Kisah Daniel Nosek: Pemuda yang Maut Akibat Terjatuh Semasa Konsert Lamb of God

Pada 24 Mei 2010, Lamb of God, sebuah kumpulan muzik heavy metal yang berasal dari Richmond, Virginia, mengadakan satu persembahan di Prague, Republik Czech bertempat di sebuah kelab kecil bernama Abaton. Konsert tersebut dikenali sebagai persembahan yang bertenaga dan berskala kecil dengan penonton berada sangat hampir dengan pentas dalam suasana yang penuh keterujaan. Antara peminat yang hadir pada malam itu ialah seorang remaja berusia 19 tahun bernama Daniel Nosek yang merupakan peminat tegar muzik logam berat dan kumpulan Lamb of God.
Semasa persembahan berlangsung, suasana menjadi semakin ganas dan tidak terkawal sebagaimana yang sering berlaku dalam konsert muzik keras. Terdapat peminat yang cuba menghampiri pentas untuk berada lebih dekat dengan ahli kumpulan. Daniel Nosek dilaporkan beberapa kali cuba memanjat pentas, satu perbuatan yang berbahaya kerana pentas persembahan tidak direka untuk dimasuki orang awam tanpa kebenaran. Berdasarkan keterangan beberapa orang saksi, Daniel akhirnya berjaya naik ke atas pentas dan berada berhampiran dengan vokalis kumpulan tersebut iaitu Randy Blythe.

Dalam keadaan yang tegang, bising dan penuh kekeliruan itu, Randy Blythe dikatakan menolak Daniel bagi mengeluarkannya dari atas pentas. Menurut kenyataan Blythe kemudian sama ada di mahkamah mahupun secara terbuka, tindakannya itu bertujuan melindungi keselamatan dirinya, ahli kumpulan lain, penonton serta peralatan pentas. Blythe menyatakan bahawa dia tidak menyangka tindakan tersebut akan mengakibatkan akibat yang serius.
Malangnya, Daniel terjatuh dengan kuat dari pentas dan kepalanya terhentak pada lantai konkrit di bawah. Hentakan tersebut menyebabkan kecederaan otak yang amat serius. Daniel segera dibantu oleh pasukan keselamatan serta penonton yang berada di lokasi sebelum dikejarkan ke hospital. Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan bahawa Daniel tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang ketika kejadian berlaku dan kecederaan otak traumatik itulah yang menyebabkaannya jatuh ke dalam keadaan koma.

Daniel kekal dalam keadaan koma selama hampir dua minggu sebelum disahkan meninggal dunia pada 6 Jun 2010 akibat komplikasi kecederaan kepala yang dialaminya. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian Daniel adalah kecederaan otak serius akibat terjatuh dari pentas.
Apa yang lebih menyayat hati, kumpulan Lamb of God termasuk Randy Blythe tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai kematian Daniel sejurus selepas insiden tersebut. Mereka hanya mengetahui tentang kejadian itu dua tahun kemudian apabila kembali ke Prague untuk mengadakan satu lagi persembahan pada 28 Jun 2012. Setibanya di Lapangan Terbang Ruzyne, Blythe telah ditahan oleh pihak polis Republik Czech atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat jenayah berkaitan insiden tersebut.
Blythe yang ketika itu berusia awal 40-an ditahan selama kira-kira 38 hari di Penjara Pankrac sementara menunggu proses perundangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada Ogos 2012. Sepanjang tempoh itu, Blythe menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat untuk mencederakan Daniel dan bahawa tindakan yang diambilnya hanyalah langkah keselamatan dalam situasi konsert yang tidak terkawal. Blythe turut menyatakan rasa terkejutnya apabila mengetahui bahawa Daniel telah meninggal dunia kerana dia tidak pernah dimaklumkan tentang keadaan sebenar selepas insiden tersebut.

Perbicaraan kes ini bermula pada 4 Februari 2013 di Mahkamah Daerah Prague dan berlangsung selama beberapa hari. Sepanjang prosiding, pelbagai saksi termasuk rakan-rakan Daniel serta pihak pembelaan memberikan keterangan yang bercanggah mengenai kejadian sebenar. Ada saksi menyatakan bahawa Daniel berulang kali cuba memanjat pentas manakala saksi lain berpendapat bahawa Blythe bertindak terlalu keras dalam menghalau peminat tersebut. Isu teknikal berkaitan cara Daniel terjatuh sama ada secara mengiring atau terus ke belakang turut dibincangkan secara terperinci sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Akhirnya pada 5 Mac 2013, mahkamah memutuskan bahawa walaupun tindakan Blythe mungkin membawa tanggungjawab moral terhadap kematian Daniel, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk mensabitkannya atas kesalahan jenayah di bawah undang-undang Republik Czech. Hakim menyatakan bahawa punca utama insiden tersebut lebih berkait dengan kelemahan aspek keselamatan lokasi konsert, kawalan penonton serta ketiadaan peraturan yang jelas dan bukan semata-mata tindakan vokalis tersebut. Disebabkan itu, Randy Blythe dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Keputusan tersebut bukan sahaja mengesahkan bahawa Blythe bebas daripada tanggungjawab jenayah selain membuka ruang kepada tindakan sivil sekiranya pihak berkaitan ingin menuntut pampasan. Namun secara keseluruhan, keputusan itu menamatkan sepenuhnya prosiding jenayah terhadap Blythe. Keputusan tersebut kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Tinggi Prague pada 5 Jun 2013, sekali gus mengukuhkan pembebasannya. Selepas kes berakhir, Blythe beberapa kali menyatakan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap keluarga Daniel. Dalam kenyataan umumnya selepas perbicaraan, dia menegaskan bahawa kejadian tersebut merupakan satu tragedi besar dan menyedihkan.
Catat Ulasan for "Kisah Daniel Nosek: Pemuda yang Maut Akibat Terjatuh Semasa Konsert Lamb of God "