Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

POTONG BARISAN UNTUK KELUAR AWAL DARI PESAWAT, WANITA INI DIKECAM TERUK


     Pada bulan Julai 2025, satu insiden menjadi tular di media sosial apabila seorang wanita yang juga merupakan seorang peguam mencetuskan kekecohan dalam sebuah pesawat selepas cuba keluar lebih awal daripada penumpang lain. Kejadian berlaku sejurus pesawat mendarat dan semua penumpang sedang bersedia untuk turun. Rakaman insiden itu kemudian tersebar di platform media sosial.

     Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan dilihat bangun dengan segera dan melangkah ke lorong pesawat tanpa menunggu giliran. Tindakannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penumpang lain yang kemudiannya menegurnya agar menghormati giliran barisan. Seorang penumpang lelaki menasihati supaya menunggu penumpang di hadapan turun dahulu. Walau bagaimanapun, wanita itu membalas secara kasar dan menyuruh lelaki tersebut diam sambil menyatakan bahawa semua orang merungut tanpa sebab.

     Ketegangan meningkat apabila beberapa penumpang lain mula bersuara dan seorang daripadanya menjerit “Karen!” yakni merujuk kepada tingkah laku seseorang yang mementingkan diri sendiri dan menuntut layanan istimewa. Wanita itu kemudiannya mempertahankan diri dan menegaskan bahawa penumpang lain sebenarnya yang bersikap seperti itu kerana terlalu bising dan mengganggu.

     Situasi menjadi lebih tegang apabila wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat. Apabila ditegur, dia menuding kepada seorang penumpang lelaki dan berkata bahawa berdasarkan loghatnya, lelaki itu juga pernah menggunakan bahasa kasar. Tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penumpang lain kerana dianggap menghina cara percakapan seseorang. Apabila dituduh bersikap rasis, wanita itu menafikan dan menyatakan bahawa tegurannya bukanlah serangan terhadap bangsa tetapi sebaliknya berkaitan loghat penumpang tersebut.

     Dalam kekecohan itu, wanita berkenaan turut mengancam untuk menunjukkan kad kelayakan peguam kepada seorang penumpang sebagai bukti status profesionalnya. Namun ancaman itu dibalas dengan sindiran bahawa rakaman video tersebut boleh menjejaskan reputasinya sendiri. Sepanjang kejadian, suasana kabin pesawat semakin tegang dengan kedengaran tangisan bayi dan kebimbangan penumpang lain sementara kru pesawat dilihat tidak campur tangan secara agresif dalam konflik tersebut.

     Selepas rakaman menjadi tular, majoriti netizen  mengecam wanita tersebut kerana bersikap angkuh, tidak sopan dan menyalahgunakan kedudukan profesionalnya dalam situasi awam. Identiti wanita tersebut bagaimanapun tidak didedahkan dan tiada maklumat rasmi mengenai sebarang tindakan undang-undang atau tatatertib profesional terhadapnya. Video kejadian dalam pesawat tersebut boleh ditonton di bawah : 






Catat Ulasan for "POTONG BARISAN UNTUK KELUAR AWAL DARI PESAWAT, WANITA INI DIKECAM TERUK "