Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Caitlin Jensen: Graduan yang Lumpuh Selepas Rawatan Kiropraktik

     Pada 16 Jun 2022, Caitlin Jensen iaitu seorang graduan berumur 28 tahun dari Georgia Southern University dalam bidang kimia dan biologi telah membuat temu janji dengan seorang kiropraktor atau pakar tulang belakang di Savannah, Georgia, Amerika Syarikat. Sebelum itu, Caitlin dikatakan mula mengalami kesakitan di bahagian leher serta belakang badan akibat terlalu lama duduk ketika belajar. Bagi melegakan ketidakselesaan tersebut, dia memutuskan untuk mendapatkan rawatan penyesuaian leher daripada pakar berkenaan.

     Pada mulanya, prosedur tersebut dianggap rutin iaitu satu sesi bagi memperbaiki keselesaan dan pergerakan leher. Namun sebaik sahaja manipulasi leher dilakukan, keadaan Caitlin berubah secara mendadak. Tidak lama selepas itu, dia berasa loya, muntah dan berpeluh dingin sebelum keadaannya menjadi semakin serius. Caitlin kemudiannya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Pemeriksaan awal mendapati empat salur arteri yang mengalir ke otaknya termasuk arteri vertebralis mengalami diseksi koyakan pada dinding arteri yang menyebabkan gangguan aliran darah ke otak. Akibat komplikasi tersebut, Caitlin disahkan mengalami strok sebelum jantungnya terhenti. Denyut nadinya tidak dapat dikesan selama kira-kira sepuluh minit sebelum pasukan perubatan berjaya memulihkannya.



     Setibanya di unit rawatan rapi, Caitlin berada dalam keadaan kritikal. Dia memerlukan sokongan ventilator, rawatan intensif dan pembedahan bagi membaiki sebahagian salur arteri yang rosak. Pada peringkat awal, Cairlin hanya mampu membuka mata dan memicit ibu jari apabila diminta. Fungsi motorik dan pertuturan hampir lumpuh sepenuhnya. Keluarga Caitlin termasuk ibunya, Darlene Jensen serta adik lelakinya yang bernama Caleb Johnson menyifatkan tempoh itu sebagai sangat menyakitkan dan memberi pengajaran: “16 Jun ialah hari yang kami tidak akan lupa,” ujar Caleb.

     Beberapa minggu kemudian di mana pada awal Ogos 2022, Caitlin dipindahkan ke Shepherd Center di Atlanta untuk menjalani rehabilitasi jangka panjang termasuk terapi pertuturan, terapi pekerjaan, terapi fizikal dan terapi rekreasi. Setiap pagi, Caitlin akan memilih pakaian, bersiap untuk menjalani terapi dan meneruskan rutin harian yang penuh cabaran. Disebabkan kos rawatan yang sangat tinggi, keluarga Caitlin membuka kempen sumbangan melalui platform GoFundMe yang berjaya mengumpulkan lebih USD100,000 (sekitar RM450 000) setakat laporan awal.

     Dalam satu temu bual bersama media, seorang kiropraktor bernama Dr. Steve Ranicki menjelaskan bahawa kes seperti yang dialami Caitlin merupakan kejadian yang amat jarang berlaku. Dia menerangkan bahawa diseksi arteri vertebralis boleh berlaku secara spontan atau didorong oleh pergerakan leher yang terlalu kuat termasuk ketika sesi rawatan manipulasi atau apabila seseorang menengadah kepala terlalu ke belakang. Walau bagaimanapun, pasukan doktor pakar yang merawat Caitlin mendapati bahawa kecederaan tersebut berlaku sejurus selepas rawatan pelarasan leher dilakukan oleh kiropraktor berkenaan. Berdasarkan hasil pemeriksaan dan bukti perubatan yang diperoleh, mereka menegaskan bahawa rawatan itu mempunyai kaitan langsung dengan kecederaan arteri yang dialami oleh Caitlin.

    Kejadian itu bukan sahaja memberi kesan fizikal yang serius kepada Caitlin seperti kelumpuhan serta kehilangan keupayaan untuk berjalan dan bercakap. Dia bahkan menerima kesan yang mendalam daripada segi psikologi, sosial dan kewangan. Keluarganya kini terpaksa menanggung kos rawatan serta penjagaan jangka panjang yang tinggi di samping melakukan pengubahsuaian rumah bagi menyesuaikan kemudahan dengan keperluan kerusi roda dan aksesibiliti Caitlin.

Catat Ulasan for "Kisah Caitlin Jensen: Graduan yang Lumpuh Selepas Rawatan Kiropraktik"