Kisah Patrick Stubing: Lelaki yang Cabar Undang-Undang Demi Hubungan Terlarang

Kes Patrick Stubing merupakan salah satu kes paling kontroversi dalam sejarah perundangan Jerman kerana melibatkan hubungan sedarah antara adik-beradik kandung yang berlaku atas dasar kerelaan kedua-dua pihak dewasa.
Patrick Stubing dilahirkan di Jerman pada tahun 1976 dalam sebuah keluarga yang bermasalah. Pada usia yang sangat muda, dia telah dipisahkan daripada keluarga kandungnya akibat penderaan dan pengabaian. Patrick dibesarkan dalam sistem kebajikan kanak-kanak dan kemudian diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga lain. Sejak itu, dia membesar tanpa sebarang hubungan atau pengetahuan tentang adik-beradiknya sendiri termasuk adik perempuan kandungnya yang dilahirkan beberapa tahun kemudian.
Adik kandung Patrick iaitu Susan dibesarkan bersama ibu mereka. Dia tidak pernah mengenali abang kandungnya itu sehingga mencapai usia remaja. Pertemuan semula antara Patrick dan Susan hanya berlaku selepas ibu mereka meninggal dunia sekitar tahun 2000. Dalam tempoh singkat selepas pertemuan itu, hubungan antara mereka menjadi semakin rapat secara emosi. Hubungan tersebut akhirnya berkembang menjadi hubungan seksual walaupun kedua-dua mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai pertalian darah sebagai adik-beradik kandung.

Antara tahun 2001 hingga 2005 yakni hasil hubungan tersebut, Patrick dan Susan dikurniakan empat orang anak. Dua daripasa anak mereka dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan perkembangan. Pihak kebajikan kanak-kanak Jerman turut campur tangan dengan menempatkan sebahagian anak di bawah jagaan keluarga angkat demi kebajikan mereka. Keadaan ini menambah lagi perhatian pihak berkuasa terhadap hubungan tersebut.
Di bawah undang-undang Jerman, hubungan seksual antara saudara kandung adalah satu kesalahan jenayah yang jelas. Seksyen 173 Kanun Jenayah Jerman melarang perbuatan tersebut kerana dianggap mencabuli struktur keluarga dan berpotensi menjejaskan kesejahteraan generasi seterusnya. Patrick telah beberapa kali didakwa, disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara serta hukuman percubaan oleh mahkamah tempatan sepanjang tempoh hubungan tersebut berterusan.
Dalam prosiding mahkamah, keadaan Susan turut dinilai secara terperinci. Laporan pakar psikologi mendapati Susan mempunyai tahap kematangan emosi yang rendah serta kebergantungan emosi yang tinggi terhadap Patrick terutama selepas kehilangan ibu mereka. Disebabkan itu, mahkamah memutuskan bahawa Susan mempunyai tanggungjawab jenayah yang terhad dan tidak dikenakan hukuman setimpal seperti Patrick.

Tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah Jerman, Patrick membawa kesnya ke peringkat tertinggi dengan mencabar kesahihan undang-undang tersebut di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Dia berhujah bahawa hubungan yang berlaku adalah atas persetujuan bersama dan hukuman yang dikenakan melanggar haknya untuk kehidupan peribadi dan kekeluargaan. Menurut Patrick, negara tidak seharusnya campur tangan dalam hubungan peribadi antara dua individu dewasa yang bersetuju.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada tahun 2012 menolak tuntutan tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa larangan hubungan sedarah di Jerman adalah wajar dan tidak bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan masyarakat secara keseluruhan termasuk perlindungan struktur kekeluargaan, kebajikan kanak-kanak serta ketiadaan persetujuan bersama dalam kalangan negara Eropah untuk membenarkan hubungan sedarah antara adik-beradik.
Catat Ulasan for "Kisah Patrick Stubing: Lelaki yang Cabar Undang-Undang Demi Hubungan Terlarang "