Kisah Daniel Waterman: Pengakuan Terakhir yang Mengubah Segalanya

Seorang pemuda berusia 22 tahun dari Amerika Syarikat iaitu Daniel Waterma telah meninggal dunia pada Oktober 2025 yakni kira-kira lapan bulan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Florida. Pada awalnya, kejadian itu disangka sebagai kemalangan biasa. Siasatan bagaimanapun bertukar menjadi kes jenayah selepas Daniel yang sempat sedar daripada koma mendakwa bahawa kemalangan tersebut dilakukan dengan sengaja oleh teman wanitanya sendiri yang ketika itu sedang hamil anak mereka.
Daniel Waterman berasal dari Syracuse, New York. Pada awal tahun 2025, dia berpindah sementara ke Florida untuk bekerja dan tinggal bersama teman wanitanya yang bernama Leigha Mumby, 24 tahun. Hubungan mereka pada mulanya kelihatan stabil. Namun menurut rakan-rakan terdekat, pasangan itu sering bergaduh terutamanya selepas Mumby disahkan mengandung. Daniel dikatakan sedang berusaha mempersiapkan diri untuk menjadi seorang bapa dan keluarganya di Syracuse juga sudah merancang untuk menyambut kelahiran cucu pertama mereka.

Walau bagaimanapun, segalanya berubah pada 9 Februari 2025 apabila pasangan tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Flagler County, Florida. Kereta yang dipandu oleh Mumby dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok. Ketika pihak berkuasa tiba di lokasi, Daniel ditemui dalam keadaan parah dan tidak sedarkan diri manakala Mumby hanya mengalami kecederaan ringan.
Pada awalnya, pihak polis menganggap kejadian itu sebagai kemalangan tragis akibat pemanduan cuai. Namun apabila Daniel mula sedar daripada koma beberapa minggu kemudian, segalanya berubah. Menurut laporan media, ketika Daniel masih lemah di hospital, dia sempat memberitahu penyiasat bahawa kemalangan itu bukan kebetulan. Daniel mendakwa bahawa sebelum perlanggaran berlaku, dia dan Mumby sedang bertengkar dengan hebat di dalam kereta selepas dirinya menerima mesej teks daripada seorang wanita dari New York. Pertengkaran itu menyebabkan Mumby naik angin dan mula memecut kereta sambil menjerit. Dalam keterangan yang dirakam oleh penyiasat, Daniel menyatakan bahawa Mumby sempat berkata, “I don’t care what happens. You’ll get what you deserve.” (“Saya tak kisah apa yang akan berlaku. Kau akan dapat apa yang kau layak.”).

Beberapa saat selepas itu, Mumby didakwa memecut lebih laju dan sengaja melanggar pokok hingga menyebabkan kedua-duanya cedera teruk. Daniel mengalami patah tulang belakang, keretakan di kepala serta pelbagai kecederaan dalaman yang memerlukan rawatan intensif berbulan-bulan lamanya.
Sepanjang lapan bulan selepas kejadian, Daniel menjalani pelbagai pembedahan dan rawatan intensif. Keluarganya yang berada di Syracuse berulang-alik ke Florida bagi memberikan sokongan. Menurut ibunya, anak muda itu menunjukkan semangat yang luar biasa untuk pulih walaupun pergerakannya sangat terbatas dan hanya mampu berkomunikasi dengan isyarat atau suara perlahan.

Cuma keadaan kesihatannya tidak pernah benar-benar stabil. Doktor melaporkan bahawa kecederaan tulang belakang dan komplikasi jangkitan akibat trauma dalaman menyebabkan sistem badannya semakin lemah. Pada 8 Oktober 2025, Daniel akhirnya meninggal dunia di hospital selepas beberapa hari tidak sedarkan diri. Kematian Daniel mengubah sepenuhnya arah siasatan. Sebelum ini, Mumby hanya didakwa atas pertuduhan memandu secara cuai dan menyebabkan kecederaan serius namun selepas mangsa meninggal dunia, pendakwa raya negeri Florida menaikkan tuduhan kepada vehicular homicide iaitu kesalahan membunuh melalui penggunaan kenderaan secara sengaja atau melulu.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa keterangan Daniel ketika masih hidup memainkan peranan penting dalam menaik taraf pertuduhan tersebut. Rakaman kenyataannya kepada penyiasat, bersama bukti kelajuan kenderaan dan corak brek di tempat kejadian menyokong dakwaan bahawa Mumby tidak cuba mengelak perlanggaran tetapi sebaliknya memecut sebelum menghentam pokok. Mumby ditahan pada Julai 2025 dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak USD 15 000 (sekitar RM62 000) sementara menunggu perbicaraan. Dia kini berdepan hukuman penjara yang panjang jika sabit kesalahan.

Keluarga Daniel di New York menzahirkan rasa sedih dan marah terhadap insiden yang menimpa anak mereka. Dalam kenyataan melalui peguam keluarga, mereka menyatakan bahawa Daniel merupakan seorang pemuda baik dan bertanggungjawab yang sedang bersedia menyambut kelahiran anak pertamanya. Mereka juga menyatakan hasrat untuk menuntut hak penjagaan terhadap bayi yang dikandung oleh Mumby sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa bayi tersebut adalah anak Daniel. Keluarga itu berjanji untuk membesarkan anak tersebut dalam persekitaran yang selamat, jauh daripada trauma yang menimpa kedua ibu bapanya.
Catat Ulasan for "Kisah Daniel Waterman: Pengakuan Terakhir yang Mengubah Segalanya"