Kisah Cinta Seorang Guru yang Tidak Kesampaian


       Pada tahun 2014, satu kes di Taiwan melibatkan seorang guru tadika dan seorang kanak-kanak perempuan yang pernah menjadi muridnya telah menjadi tular di laman media sosial. Lelaki tersebut berusia 32 tahun yang dikenali dengan nama keluarga Chu tampil membawa satu tuntutan undang-undang yang akhirnya membuka sisi gelap pemikirannya sendiri.

     Menurut pengakuan Chu di mahkamah, dia mendakwa telah mula menaruh perasaan cinta terhadap seorang murid perempuan ketika kanak-kanak itu baru berusia lapan tahun. Walaupun perasaan tersebut jelas bertentangan dengan norma sosial dan etika profesion perguruan, Chu mengaku tidak pernah menyembunyikan niatnya. Dia kemudian mendekati ibu kanak-kanak berkenaan lalu  menjalinkan hubungan rapat dengan keluarga itu.

      Chu mendakwa bahawa melalui beberapa perbincangan, satu persetujuan lisan telah dicapai antara dirinya dan ibu kanak-kanak tersebut. Dalam persetujuan itu, Chu berjanji untuk menanggung kehidupan keluarga tersebut secara kewangan termasuk membayar yuran pendidikan, perbelanjaan harian serta membantu melangsaikan hutang si ibu. Sebagai balasan, ibu tersebut kononnya bersetuju bahawa anaknya akan dikahwinkan dengan Chu apabila mencapai usia dewasa kelak.

       Sepanjang tempoh kira-kira sembilan tahun, Chu mendakwa telah membelanjakan sekitar 28 000 dolar Amerika Syarikat untuk keluarga tersebut. Wang itu disalurkan sedikit demi sedikit bagi menampung keperluan hidup. Chu menganggap perbelanjaan tersebut sebagai satu bentuk pelaburan terhadap masa depan perkahwinan yang dijanjikan. Namun sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kontrak bertulis yang sah ditandatangani selain beberapa dokumen yang kemudian dipertikaikan kesahihannya.


      Segala harapan Chu musnah apabila pada satu ketika dia menemui maklumat melalui media sosial bahawa bekas muridnya itu telah berkahwin pada usia 17 tahun dengan seorang lelaki sebaya. Murid itu bahkan telah melahirkan seorang bayi. Penemuan tersebut menyebabkan Chu berasa dikhianati dan ditipu kerana menurutnya perjanjian yang dibuat bertahun-tahun dahulu telah dimungkiri sepenuhnya.

      Didorong oleh perasaan marah dan kecewa, Chu kemudian mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan tuntutan penipuan terhadap ibu kanak-kanak tersebut. Dalam tuntutannya, dia menuntut supaya semua wang yang telah dibelanjakannya sepanjang sembilan tahun itu dipulangkan sepenuhnya. Chu berhujah bahawa wang tersebut diberikan berdasarkan satu janji yang tidak ditepati.


     Namun ketika perbicaraan berlangsung, mahkamah Taiwan meneliti kes ini dari sudut undang-undang dan moral awam. Hakim memutuskan bahawa sebarang bentuk perjanjian atau janji perkahwinan yang melibatkan seorang kanak-kanak bawah umur adalah bertentangan dengan undang-undang dan nilai moral. Disebabkan itu, tuntutan berkenaan dianggap tidak sah sejak awal. Mahkamah menegaskan bahawa perjanjian seperti itu tidak boleh dikuatkuasakan walaupun wujud persetujuan lisan antara orang dewasa.

      Selain itu, mahkamah turut menimbulkan keraguan terhadap dokumen sokongan yang dikemukakan oleh Chu. Ibu kanak-kanak tersebut didapati buta huruf sekali gus menimbulkan persoalan tentang bagaimana dokumen berkenaan disediakan dan sama ada ia benar-benar difahami oleh pihak terbabit. Hakim berpendapat terdapat kemungkinan dokumen itu disediakan kemudian untuk menyokong tuntutan Chu.

      Akhirnya, mahkamah menolak tuntutan Chu sepenuhnya. Keputusan mahkamah tersebut disambut dengan kelegaan oleh banyak pihak kerana ia dilihat sebagai satu ketegasan undang-undang dalam melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi.

Catat Ulasan for "Kisah Cinta Seorang Guru yang Tidak Kesampaian"