Dua Wanita Uzbekistan Dibunuh, Dikerat dan Dibuang Dalam Tong Sampah

     TURKIYE– Satu pendedahan yang amat mengerikan telah menggemparkan bandar raya Istanbul apabila pihak berkuasa mengesahkan penemuan kes pembunuhan kedua melibatkan seorang wanita warga Uzbekistan di sebuah di daerah Umraniye. Kes yang pada mulanya hanya melibatkan satu kematian kini berkembang menjadi siasatan pembunuhan bersiri yang melibatkan taktik pelupusan mayat yang sangat kejam.

     ​Siasatan terbaharu ini memfokuskan kepada kehilangan Sayora Ergasheva, seorang wanita berusia 32 tahun yang dilaporkan hilang oleh ibu bapanya selepas gagal dihubungi sejak 23 Januari lalu. Ibu bapa mangsa yang bimbang dengan keselamatan anak mereka telah membuat laporan polis yang kemudian mencetuskan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak Polis Istanbul.

​     Menerusi semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis berjaya mengesan pergerakan terakhir Sayora pada 23 Januari. Rakaman tersebut menunjukkan mangsa memasuki sebuah bangunan di Umraniye dan menuju ke sebuah unit kediaman di tingkat separa bawah tanah. Namun apa yang mencurigakan adalah mangsa dikesan masuk ke bangunan tersebut tetapi tidak pernah dilihat keluar semula dari premis berkenaan.

     Bangunan yang sama sebelum ini telah menjadi tumpuan negara selepas kes pembunuhan seorang lagi wanita Uzbekistan iaitu Durdona Kokimova yang terbongkar pada 24 Januari. Hasil siasatan lanjut mendedahkan bahawa kedua-dua mangsa sebenarnya dibunuh di lokasi yang sama oleh suspek yang sama.

     Dua lelaki warga Uzbekistan yang kini berada dalam tahanan di Penjara Maltepe atas tuduhan membunuh Durdona telah dikeluarkan sementara untuk soal siasat. Kedua-dua suspek mengaku telah membunuh Sayora dengan cara yang sama seperti mangsa pertama. Mereka mendedahkan bahawa selepas membunuh mangsa, mereka bertindak di luar kemanusiaan dengan mengerat mayat mangsa bagi memudahkan proses pelupusan.

​     Bagi menghilangkan bukti, suspek memasukkan bahagian tubuh mangsa ke dalam beg plastik sampah sebelum disumbat ke dalam sebuah bagasi berwarna putih. Rakaman CCTV turut menunjukkan suspek membawa keluar beg-beg besar tersebut dari rumah berkenaan dan menaiki teksi. Mayat-mayat tersebut termasuk bahagian kepala yang telah dipisahkan kemudian dibuang ke dalam pelbagai tong sampah di sekitar daerah Sisli dan Fatih bagi mengelirukan pihak berkuasa.

​     Rekod perjalanan menunjukkan Sayora baru sahaja tiba di Istanbul dari Rusia pada 28 Disember untuk memulakan kehidupan baharu. Namun malang apabila kehidupannya berakhir di tangan pembunuh yang kejam. Kedua-dua suspek kini sedang berdepan dengan proses perbicaraan tambahan di Pejabat Pendakwa Raya Anadolu, Istanbul untuk pertuduhan membunuh dan mencabuli mayat Sayora Ergasheva. ​Pihak berkuasa sedang menunggu keputusan hakim sama ada suspek akan dikenakan tahanan reman tambahan atau hukuman lain sementara menunggu perbicaraan penuh kes pembunuhan berganda ini tamat.


Catat Ulasan for "Dua Wanita Uzbekistan Dibunuh, Dikerat dan Dibuang Dalam Tong Sampah"