Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA KAHWINI MAYAT TEMAN LELAKI

 

    INDIA —  Seorang wanita berusia 21 tahun di Nanded, Maharashtra iaitu Aanchal Mamidwar bertindak mengahwini mayat kekasihnya selepas lelaki itu dipercayai dibunuh oleh ahli keluarganya sendiri dalam kejadian yang didakwa berpunca daripada perbezaan kasta. 

     Menurut laporan polis, mangsa yang dikenali sebagai Saksham Tate, 20 tahun telah ditembak di bahagian rusuk sebelum dipukul berulang kali dengan objek keras pada kepala, dipercayai sejenis jubin atau batu. Suspek utama, Himesh Mamidwar yang merupakan abang kepada Aanchal didakwa terlibat secara langsung dalam pembunuhan tersebut. Dua individu lain iaitu bapa Aanchal dan seorang lagi abangnya, Sahil Mamidwar turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berada di lokasi kejadian serta terlibat dalam serangan terhadap mangsa.

     Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas keluarga Aanchal mengetahui hubungan percintaan antara pasangan itu yang sudah terjalin lebih tiga tahun. Saksham berasal daripada kumpulan kasta rendah manakala keluarga Aanchal daripada kasta berlainan yang dianggap lebih tinggi. Perbezaan tersebut dipercayai menjadi punca utama keluarga wanita itu menolak hubungan berkenaan. Polis berkata keluarga Aanchal telah beberapa kali cuba memisahkan pasangan itu termasuk mengugut mangsa dan menghalang mereka berhubung.

     Kejadian ini mendapat perhatian meluas selepas tular video yang menunjukkan Aanchal menjalankan upacara perkahwinan simbolik dengan mayat Saksham di rumah keluarga mangsa. Dalam rakaman itu, Aanchal dilihat menyapu serbuk kunyit pada tubuh Saksham dan meletakkan vermilion pada dahinya sendiri yakni simbol perkahwinan dalam adat Hindu. Menurut kenyataannya kepada media, tindakan tersebut dilakukan sebagai ikrar cinta terakhir dan sebagai tanda bahawa hubungan mereka tidak dapat dipisahkan walaupun selepas kematian mangsa.

     Kontroversi kes ini semakin meningkat apabila Aanchal tampil membuat dakwaan serius terhadap dua anggota polis dari Balai Polis Itwara. Menurutnya, kedua-dua pegawai tersebut didakwa menghasut abangnyaz Himesh untuk membunuh Saksham ketika keluarga itu membawa isu tersebut ke balai polis. Aanchal mendakwa pegawai terbabit memberitahu keluarganya bahawa membuat laporan palsu tidak berguna dan menyarankan agar menghapuskan sahaja lelaki itu. Polis Maharashtra bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut tetapi mengesahkan siasatan dalaman telah dimulakan bagi meneliti peranan pegawai yang disebutkan dalam laporan.

     Kes ini disiasat di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan India (membunuh), Seksyen 34 (perbuatan oleh beberapa individu), Akta SC/ST (Prevention of Atrocities) serta Akta Senjata Api. Pihak polis turut menyiasat kemungkinan kejadian ini dikategorikan sebagai kes pembunuhan demi kehormatan berdasarkan penolakan tegas keluarga terhadap hubungan antara kasta.

Catat Ulasan for "WANITA KAHWINI MAYAT TEMAN LELAKI"