Kisah Arthur Emanuel Bitencourt : Kanak-kanak 7 Tahun yang Maut Selepas Bermain di Timbunan Serbuk Kapur

Pada bulan Ogos 2023 bertempat di negara Brazil, gambar seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang sedang bermain di atas timbunan serbuk putih menjadi viral di media sosial. Kanak-kanak itu dikenali sebagai Arthur Emanuel Bitencourt, berasal dari bandar Ipiranga di negeri Parana, selatan Brazil.
Kejadian berlaku pada 3 Ogos 2023 di kawasan luar rumah keluarganya yang terletak berhampiran ladang pertanian. Menurut laporan media tempatan, keluarga Arthur tinggal di kawasan yang berhampiran dengan lokasi penyimpanan serbuk kapur. Serbuk itu disimpan di situ untuk tujuan pertanian iaitu digunakan bagi menstabilkan tanah dan mengurangkan tahap keasidan sebelum proses penanaman.
Pada hari kejadian, Arthur dilaporkan bermain di halaman rumah bersama beberapa ahli keluarga. Di kawasan berhampiran, terdapat timbunan besar serbuk putih yang kelihatan seperti pasir halus. Bagi kanak-kanak seusia Arthur, bentuk dan warna timbunan itu kelihatan menarik seolah-olah tempat bermain yang tidak berbahaya. Tiada papan tanda atau penghadang yang menunjukkan bahan tersebut ialah bahan kimia pertanian.
B Beberapa gambar Arthur sempat dirakam oleh ahli keluarga sebagai kenangan. Dalam gambar itu, dia kelihatan gembira, tersenyum dan menunjukkan isyarat thumbs-up sambil duduk di atas timbunan tersebut. Namun menurut laporan media, Arthur mula menunjukkan reaksi luar biasa yakni batuk kuat, sukar bernafas dan kelihatan panik selepas beberapa minit selepas gambar itu diambil,

Keluarga Arthur pada mulanya menyangkanya tersedak atau terhidu debu biasa. Namun apabila keadaannya semakin teruk, mereka segera membawanya ke hospital tempatan di Ipiranga. Dalam perjalanan, Arthur mengalami kesukaran bernafas dan kehilangan kesedaran. Setibanya di hospital, pasukan perubatan cuba memberi rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan tetapi keadaannya sudah kritikal.
Beberapa laporan perubatan kemudian mengesahkan bahawa Arthur meninggal dunia akibat kegagalan sistem pernafasan akut disebabkan penyedutan partikel halus serbuk kapur dalam jumlah tinggi. Serbuk kapur terdiri daripada kalsium karbonat (CaCO₃) iaitu sebatian kimia yang biasanya tidak beracun dalam bentuk pepejal. Namun dalam bentuk serbuk halus, ia boleh menyebabkan kerengsaan teruk pada sistem pernafasan apabila dihidu. Dalam kes tertentu, partikel halus itu boleh menyebabkan keradangan pada tisu paru-paru, menghalang penyerapan oksigen dan membawa kepada kematian dalam masa yang singkat.
Menurut pakar keselamatan industri yang dipetik oleh Powder Bulk Solids, serbuk kapur yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan dua jenis bahaya iaitu iritasi kimia dan lemas akibat penyedutan debu padat. Dalam kes Arthur, partikel kapur dipercayai memasuki paru-paru dalam jumlah besar hingga menyebabkan gangguan pernafasan yang pantas dan tidak dapat dipulihkan.

Pihak berkuasa tempatan di Parana membuka siasatan selepas kejadian itu bagi mengenal pasti punca sebenar dan tanggungjawab pihak yang terlibat. Menurut laporan polis, serbuk kapur tersebut disimpan berhampiran kawasan kediaman tanpa perlindungan atau tanda amaran keselamatan. Kawasan itu dipercayai digunakan oleh kontraktor pertanian tempatan untuk penyimpanan bahan kapur bagi kegunaan ladang. Hasil siasatan awal mendapati bahawa bahan tersebut bukan milik keluarga Arthur tetapi diletakkan di kawasan berdekatan oleh pihak ketiga.
Selepas kejadian, gambar terakhir Arthur tersebar luas di media sosial. Keluarganya kemudian tampil memberi kenyataan kepada media tempatan untuk menjelaskan bahawa mereka langsung tidak tahu serbuk itu berbahaya. Mereka menyangka ia sekadar debu putih biasa yang digunakan dalam kerja ladang.
Serbuk kapur, simen atau sebarang bahan serbuk industri perlu dikendalikan dengan langkah keselamatan yang ketat. Di kawasan pertanian atau pembinaan, bahan ini perlu ditutup dengan kanvas selain disimpan di tempat berpagar serta dilabel dengan papan tanda amaran yang jelas.
Catat Ulasan for "Kisah Arthur Emanuel Bitencourt : Kanak-kanak 7 Tahun yang Maut Selepas Bermain di Timbunan Serbuk Kapur"