Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA KERAT SUAMI DIPENJARA 12.5 TAHUN

     RUSIA— Mahkamah Daerah Smolninsky pada 21 November 2025 menjatuhkan hukuman 12.5 tahun penjara terhadap Marina Kokhal,  isteri kepada penyanyi rap Ukraine-Rusia Alexander Yushko atau lebih dikenali dengan nama pentas Andy Cartwright. Wanita itu disabitkan kesalahan membunuh dan memotong tubuh mangsa selepas kematiannya.

     Kes ini bermula pada Julai 2020 apabila polis menemui bahagian tubuh Yushko yang telah dikerat-kerat di apartmen mereka di Nevsky Prospekt, Saint Petersburg. Sebahagian anggota tubuh mangsa ditemui di dalam peti sejuk manakala sebahagian kecil dipercayai telah dibasuh menggunakan mesin basuh.

     Pihak penyiasat mendapati bahawa pemotongan tubuh dilakukan menggunakan beberapa alat tajam termasuk gergaji kecil dan pisau dapur. Laporan forensik juga menyatakan bahawa sebahagian pemotongan berlaku ketika Yushko masih hidup yakni pada beberapa minit sebelum kematiannya.


     Pendakwa raya menuduh Kokhal menyuntik mangsa dengan insulin jenis Novorapid FlexPen berdasarkan carian internet yang ditemui pada komputer rumah mereka. Menurut pendakwaan, suntikan itu diberikan sebelum tubuh mangsa dipotong dengan tujuan menutup punca sebenar kematian. Walau bagaimanapun, siasatan forensik yang melibatkan empat pemeriksaan berasingan gagal memberikan kesimpulan muktamad. Para pakar tidak dapat menentukan punca kematian sebenar sama ada disebabkan suntikan insulin, dadah atau faktor lain. Salah satu laporan malahan menyatakan bahawa insulin yang dikaitkan tidak semestinya membawa maut dalam keadaan tersebut.

     Sepanjang perbicaraan, Kokhal menafikan tuduhan membunuh suaminya. Dia mendakwa Yushko meninggal dunia akibat overdosis dadah. Tindakannya memotong tubuh mangsa hanyalah kerana panik dan bimbang kematian suaminya akan memalukan keluarga mereka. Peguam belanya juga berhujah bahawa tiada bukti jelas mengaitkan Kokhal dengan suntikan insulin, termasuk ketiadaan resit pembelian, saksi atau bukti fizikal yang menunjukkan siapa sebenarnya yang menggunakan ubat itu.

     Walaupun terdapat percanggahan dalam dapatan forensik, mahkamah tetap memutuskan bahawa tindakan Kokhal menyebabkan kematian mangsa. Hakim Maria Shcheglova mengumumkan bahawa beliau bersalah di bawah Bahagian 1, Artikel 105 Kod Jenayah Rusia iaitu pembunuhan tanpa keadaan pemberat. Hukuman 12.5 tahun penjara itu mengambil kira tempoh tahanan sementara dan pengawasan ketat yang telah dilalui Kokhal sejak 2020. Selesai penghakiman, Kokhal dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menerima rawatan perubatan di mahkamah. 

     Peguam Marina Kokhal, Irina Skurtu mengesahkan bahawa pihak pembela akan memfailkan rayuan dengan alasan keputusan tersebut tidak selari dengan bukti forensik dan versi sebenar peristiwa.

     Alexander Yushko atau Andy Cartwright ialah seorang artis rap yang dikenali di Rusia dan Ukraine. Sebelum kematiannya, dia dilaporkan mempunyai sejarah penggunaan dadah.

Catat Ulasan for "WANITA KERAT SUAMI DIPENJARA 12.5 TAHUN"