Kisah Pembunuhan Kejam Darna Sri Astuti

     Kes jenayah yang berlaku pada Mac 2013 di Jakarta ini kekal sebagai salah satu sejarah hitam dalam lipatan kes jenayah di Indonesia. Kes ini melibatkan seorang lelaki bernama Benget Situmorang atau lebih dikenali dengan panggilan Impus yang tergamak melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan terhadap isterinya sendiri iaitu Darna Sri Astuti. Kes ini turut diselubungi dengan dakwaan ngeri mengenai penggunaan daging mangsa dalam masakan soto yang dijual kepada orang ramai.

     Benget Situmorang merupakan seorang pemandu Metro Mini di Jakarta yang mempunyai rekod panas baran yang melampau. Sebelum berkahwin dengan mangsa, Benget pernah berkahwin dengan seorang wanita bernama Roini. Walau bagaimanapun, perkahwinan tersebut hancur disebabkan sifat kaki pukul Benget yang mengakibatkan mata kiri Roini menjadi buta kekal. Selepas berpisah dengan Roini, Benget berkahwin dengan Darna Sri Astuti. Mereka menjalankan perniagaan warung soto di kawasan Terminal Kampung Rambutan. Kebahagiaan itu bagaimanapun hanya sementara apabila Benget mula menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pembantu warung jamu bernama Tini.

     Kemuncak konflik berlaku pada malam 2 Mac 2013. Benget yang berada di bawah pengaruh alkohol telah menuduh Darna berlaku curang namun tuduhan itu dipercayai hanyalah alasan untuk dia melepaskan kemarahan. Dalam keadaan mabuk, Benget menyiksa Darna selama berjam-jam dari tengah malam sehingga subuh. Penyiksaan tersebut sangat sadis di mana Benget bukan sahaja memukul mangsa dengan objek tumpul malah bertindak melakukan penderaan seksual yang ekstrem. Tini, kekasih gelap Benget dilaporkan berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan kejam tersebut tanpa menghalangnya secara berkesan. Akibat pendarahan hebat dan kecederaan dalaman, Darna akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang sangat tragis.


     Menyedari mangsa telah meninggal dunia, Benget dan Tini mula panik. Bagi menghilangkan bukti, mereka mengambil keputusan untuk mengerat tubuh Darna kepada enam bahagian. Proses ngeri ini dilakukan pada malam 4 Mac 2013 menggunakan parang dan pisau. Pada keesokan paginya, Benget menyewa sebuah van dengan alasan mahu membeli barangan dapur. Dia kemudian memandu ke arah Lebuhraya Tol Jakarta-Cikampek lalu membuang bungkusan plastik hitam yang mengandungi potongan badan mangsa secara berasingan di setiap beberapa kilometer untuk mengelirukan pihak berkuasa.

     Pada pagi 5 Mac 2013, petugas peronda lebuhraya telah menemui bungkusan-bungkusan tersebut yang mengandungi kaki, tangan dan bahagian badan manusia yang lain. Siasatan pantas pihak polis membawa kepada penangkapan Benget dan Tini di kediaman mereka di Ciracas. Namun apa yang lebih menghantui orang ramai adalah laporan mengenai bahagian organ dalaman mangsa yang tidak ditemui sepenuhnya di lebuhraya. Terdapat dakwaan kuat bahawa sebahagian daripada daging mangsa telah dicincang dan dicampur ke dalam kuah soto yang dijual oleh Benget di warungnya di Terminal Kampung Rambutan sebelum dia ditangkap. Perkara ini mencetuskan trauma mendalam kepada pelanggan yang pernah makan di warung tersebut.

     Pihak pendakwa raya menuntut hukuman mati ke atas Benget Situmorang di bawah Pasal 340 KUHP atas tuduhan pembunuhan terancang. Sementara itu, Tini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana bersubahat. Benget tidak sempat menerima hukuman gantung atau tembak kerana sewaktu menunggu perbicaraan akhir, kesihatannya merosot tajam akibat penyakit Tibi yang kronik. Pada 30 September 2013, Benget Situmorang dilaporkan meninggal dunia di dalam pusat tahanan. 

 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Darna Sri Astuti"