Brooklyn Peltz Beckham Tegaskan Tidak Mahu Berdamai Dengan Keluarganya

     

 AMERIKA SYARIKAT – Brooklyn Peltz Beckham, anak sulung bekas pemain bola sepak England, David Beckham dan pereka fesyen terkenal, Victoria Beckham telah menyatakan secara terbuka bahawa dia tidak berniat untuk berdamai dengan keluarganya. Kenyataan ini dibuat buat pertama kali melalui Instagram yakni selepas bertahun-tahun menyimpan rasa kecewa dengan konflik dalaman yang berlaku antara dirinya dan ibu bapanya. 

     Dalam kenyataannya di media sosial, Brooklyn mendakwa bahawa sepanjang hidupnya, ibu bapanya telah mengawal naratif mengenai keluarga mereka di media selain berusaha untuk menghancurkan hubungannya dengan isterinya, Nicola Peltz Beckham. Brooklyn berkata bahawa dia telah lama cuba untuk menyelesaikan perkara ini secara peribadi namun tindakan keluarganya yang terus membuat kenyataan kepada media telah meninggalkannya dengan tiada pilihan selain mendedahkan kebenaran.

     “Selama hidup saya, ibu bapa saya telah mengawal naratif di media mengenai keluarga kami. Hantaran media sosial yang dibuat untuk tontonan, acara keluarga,dan hubungan yang tidak asli telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak lahir,” tulis Brooklyn. Lelaki itu turut menegaskan bahawa dia kini berdiri untuk dirinya sendiri buat pertama kali dalam hidupnya dan menolak untuk dikawal oleh sesiapa termasuk ibu bapanya.

     Brooklyn turut mendedahkan beberapa insiden yang berlaku menjelang perkahwinannya dengan Nicola pada tahun 2022. Dia menuduh ibunya membatalkan reka bentuk gaun perkahwinan Nicola pada saat akhir hingga menyebabkan isterinya terpaksa mencari gaun baru dengan tergesa-gesa. Tambahan pula, sebelum majlis berlangsung, dia didesak dan ditawarkan bayaran supaya menandatangani dokumen yang akan menyerahkan hak penggunaan nama Beckham yang boleh memberi impak kepada dirinya, isterinya dan anak-anak mereka. Brooklyn menegaskan bahawa keengganannya menandatangani dokumen tersebut telah menjejaskan hubungan mereka sehingga kini.


     Selain itu, Brooklyn mendakwa ibunya mengganggu detik peribadi semasa tarian pertama mereka dengan Nicola serta berkelakuan yang membuatnya berasa sangat tidak selesa dan terhina di hadapan para tetamu. Dia juga menegaskan bahawa Nicola pernah tidak dihormati oleh keluarganya termasuk tidak dijemput ke majlis ulang tahun ke-50 bapanya. Konflik ini turut menyebabkan Brooklyn menerima serangan berterusan daripada keluarga sama ada secara peribadi mahupun melalui media sosial. Malah adiik-beradiknya juga dikatakan diarahkan untuk menyerangnya sebelum akhirnya memutuskan hubungan dengannya secara tiba-tiba.

     Brooklyn menutup kenyataannya dengan menyatakan bahawa dia percaya bahawa kebenaran akan tetap terdedah walaupun keluarganya berusaha mengekalkan imej mereka di media. 

Catat Ulasan for "Brooklyn Peltz Beckham Tegaskan Tidak Mahu Berdamai Dengan Keluarganya"