Kisah Pembunuhan Kejam S. Vithiya

     Kes pembunuhan S. Vithiya merupakan antara jenayah paling kejam yang pernah berlaku di negara Sri Lanka terutama di wilayah utara negara itu. Kejadian yang berlaku pada tahun 2015 ini melibatkan pembunuhan seorang remaja perempuan yang tidak bersalah selain mendedahkan kegagalan serius sistem penguatkuasaan undang-undang dan salah guna kuasa dalam kalangan pihak berautoriti. 

     S. Vithiya ialah seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang tinggal di Pulau Pungudutivu, sebuah pulau kecil berhampiran Jaffna. Dia merupakan pelajar sekolah menengah yang dikenali sebagai seorang yang pendiam, berakhlak baik dan rajin belajar. Kehidupannya sederhana dan tidak pernah dikaitkan dengan sebarang masalah sosial. Seperti kebanyakan pelajar lain, Vithiya sering menghadiri kelas tambahan bagi membantu persediaan akademiknya.

     Pada 13 Mei 2015, Vithiya keluar dari rumah untuk menghadiri kelas tambahan seperti kebiasaannya. Namun pada hari tersebut, dia tidak pernah kembali. Apabila waktu semakin lewat, Vithiya masih belum pulang hingga menyebabkan keluarganya mula berasa cemas. Usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung sebelum laporan kehilangan dibuat kepada pihak polis. Walaupun laporan awal telah dibuat, tindakan segera yang diharapkan tidak berlaku.

     Keesokan harinya, penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan mayat Vithiya di kawasan semak berhampiran jalan utama di Pulau Pungudutivu. Keadaan mayatnya amat menyayat hati dan jelas menunjukkan dia telah menjadi mangsa keganasan seksual. Penemuan ini menimbulkan kesedihan mendalam dan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat kerana Vithiya dikenali ramai sebagai seorang remaja yang tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

     Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa Vithiya telah dirogol secara beramai-ramai sebelum dibunuh dengan kejam. Dia mengalami kecederaan parah di seluruh badan akibat penderaan fizikal yang teruk. Laporan perubatan turut mengesahkan bahawa kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah yang disengajakan sekali gus menafikan sebarang kemungkinan kematian akibat kemalangan.

     Siasatan awal polis bagaimanapun mencetuskan pelbagai persoalan dan kritikan. Kelewatan menangkap suspek, percanggahan kenyataan serta kegagalan mengendalikan bukti dengan telus menimbulkan kemarahan orang ramai. Keadaan menjadi lebih serius apabila timbul dakwaan bahawa beberapa suspek mempunyai hubungan rapat dengan anggota polis dan pasukan keselamatan tempatan. Antara suspek utama yang dikenal pasti ialah seorang lelaki dikenali sebagai Mahalingam Sasikumar atau lebih dikenali sebagai Swiss Kumar. Dia dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian rogol dan pembunuhan tersebut. Penahanannya bagaimanapun dikatakan berlaku secara lambat. Siiasatan kemudian mendedahkan bahawa terdapat cubaan untuk melindunginya daripada tindakan undang-undang. Malah beberapa pegawai polis didakwa membantu suspek melarikan diri dan memusnahkan bukti penting.

     Tekanan awam yang berterusan akhirnya memaksa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang lebih menyeluruh. Kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Jaffna. Pada tahun 2017, seramai tujuh individu termasuk Swiss Kumar telah disabitkan bersalah atas pertuduhan menculik, merogol dan membunuh Vithiya. Mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap kesemua tertuduh. Walau bagaimanapun, hukuman tersebut tidak dilaksanakan serta-merta kerana semua tertuduh telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan Sri Lanka. Proses rayuan ini berlarutan selama bertahun-tahun hingga menyebabkan kekecewaan dalam kalangan keluarga mangsa yang menganggap keadilan masih belum sepenuhnya ditegakkan.

     Dalam perkembangan berkaitan, tindakan undang-undang turut diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam usaha melindungi suspek. Pada tahun 2025, seorang bekas pegawai kanan polis telah dijatuhi hukuman penjara kerana membantu suspek utama melarikan diri dan menghalang keadilan. Selain itu, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap pegawai lain yang disyaki bersubahat dalam kes tersebut.

     Sehingga kini, status kes pembunuhan S. Vithiya masih berada di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Hukuman mati yang dijatuhkan pada tahun 2017 masih belum dimuktamadkan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam S. Vithiya"