Kes Misteri Orang Hilang Paling Lama Akhirnya Terungkai Selepas 52 Tahun

AMERIKA SYARIKAT — Selepas lebih lima dekad diselubungi misteri, satu kes kehilangan yang dianggap antara paling lama dalam rekod polis di negeri Texas akhirnya berjaya diselesaikan. Kes tersebut melibatkan Norman Prater, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang pada 14 Januari 1973 selepas kali terakhir dilihat berjalan bersama rakan-rakannya di kawasan East Dallas.
Kehilangan Norman mencetuskan siasatan oleh Jabatan Polis Dallas. Namun pada waktu itu, usaha pencarian gagal menemui sebarang petunjuk yang boleh menjelaskan ke mana remaja tersebut pergi atau apa yang telah berlaku kepadanya. Hari demi hari berlalu tanpa khabar, kes itu akhirnya menjadi satu fail lama yang tidak pernah ditutup sepenuhnya. Keluarga Norman terus hidup dalam ketidakpastian, menunggu jawapan yang tidak kunjung tiba.
Dalam tempoh hampir enam bulan selepas kehilangan Norman, tiada sebarang rekod atau maklumat rasmi yang menunjukkan keberadaannya. Tempoh masa antara Januari hingga Julai 1973 kekal sebagai ruang kosong dalam siasatan yakni tanpa saksi, tanpa laporan dan tanpa petunjuk yang boleh membina gambaran jelas tentang pergerakan atau keadaan Norman sepanjang tempoh tersebut.
Pada 9 Julai 1973, satu kejadian berasingan berlaku di Lebuhraya 35, berhampiran Rockport, di selatan Texas. Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tepi jalan selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan. Mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri menyebabkan usaha mengenal pasti identitinya pada ketika itu tidak berjaya. Kes tersebut direkodkan sebagai kematian tanpa identiti dan disimpan dalam arkib selama puluhan tahun.

Situasi mula berubah pada akhir tahun 2025 apabila pejabat perubatan Daerah Aransas menemui semula satu gambar lama mayat lelaki yang tidak dikenal pasti dalam simpanan arkib mereka. Gambar tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak yang menguruskan data kes orang hilang sebelum sampai ke tangan seorang penyiasat dari Jabatan Polis Dallas yang sedang mengkaji semula kes-kes lama.
Penyiasat berkenaan melihat persamaan ketara antara gambar tersebut dengan maklumat dan gambar lama Norman Prater. Susulan itu, pihak polis menghubungi Isaac Prater iaitu abang kepada Norman yang kini menetap di Lewisville. Setelah ditunjukkan gambar tersebut, Isaac mengenal pasti lelaki itu sebagai adiknya berdasarkan ciri-ciri fizikal yang masih jelas dikenali oleh keluarga. Pengesahan oleh ahli keluarga ini membawa kepada pengenalpastian rasmi bahawa mayat yang ditemui di Rockport pada Julai 1973 adalah Norman Prater sekali gus menghubungkan dua kes lama yang selama ini tidak berkaitan. Maka dengan pengesahan itu, kes kehilangan Norman secara rasmi ditutup selepas lebih lima dekad.
Ketua Polis Dallas menyatakan bahawa penyelesaian kes ini merupakan hasil ketekunan berterusan serta kerjasama antara beberapa pihak penyiasatan walaupun jarak masa yang sangat panjang telah menyukarkan usaha pengumpulan bukti. Menurutnya lagi, penemuan ini memberikan kelegaan dan penutupan emosi kepada keluarga Prater yang telah lama menunggu jawapan.
Walaupun identiti Norman kini telah dikenal pasti, pihak berkuasa mengakui masih terdapat persoalan yang belum terjawab. Antaranya ialah bagaimana Norman boleh berada sejauh ratusan kilometer dari Dallas ke Rockport serta apa yang berlaku sepanjang hampir enam bulan selepas dia dilaporkan hilang sehingga kemalangan yang meragut nyawanya. Tiada bukti setakat ini yang dapat menjelaskan secara terperinci perjalanan hidupnya dalam tempoh tersebut.
Catat Ulasan for "Kes Misteri Orang Hilang Paling Lama Akhirnya Terungkai Selepas 52 Tahun"