Kisah Li Fengping: Daging Manusia Masak di Sebalik Tandas Tersumbat

Kes pembunuhan melibatkan Li Fengping, seorang jururawat muda berusia 25 tahun di Yulin, Wilayah Guangxi, China merupakan salah satu kes jenayah yang paling ngeri berlaku di negara tersebut pada tahun 2020. Kes ini melibatkan dinamika kuasa, ketagihan judi dan eksploitasi seksual di tempat kerja.
Li Fengping dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang miskin di kawasan pedalaman Guangxi pada tahun 1995. Sebagai anak sulung daripada empat beradik, dia memikul harapan besar keluarga untuk mengubah nasib mereka. Li dikenali sebagai seorang pelajar yang sangat cemerlang dan tekun. Demi menjimatkan kos pendidikan adik-adiknya, dia memilih untuk mengikuti program diploma kejururawatan dan bukannya ke universiti elit walaupun layak secara akademik. Hasil dedikasinya itu, dia berjaya mendapat pekerjaan di Hospital Rakyat Pertama Yulin, sebuah pencapaian yang menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampungnya.
Kehidupan Li bagaimanapun mula berubah apabila dia terjebak dengan perjudian dalam talian yang dikenali sebagai Lucky Airship. Bermula dengan pertaruhan kecil untuk menambah pendapatan, Li akhirnya menjadi ketagih sehingga menghabiskan seluruh wang simpanannya. Dalam tempoh dua tahun, dia dilaporkan telah memindahkan hampir 2.9 juta yuan (sekitar RM1.6 juta) ke platform perjudian tersebut. Kegagalan demi kegagalan dalam berjudi menyebabkan Li mula terdesak hingga mula memaksanya meminjam wang daripada rakan sekerja termasuklah mangsa iaitu Luo Yentien yang merupakan Timbalan Ketua Pakar Bedah di hospital yang sama.

Luo Yentien, seorang lelaki yang 26 tahun lebih tua daripadanya melihat keterdesakan Li sebagai peluang untuk mengeksploitasinya. Luo meminjamkan wang sebanyak 200 000 yuan (sekitar RM112 000) dengan kadar faedah yang sangat tinggi namun dia menuntut bayaran balik dalam bentuk hubungan seksual. Li mendakwa bahawa Luo sering mengugut untuk memusnahkan kerjayanya jika dia enggan melayani nafsu lelaki itu. Hubungan toksik ini berlarutan sehingga Luo menyewa sebuah pangsapuri khas berhampiran hospital untuk memaksa Li berada di bawah kawalannya pada bila-bila masa. Tekanan ini menyebabkan Li mengalami kemurungan yang teruk sehingga pernah cuba membunuh diri sebanyak tiga kali.
Kejadian sebenar berlaku pada malam 21 Mac 2020 di pangsapuri sewaan tersebut. Selepas satu lagi insiden paksaan seksual dan pertengkaran mengenai hutang serta desakan Luo untuk Li melahirkan anaknya, Li telah hilang pertimbangan. Ketika Luo sedang tidur dalam keadaan separuh mabuk atau di bawah pengaruh ubat penenang, Li mengambil kod kuasa komputer lalu menjerut leher Luo sehingga mati. Selepas memastikan mangsa tidak lagi bernyawa, dia menggunakan cap jari Luo untuk memindahkan sisa wang dari telefon mangsa ke akaunnya sendiri.

Apa yang berlaku selepas itu adalah tindakan yang dianggap sangat ngeri oleh pihak polis. Menggunakan pengetahuan anatominya sebagai jururawat, Li menghabiskan masa berjam-jam untuk mengerat mayat Luo kepada lebih 2300 kepingan kecil. Dia kemudian memasak kepingan daging tersebut untuk menghilangkan bau dan tekstur sebelum mengepamnya masuk ke dalam lubang tandas secara berperingkat. Tulang-tulang mangsa pula disembunyikan di bawah katil. Keesokan harinya, Li sempat pergi bekerja seperti biasa dengan wajah yang tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Walau bagaimanapun, jenayah tersebut terbongkar apabila sistem pembetungan bangunan pangsapuri itu tersumbat teruk hingga menyebabkan sisa yang menjijikkan melimpah keluar dan menimbulkan bau busuk. Penduduk yang curiga memanggil tukang paip dan seterusnya pihak polis menemui ceburan daging manusia di dalam paip bawah tanah. Siasatan segera membawa polis ke unit tingkat atas yang dihuni oleh Li.

Pada 23 Mac 2020, Li Fengping ditangkap dan dia terus mengaku melakukan pembunuhan tersebut. Dalam perbicaraan, walaupun pihak pembelaan cuba membangkitkan isu eksploitasi seksual dan paksaan sebagai faktor mitigasi, mahkamah mendapati tindakan Li melupuskan mayat dengan cara yang begitu kejam dan melakukan kecurian selepas pembunuhan menunjukkan niat jahat yang melampau. Pada Oktober 2020, Li Fengping dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Yulin. Segala rayuannya ditolak. Dia akhirnya menjalani hukuman mati pada 23 Februari 2023.
Catat Ulasan for "Kisah Li Fengping: Daging Manusia Masak di Sebalik Tandas Tersumbat"