KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AMIE HARWICK

     Dr. Amie Harwick merupakan seorang ahli terapi keluarga, perkahwinan dan hubungan yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Dia dikenali sebagai seorang yang lantang memperjuangkan keselamatan wanita terutama berkaitan isu keganasan dalam hubungan dan gangguan oleh pasangan atau bekas pasangan. Dalam kerjayanya, Amie banyak membantu individu yang mengalami trauma emosi dan hubungan toksik sekali gus menjadikannya seorang yang dihormati dan dipercayai. 

     Pada awal dekad 2010-an, Amie pernah menjalinkan hubungan romantik dengan seorang lelaki bernama Gareth Pursehouse. Hubungan tersebut berlangsung sekitar satu hingga dua tahun sebelum berakhir pada tahun 2012. Perpisahan itu tidak berlaku secara aman apabila Gareth menunjukkan tingkah laku mengawal, obsesif dan mengganggu. Keadaan tersebut mendorong Amie mendapatkan perintah larangan daripada mahkamah bagi melindungi dirinya. Walaupun perintah tersebut kemudiannya tamat tempoh, perpisahan itu menandakan berakhirnya hubungan mereka secara rasmi. Selepas tahun 2012, Amie dan Gareth tidak lagi berhubung dan tidak bertemu selama hampir lapan tahun.


     Sepanjang tempoh tersebut, Amie meneruskan kehidupannya dengan membina kerjaya yang kukuh dan menjalani kehidupan sosial yang stabil. Dia pernah bertunang dengan pengacara televisyen terkenal iaitu Drew Carey sebelum hubungan itu juga berakhir. Gareth pula tidak lagi berada dalam lingkaran kehidupan Amie dan dianggap sebagai sebahagian daripada masa silam yang telah lama ditinggalkan. Namun pada Januari 2020, satu pertemuan tidak sengaja telah mengubah segalanya.

     Amie dan Gareth terserempak di sebuah acara anugerah industri hiburan di Los Angeles. Pertemuan itu merupakan kali pertama mereka berjumpa sejak berpisah pada 2012. Menurut keterangan saksi dan rakan-rakan Amie, Gareth bertindak secara emosi di mana dia menyalahkan Amie atas kegagalan hidupnya dan menunjukkan tingkah laku yang tidak stabil. Selepas kejadian itu, Amie meluahkan kebimbangan terhadap keselamatannya serta menyatakan bahawa pertemuan tersebut telah membangkitkan semula rasa takut yang lama terpendam.

     Pada malam 14 Februari 2020, selepas keluar bersama rakan-rakan sempena Hari Valentine, Amie pulang ke kediamannya di kawasan Hollywood Hills pada lewat malam. Tanpa pengetahuannya, Gareth dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam rumah tersebut lebih awal dan bersembunyi sambil menunggu kepulangannya. Tidak lama selepas Amie tiba, satu pergaduhan fizikal tercetus di dalam rumah. Rakan serumah Amie kemudian terdengar jeritan kuat dan bunyi seperti seseorang sedang diserang. Dalam keadaan panik dan gagal menghubungi talian kecemasan, rakan serumah itu melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

     Apabila pihak polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian pada awal pagi 15 Februari 2020, mereka menemui Amie dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian bawah balkoni tingkat tiga rumah tersebut. Dia mengalami kecederaan parah dan segera dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati terdapat tanda-tanda pergelutan di dalam rumah termasuk kesan darah dan barang yang berselerak sekali gus menolak kemungkinan kejadian itu sebagai kemalangan.

     Laporan bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian Amie ialah kecederaan teruk akibat terjatuh dari balkoni. Pakar forensik turut menemui tanda-tanda cekikan pada leher serta kecederaan pertahanan pada tangan dan lengan yabg menunjukkan bahawa dia telah diserang secara fizikal sebelum terjatuh. Penemuan ini mengukuhkan kesimpulan bahawa kematian Amie adalah akibat perbuatan jenayah.

     Hasil siasatan lanjut, polis menumpukan perhatian kepada individu yang mempunyai sejarah konflik dengan mangsa. Keterangan rakan-rakan Amie tentang pertemuan dengan Gareth pada Januari 2020 digabungkan dengan rekod perintah larangan yang pernah dikeluarkan pada tahun 2011 dan 2012 telah menjadikan Gareth sebagai suspek utama. Rakaman kamera keselamatan di sekitar kawasan kediaman turut menunjukkan kehadiran seorang lelaki yang sepadan dengan ciri Gareth pada malam kejadian. Polis juga menemui bukti bahawa rumah tersebut telah dimasuki sebelum Amie pulang yang menyokong teori bahawa suspek telah menunggu mangsa di dalam rumah.

     Gareth Pursehouse ditahan oleh polis beberapa jam selepas kejadian. Ketika ditahan, dia didapati mengalami kecederaan ringan yang dipercayai berpunca daripada pergelutan. Gabungan bukti forensik, sejarah hubungan, keterangan saksi dan rakaman kamera keselamatan membentuk satu kes yang kukuh terhadapnya. Pihak pendakwaan berhujah bahawa pembunuhan tersebut dilakukan secara terancang dengan Gareth menceroboh rumah Amie, menunggu kepulangannya, menyerangnya dan menyebabkan mangsa terjatuh dari balkoni.

     Kes ini dibawa ke mahkamah dan pada tahun 2023. Selepas perbicaraan yang panjang, Gareth Pursehouse disabitkan kesalahan atas pertuduhan pembunuhan darjah pertama. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol menandakan bahawa dia tidak akan dibebaskan sepanjang hayatnya.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AMIE HARWICK"