Polis Tangkap Dua Individu Curi Subang Mayat Mangsa Banjir

NEPAL — Dua lelaki telah ditahan polis susulan tularnya sebuah video di media sosial yang merakamkan perbuatan mereka mencuri subang daripada telinga mayat mangsa banjir.
Menurut kenyataan Pejabat Polis Daerah Chitwan, siasatan bermula selepas klip video berkenaan memaparkan tindakan mencuri barang kemas daripada mayat seorang mangsa yang dihanyutkan arus Sungai Bhote Koshi akibat kejadian tanah runtuh besar dari arah Tibet.
Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis berjaya menahan kedua-dua suspek pada Khamis lalu berhampiran kawasan Letak Kenderaan Bas Pokhara di Bandaraya Metropolitan Bharatpur-1. Ketua Polis Daerah Chitwan, SP Rameshwar Poudel mengesahkan bahawa suspek kini berada dalam tahanan Pejabat Polis Daerah Chitwan untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan mengenal pasti suspek pertama sebagai Madan Gurung, 25 tahun, berasal dari Perbandaran Vinay Triveni-1, Nawalparasi yang menetap sementara di rumah bapa saudaranya di Lilachok, Bandaraya Metropolitan Bharatpur-1. Suspek kedua pula ialah Umesh Chaudhary, 38 tahun, berasal dari Perbandaran Chandbela-5, Sunsari yang tinggal di Supari Tole, Kawasan Letak Kenderaan Bas Pokhara, Bandaraya Metropolitan Bharatpur-2.
Pihak polis menegaskan bahawa kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengecaman jelas terhadap wajah suspek di dalam video tular terbabit semasa mereka melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap mayat. Kes kini disiasat di bawah lunas undang-undang yang menetapkan tindakan tegas terhadap pelaku.
Catat Ulasan for "Polis Tangkap Dua Individu Curi Subang Mayat Mangsa Banjir"