli bagi melengkapkan siasatan kes pembunuhan terancang ini.

Catat Ulasan for "Remaja 17 Tahun Dibunuh, Zakar Dikerat untuk Dijual Dengan Nilai Hampir RM500 000"