KISAH PEMBUNUHAN KEJAM TIM BOSMA

     Pada awal bulan Mei tahun 2013, bertempat di kawasan Ancaster, Hamilton dalam wilayah Ontario, seorang lelaki bernama Timothy "Tim" Bosma iaitu seorang suami serta bapa berusia 32 tahun yang dikenali sebagai individu penyayang dan bertanggungjawab telah dilaporkan hilang. Tim ketika itu ingin menjual sebuah trak pikap miliknya setelah mengiklankannya melalui laman jual beli dalam talian. Hasratnya hanyalah untuk berurusan secara jujur dengan pembeli yang berminat untuk memiliki trak pikap tersebut.

     Kejadian sebenar bermula pada 6 Mei 2013 apabila dua lelaki datang ke rumah Tim untuk melihat dan memandu uji trak tersebut. Kedua-dua lelaki itu dilihat oleh isteri Tim, Sharlene Bosma sebagai pemuda yang kelihatan seperti pembeli yang tidak menimbulkan syak wasangka. Seorang daripada mereka bertubuh tinggi dan berkulit cerah manakala seorang lagi sedikit rendah dan berkulit lebih gelap. Mereka berbual secara sopan dan memperkenalkan diri sebagai pembeli yang benar-benar berminat.


     Tim kemudian keluar bersama mereka untuk sesi pandu uji. Sebelum beredar, Tim meyakinkan isterinya bahawa dia akan pulang segera. Namun  selepas beberapa jam, Tim masih tidak kembali. Panggilan telefon kepadanya tidak berjawab. Keadaan itu menimbulkan kegelisahan sehingga laporan polis dibuat. Pada masa singkat, pencarian besar-besaran dilancarkan. Pihak polis, penduduk setempat, sukarelawan dan keluarga Bosma bersatu menggerakkan usaha mencari. 

     Siasatan polis akhirnya membawa kepada penangkapan seorang lelaki bernama Dellen Millard yang juga merupakan seorang pewaris keluarga jutawan yang terkenal dalam dunia penerbangan dan kejuruteraan setempat. Penangkapannya mengejutkan umum kerana latar belakangnya yang kaya dan berpengaruh. Tidak lama selepas itu, seorang lagi suspek, Mark Smich yakni  rakan rapat Millard turut ditahan.

     Hasil siasatan mendalam membawa kepada penemuan paling memilukan. Polis mendapati bahawa Tim Bosma telah dibunuh tidak lama selepas dia meninggalkan rumahnya bersama dua suspek itu. Lebih menyayat hati, mayatnya telah dibakar menggunakan sebuah alat pembakar industri bersaiz besar yang dimiliki oleh Millard. Alat itu direka untuk memusnahkan bahan sepenuhnya, dan ia digunakan bagi menghapuskan bukti pembunuhan.

     Dalam perbicaraan yang berlangsung pada tahun 2016, pihak pendakwa mendedahkan bahawa Millard dan Smich sebenarnya telah merancang untuk merampas trak pikap tersebut sejak awal lagi. Mereka tidak berniat membeli tetapi sebaliknya mahu mengambil trak pikap itu dengan kekerasan. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa menampilkan bukti kukuh, termasuk rekod pergerakan, kesan forensik serta keterangan saksi yang menunjukkan kedua-duanya berperanan aktif dalam penculikan, pembunuha  dan cubaan menyembunyikan jenayah tersebut.

     Antara detik yang paling menyentuh hati dalam perbicaraan ialah kenyataan isteri mangsa, Sharlene Bosma. Dia menggambarkan suaminya sebagai seorang lelaki baik yang tidak pernah menyangka bahawa tindakan mudah seperti menunjukkan trak kepada pembeli boleh meragut nyawanya. Kata-katanya yang meruntun jiwa ialah ketika dia menyatakan bahawa suaminya keluar untuk menunjukkan trak dan tidak pernah kembali.

     Pada 17 Jun 2016, mahkamah akhirnya memutuskan bahawa Dellen Millard dan Mark Smich bersalah atas pembunuhan tahap pertama dan mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang pembebasan awal selama 25 tahun. Keputusan itu disambut dengan rasa lega oleh keluarga mangsa yang sekurang-kurangnya menerima keadilan selepas melalui kesedihan panjang.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM TIM BOSMA "