Kisah Kematian Yusana yang Benar-Benar Menyedihkan


     Kes yang mengejutkan Korea Selatan ini bermula pada 17 November 2024 apabila seorang pegawai tentera berpangkat Sarjan iaitu Kim Dong-hun membuat panggilan kecemasan ke talian 119 dari kediamannya di Wilayah Gyeonggi. Dalam panggilan tersebut, dia memaklumkan bahawa isterinya, Yusana (bukan nama sebenar) berada dalam keadaan lemah dan hampir tidak sedarkan diri. Namun sebaik sahaja pasukan paramedik tiba di apartmen berkenaan, mereka berdepan dengan satu pemandangan yang amat mengerikan dan jauh melampaui jangkaan.

     Sebaik pintu dibuka, anggota penyelamat dihentam bau busuk yang amat menyengat seolah-olah bangkai yang telah lama mereput. Di ruang utama kediaman itu, Yusana ditemui terbaring di atas sebuah kerusi malas dalam keadaan yang amat menyedihkan. Tubuhnya diliputi najis dan ulat yang merayap pada kulitnya yang telah mengalami nekrosis iaitu proses pereputan tisu semasa masih hidup. Paramedik menggambarkan keadaan kulit mangsa seakan-akan mencair dan melekat pada permukaan kerusi akibat pengabaian berpanjangan selama berbulan-bulan tanpa rawatan atau pembersihan.


     Hasil siasatan perubatan selepas kematian mendedahkan penderitaan yang sukar dibayangkan. Yusana disahkan meninggal dunia akibat sepsis tahap kritikal. Berat badannya dilaporkan menyusut kira-kira 30 kilogram manakala pemeriksaan forensik menemukan sekitar tujuh liter cecair terkumpul dalam rongga abdomen. Turut ditemui ialah kesan patah tulang rusuk serta luka yang dipercayai berpunca daripada objek tajam. Penemuan ini secara langsung menafikan dakwaan suaminya bahawa dia tidak menyedari keadaan sebenar isterinya. Pakar forensik merumuskan bahawa mangsa berkemungkinan dibiarkan tanpa bantuan perubatan sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebelum meninggal dunia.

     Siasatan turut mendedahkan bahawa dalam tempoh penderitaan tersebut, Kim Dong-hun didakwa menjalani kehidupan harian seperti biasa. Perincian inilah yang kemudian mencetuskan kemarahan orang ramai terutama apabila terbongkar layanan berbeza yang diberikan terhadap anjing peliharaan mereka berbanding isterinya sendiri. Rekod perbelanjaan menunjukkan bahawa sepanjang tiga hingga lima bulan sebelum kematian Yusana, Kim secara konsisten menghantar dua ekor anjing peliharaan mereka ke kedai dandanan haiwan untuk dimandikan dan dipotong bulu. Resit daripada klinik veterinar bagi September dan Oktober 2024 turut membuktikan bahawa dia membawa haiwan tersebut mendapatkan rawatan apabila didapati kurang sihat. Ini menunjukkan Kim mempunyai masa, kemampuan kewangan dan kesedaran untuk menjaga kebajikan haiwan peliharaan.

     Rekod perubatan Yusana pula sebaliknya menunjukkan kali terakhir mangsa menerima rawatan hospital adalah pada Jun 2024 yakni kira-kira lima bulan sebelum meninggal dunia. Dalam tempoh itu, tiada sebarang usaha direkodkan untuk mendapatkan bantuan perubatan walaupun keadaan fizikal mangsa semakin merosot sehingga membawa kepada jangkitan sepsis yang membawa maut.


     Lebih mengejutkan, Kim turut menghantar gambar anjing-anjing tersebut yang kelihatan bersih dan ceria ke dalam kumpulan WhatsApp keluarga mentuanya. Gambar-gambar tersebut memberi gambaran bahawa keadaan rumah tangga mereka berada dalam keadaan baik dan terurus. Pada masa yang sama, dia mendakwa isterinya mengalami gangguan panik yang serius dan enggan berjumpa sesiapa. Tindakan ini dipercayai bertujuan mengaburi mata keluarga mangsa serta menutup keadaan sebenar yang berlaku di dalam rumah.

     Pakar psikologi jenayah yang ditemu bual dalam dokumentari Unanswered Questions terbitan stesen penyiaran SBS berpendapat bahawa layanan berbeza terhadap anjing dan isteri ini menggambarkan pola kawalan dan pembentukan imej sosial. Menerusi penjagaan haiwan peliharaan secara teratur, tertuduh dapat mengekalkan imej sebagai individu yang penyayang dan bertanggungjawab di mata jiran serta rakan sekerja sekali gus mengurangkan kemungkinan timbulnya syak wasangka.

     Tentang sudut perundangan, pihak pendakwa raya tentera menaik taraf pertuduhan daripada pengabaian kepada membunuh melalui kegagalan bertindak. Dalam prinsip undang-undang jenayah, seseorang boleh dipertanggungjawabkan atas kematian mangsa bukan sahaja melalui tindakan langsung tetapi juga melalui kegagalan bertindak apabila wujud tanggungjawab undang-undang untuk berbuat demikian. Sebagai suami, Kim mempunyai kewajipan untuk memastikan isterinya menerima rawatan perubatan sewajarnya. Pihak pendakwaan berhujah bahawa dia menyedari risiko kematian yang hampir pasti namun tetap membiarkan keadaan tersebut berlarutan.


     Kes ini dibicarakan di Mahkamah Tentera Wilayah Kedua kerana Kim masih dalam perkhidmatan ketika kejadian berlaku. Dalam pembelaannya, dia mendakwa tidak menyedari tahap kesihatan isterinya yang sebenar dan menyatakan bahawa mangsa enggan mendapatkan rawatan hospital atas faktor masalah mental. Namun hujah ini dipersoalkan oleh pakar memandangkan bau pereputan yang kuat serta bukti kecederaan fizikal yang konsisten dengan unsur penderaan.

     Jika disabitkan atas kesalahan pengabaian yang membawa maut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga sepuluh tahun. Namun jika mahkamah menerima hujah bahawa wujud niat tersirat untuk membunuh melalui kegagalan bertindak, hukuman boleh meningkat kepada penjara minimum lima belas tahun atau bahkan penjara seumur hidup. 


Catat Ulasan for "Kisah Kematian Yusana yang Benar-Benar Menyedihkan"