Kisah Mujahid: Lelaki yang Jadi Perempuan Tanpa Rela
Pada awal Jun 2024 bertempat di negara India, satu kes jarang berlaku di mana seorang lelaki muda bernama Mujahid yang berusia sekitar 20 tahun mendakwa dirinya telah menjalani pembedahan penukaran jantina tanpa persetujuan sedar selepas ditipu oleh seorang kenalan rapat. Kejadian itu dilaporkan berlaku di Muzaffarnagar, sebuah daerah di negeri Uttar Pradesh, Indis.
Menurut keterangan Mujahid dan keluarganya, kes ini bermula apabila Mujahid menjalinkan hubungan rapat dengan seorang lelaki bernama Omprakash yang dikenalinya sebagai rakan baik. Hubungan tersebut dikatakan telah berlangsung selama lebih setahun yang pada awalnya tidak menimbulkan sebarang kecurigaan. Namun dalam tempoh itu, Omprakash didakwa mula mempengaruhi Mujahid secara psikologi seperti mengawal pergerakan dan keputusannya selain menunjukkan minat luar biasa terhadap dirinya.
Pada 3 Jun 2024, Omprakash didakwa memberitahu Mujahid bahawa dia mengalami masalah kesihatan dalaman yang serius dan perlu menjalani pemeriksaan di hospital. Mujahid yang mempercayai rakannya itu bersetuju untuk dibawa ke Begrajpur Medical College yakni sebuah hospital swasta di kawasan Mansoorpur. Mujahid mendakwa bahawa dia tidak dimaklumkan tentang sebarang prosedur pembedahan besar apatah lagi berkaitan penukaran jantina. Setibanya di hospital, Mujahid mendakwa dia telah diberikan ubat bius atas alasan pemeriksaan perubatan. Selepas itu, dia tidak lagi sedar apa yang berlaku. Apabila tersedar kemudian, Mujahid mendapati bahawa alat sulit lelakinya telah dibuang dan satu pembedahan besar telah dilakukan ke atas tubuhnya. Dalam keadaan trauma dan keliru, Mujahid diberitahu bahawa dia telah menjalani pembedahan penukaran jantina dan kini dianggap sebagai seorang perempuan.

Menurut dakwaan Mujahid, Omprakash kemudian memaklumkan bahawa pembedahan tersebut dilakukan supaya mereka boleh hidup bersama dan berkahwin. Mujahid turut mendakwa bahawa Omprakash mengugut akan mencederakan atau membunuh bapanya sekiranya dia menolak rancangan tersebut. Ugutan itu menurut Mujahid telah menyebabkan dia berada dalam keadaan ketakutan dan tekanan emosi yang teruk.
Selepas Mujahid berjaya menghubungi keluarganya, bapanya segera membuat laporan polis. Pihak polis Muzaffarnagar kemudiannya menahan Omprakash dan membuka siasatan di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan India seperti kesalahan penipuan, paksaan, menyebabkan kecederaan parah dan gangguan seksual.
Pada masa yang sama, kes ini mencetuskan protes oleh Bharatiya Kisan Union (BKU), sebuah kesatuan petani berpengaruh di Uttar Pradesh. Mereka mengadakan demonstrasi di luar hospital, menuduh wujudnya kemungkinan penyelewengan perubatan dan perdagangan organ selain mendesak tindakan tegas terhadap pihak pentadbiran hospital. Mereka turut menuntut pampasan besar kepada Mujahid sebagai ganti rugi terhadap kecederaan fizikal dan trauma psikologi yang dialaminya.
Walau bagaimanapun, pihak Begrajpur Medical College tampil memberikan kenyataan rasmi yang bercanggah sepenuhnya dengan dakwaan Mujahid. Menurut pengurusan hospital, Mujahid sebenarnya telah beberapa kali hadir ke hospital sebelum tarikh pembedahan dan secara sukarela menyatakan keinginannya untuk menjalani penukaran jantina. Hospital mendakwa bahawa Mujahid telah dirujuk kepada dua pakar psikiatri, selaras dengan garis panduan perubatan di Indi dan penilaian tersebut mendapati beliau layak untuk menjalani prosedur berkenaan.
Pihak hospital juga menyatakan bahawa mereka mempunyai rakaman video dan dokumen persetujuan yang menunjukkan Mujahid bercakap secara sedar mengenai keinginannya untuk menjalani pembedahan tersebut serta memahami implikasinya. Menurut hospital, pembedahan itu dilakukan pada 6 Jun 2024 dengan semua prosedur perubatan telah dipatuhi mengikut undang-undang sedia ada.
Percanggahan antara versi Mujahid dan kenyataan hospital menjadikan kes ini sangat kompleks. Polis kemudiannya memperluaskan siasatan untuk menilai kesahihan dokumen persetujuan, rakaman video, laporan psikiatri serta kemungkinan unsur paksaan atau manipulasi psikologi oleh pihak ketiga. Beberapa orang doktor turut dipanggil untuk memberi keterangan dan pihak berkuasa kesihatan negeri diminta menjalankan audit terhadap hospital tersebut.
Hingga setakat Disember 2025, tiada laporan rasmi yang mengesahkan bahawa kes ini telah mencapai keputusan muktamad di mahkamah. Kes ini dipercayai masih berada pada peringkat siasatan lanjutan atau proses perundangan yang lazimnya mengambil masa panjang dalam sistem kehakiman India.


Catat Ulasan for "Kisah Mujahid: Lelaki yang Jadi Perempuan Tanpa Rela"