Dua Beradik Hanya Minum Air Perigi, Ditemui Bersama Mayat Ibu

INDONESIA – Dua beradik perempuan iaitu Putri Setia Gita Pratiwi (23 tahun) dan Intan Ayu Sulistyowati (18 tahun) ditemui dalam keadaan lemah di rumah mereka bersama mayat ibu mereka, Setianingsih (51 tahun) di Dusun Somopuro, Desa Bebengan, Kecamatan Boja, Kabupaten Kendal, Jawa Tengah. Kejadian ini dipercayai berlaku selepas mereka hanya mengambil air rebusan atau air putih selama hampir sebulan.
Menurut penduduk kampung di mana pada hari Sabtu, 1 November 2025, mereka mula curiga selepas tercium bau busuk yang kuat dari rumah keluarga tersebut. Rumah itu dikunci dari dalam, tingkap ditutup rapat dan lalat berkumpul di sekeliling. Susulan itu, pihak berkuasa dipanggil untuk membuka pintu secara paksa. Apabila pintu dibuka, mayat Setianingsih didapati sudah mula membusuk manakala kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami dehidrasi teruk. Pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan dan polis menyatakan Setianingsih disyaki telah meninggal dunia kira-kira tujuh hingga 14 hari sebelum penemuan.
Dalam pengakuannya kepada pihak berkuasa, Putri menyatakan bahawa sejak 4 Oktober 2025, dia dan adiknya hanya minum air rebusan dari perigi sebagai pengganti makanan. Mereka berbuat demikian untuk mematuhi wasiat ibu mereka agar tidak menyusahkan jiran atau orang sekeliling.

Doktor yang merawat kedua-dua beradik di RS PKU Muhammadiyah Boja melaporkan bahawa walaupun tahap gula darah mereka masih normal, keadaan fizikal dan psikologi kedua-duanya sangat membimbangkan. Putri sudah mula boleh berkomunikasi manakala Intan masih dalam pemantauan rapi kerana kesihatannya yang sangat lemah.
Difahamkan selepas kematian suaminya akibat penyakit serius sekitar tahun 2019, Setianingsih tinggal bersama kedua-dua anaknya itu di Desa Bebengan, di sebuah rumah yang agak terpencil daripada penduduk sekeliling. Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada sedikit bantuan daripada orang terdekat serta simpanan sendiri. Sementara itu, kedua-dua anaknya bergantung penuh kepadanya.
Susulan kejadian ini, Pegawai Daerah Kendal, Dyah Kartika Permanasari telah mengunjungi hospital pada 3 November 2025 bagi meninjau keadaan kedua-dua beradik. Dia menyatakan keprihatinan mendalam dan mengarahkan agar kedua-dua mangsa didaftarkan dalam program jaminan kesihatan negara (BPJS) serta diberi perlindungan sosial jangka panjang. Kedua-dua beradik akan dibawa ke institusi pemulihan sosial dan latihan kemahiran bagi memastikan mereka mampu berdikari pada masa depan.
Catat Ulasan for "Dua Beradik Hanya Minum Air Perigi, Ditemui Bersama Mayat Ibu"