Keadilan di Hujung Mata Pisau: Kisah Kim Bu-nam

     Kes Kim Bu-nam yang berlaku pada awal tahun 1990-an kekal sebagai salah satu peristiwa paling memilukan dan kontroversi dalam sejarah perundangan Korea Selatan. Kes ini adalah tentang kegagalan sistem sosial dan undang-undang dalam melindungi mangsa gangguan seksual kanak-kanak. Kisah ini bermula pada tahun 1970 di sebuah perkampungan luar bandar di Jeollabuk-do apabila Kim Bu-nam yang ketika itu hanyalah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, telah diperkosa secara kejam oleh jirannya, Song Baek-kwon. Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, Song mengugut untuk membunuh seluruh keluarga Kim jika dia berani menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa. Hal ini menyebabkan mangsa hidup dalam ketakutan yang amat sangat selama berdekad-dekad.

     Trauma yang dipendam selama 21 tahun itu telah merosakkan kehidupan Kim Bu-nam. Dia membesar dengan pelbagai gangguan psikologi termasuk mimpi ngeri yang berterusan dan ketidakupayaan untuk membina hubungan intim yang normal. Apabila dia dewasa serta berkahwin, kehidupan rumah tangganya hancur kerana dia mengalami trauma fizikal dan mental setiap kali suaminya cuba mendekatinya. Kegagalan perkahwinan pertama Kim membawa kepada pendedahan rahsia hitam tersebut kepada keluarganya. Walau bagaimanapun, tindak balas ibu bapanya amat mengecewakan. Mereka bukannya memberikan sokongan emosi tetapi sebaliknya menghantar Kim ke hospital sakit jiwa kerana menganggapnya mengalami gangguan mental.

     Penderitaan Kim memuncak apabila dia cuba mencari keadilan melalui saluran undang-undang selepas perkahwinan keduanya juga gagal atas sebab yang sama. Setelah mempelajari undang-undang secara kendiri, dia mendapati bahawa tempoh had masa untuk melaporkan jenayah seksual terhadapnya telah lama tamat menurut undang-undang Korea pada waktu itu. Keadaan menjadi lebih parah apabila dia mengetahui bahawa keluarganya sendiri telah menerima wang pampasan sebanyak 400 000 won (sekitar RM1400) daripada pelaku secara rahsia dan mendesaknya agar melupakan perkara tersebut demi maruah keluarga. Pengkhianatan daripada sistem perundangan dan darah daging sendiri akhirnya mendorong Kim Bu-nam untuk mengambil tindakan drastik.

     Pada 30 Januari 1991, Kim Bu-nam yang telah mempersiapkan dirinya dengan latihan fizikal dan senjata telah pergi ke rumah Song Baek-kwon yang ketika itu sudah berusia 55 tahun dan terlantar lumpuh akibat angin ahmar. Dalam satu serangan yang penuh dengan kemarahan dan dendam yang terpendam selama dua dekad, Kim telah menikam perut Song berkali-kali sebelum bertindak mengerat kemaluan lelaki tersebut sebagai simbol pembersihan trauma yang dialaminya. Apabila ditangkap oleh pihak polis, Kim langsung tidak menunjukkan rasa kesal. Dia bahkan dengan tegas menyatakan di mahkamah bahawa dirinya tidak membunuh seorang manusia namun sebaliknya telah menghapuskan seekor binatang yang telah meragut masa depannya.

     Kes ini akhirnya mencetuskan gelombang kesedaran besar-besaran di Korea Selatan mengenai hak mangsa serangan seksual. Sokongan padu daripada badan-badan wanita dan orang awam membawa kepada keputusan mahkamah yang lebih ringan di mana dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan yang ditangguhkan selama tiga tahun beserta arahan menjalani rawatan psikiatri. Kim Bu-nam akhirnya dibebaskan pada Mei 1993.

Catat Ulasan for "Keadilan di Hujung Mata Pisau: Kisah Kim Bu-nam"