Kes Pembunuhan Kejam Ramna Ilato

Satu kes menyayat hati telah berlaku di Desa Lito, Kecamatan Paguyaman Pantai, Kabupaten Boalemo, Provinsi Gorontalo, Indonesia. Seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 13 tahun Ramna Ilato atau lebih mesra dipanggil Dais telah ditemui maut dalam keadaan yang sangat ngeri. Apa yang lebih mengejutkan, dalang di sebalik kejadian kejam ini merupakan ahli keluarga terdekat mangsa sendiri iaitu abang iparnya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan kakak mangsa.
Kejadian bermula pada malam Sabtu, 14 Februari 2026. Suasana di Desa Lito ketika itu sedang meriah dengan sebuah majlis pesta keramaian. Dais yang merupakan seorang pelajar darjah enam yang ceria telah pergi ke rumah kakaknya yang terletak berhampiran lokasi pesta. Namun kegembiraan malam itu mula dicemari dengan gelagat aneh abang iparnya, Rizky Poy (19 tahun), seorang mahasiswa yang selama ini dikenali sebagai seorang yang berbudi bahasa. Di hadapan isterinya sendiri (kakak mangsa), Rizky secara berani mula menunjukkan gangguan seksual dengan memegang pipi Dais. Perbuatan tidak sopan itu menyebabkan kakak mangsa berasa marah dan menegur suaminya. Namun teguran itu tidak mematikan niat jahat Rizky.
Sekitar jam 8:30 malam, Rizky berjaya memujuk Dais untuk keluar bersamanya ke pesta dengan alasan untuk membelikan snek di warung manakala kakaknya pula tinggal di rumah tanpa mengesyaki apa-apa yang buruk akan berlaku. Kelicikan Rizky terserlah apabila dia membawa Dais berpindah-pindah tempat untuk mengelakkan dikesan. Dia menggunakan wang saku sebagai umpan agar Dais mengikut telunjuknya. Sementara itu, kakak mangsa yang menyedari adiknya tidak pulang-pulang mula berasa cemas. Dia bersama rakan-rakan Dais keluar mencari di sekitar kawasan pesta dalam keadaan menangis hiba.

Ironinya ketika pencarian sedang giat dijalankan, Rizky dan Dais sebenarnya sedang bersembunyi di belakang sebuah warung yang gelap. Rizky memastikan Dais mendiamkan diri supaya suara mereka tidak didengari oleh kakaknya yang sedang lalu-lalang mencarinya. Selepas keadaan menjadi sunyi dan orang ramai mula bersurai dari pesta, Rizky membawa mangsa ke bawah sebuah jambatan yang terletak hanya 20 meter dari rumah orang tua mangsa untuk melakukan gangguan seksual yang lebih melampau.
Menjelang tengah malam, mangsa dibawa ke kawasan hutan paya bakau yang terpencil di pesisir Desa Bubaa. Di sana, mangsa cuba diperkosa namun Dais bertindak nekad dengan melawan dan mengancam akan melaporkan segala perbuatan terkutuk itu kepada ibu bapanya. Ancaman tersebut menyebabkan Rizky panik dan hilang pertimbangan. Dalam keadaan berang, pelaku telah menduduki dada mangsa dan menghempap tangannya dengan lutut. Rizky kemudian mengambil sebatang kayu bakau yang tajam lalu menikam kerongkong serta leher Dais berkali-kali sehingga mangsa menghembuskan nafas terakhir. Bagi melenyapkan bukti, Rizky menyeret mayat adik iparnya itu ke sebuah perahu. Dia kemudian mendayung sejauh 20 minit ke tengah laut untuk membuang jasad Dais. Rizky turut mengikat pakaian dalam mangsa dengan batu agar tenggelam ke dasar laut.

Rizky pulang ke rumah sekitar jam 2:24 pagi dengan wajah yang tenang. Apabila disoal oleh isterinya tentang keberadaan Dais, dia hanya menjawab tidak tahu secara acuh tidak acuh sebelum masuk tidur. Keesokan harinya, pada petang Ahad, 15 Februari 2026, jasad Dais ditemui terapung oleh penduduk kampung yang pada mulanya menyangka ia hanyalah sebuah patung. Apa yang paling menyakitkan hati keluarga adalah apabila Rizky berpura-pura terkejut dan sedih. Dia bahkan turut serta membantu pihak polis mengangkat mayat adik iparnya itu dari pantai.
Hasil bedah siasat di Hospital Bhayangkara Limboto bagaimanapun mendedahkan kesan kekerasan fizikal yang jelas. Melalui risikan pihak polis dan keterangan saksi yang melihat bayangan pelaku, Rizky akhirnya tidak dapat lagi berselindung. Pada Isnin malam, 16 Februari 2026, Rizky telah ditahan dan akhirnya mengakui segala perbuatannya. Dia kini berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau lebih mengikut Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak dan Kanun Keseksaan Indonesia.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Ramna Ilato"