Kisah Pembunuhan Kejam di Wonogiri: Misteri Kehilangan Pegawai Bank Terbongkar di Lubang Belakang

Kes pembunuhan kejam yang berlaku di Wonogiri, Jawa Tengah pada bulan Mac 2024 ini bermula apabila seorang wanita yang dilaporkan hilang rupa-rupanya telah dibunuh dan dibakar oleh kekasihnya sendiri. Mangsa iaitu Kartika Margarety Pratiwi, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank swasta telah menjadi mangsa keganasan lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek utama kes ini yang dikenali sebagai Suprianto bukanlah individu yang baru pertama kali berurusan dengan pihak berkuasa. Dia merupakan seorang bekas banduan. Pada tahun 2009, Suprianto pernah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun kerana terlibat dalam kes rompakan bersenjata dan pembunuhan. Namun pada tahun 2020, dia dibebaskan lebih awal melalui program asimilasi setelah menjalani hukuman selama 11 tahun.
Walaupun pernah menunjukkan perubahan tingkah laku yang baik di dalam penjara, watak asalnya yang panas baran dan tidak stabil tetap menghantui kehidupannya selepas bebas. Dia pernah berkahwin selepas keluar dari penjara tetapi perkahwinan tersebut hanya bertahan selama beberapa bulan kerana isterinya tidak tahan dengan sikapnya yang sering mengugut mahu membakar mangsa hidup-hidup.

Hubungan antara Suprianto dan Kartika bermula melalui penglibatan mereka dalam sebuah organisasi seni bela diri. Namun konflik mula timbul apabila Kartika menyatakan hasratnya untuk menamatkan hubungan cinta mereka. Kartika dilaporkan ingin kembali semula kepada bekas suaminya demi masa depan dan kebahagiaan keluarganya. Pada petang 26 Mac 2024, Kartika pergi ke rumah Suprianto dengan niat untuk berbincang secara baik mengenai keputusan perpisahan tersebut. Walau bagaimanapun, perbincangan itu bertukar menjadi pertengkaran yang sangat tegang. Menurut pengakuan suspek, Kartika telah menyiram kopi panas ke arahnya yang kemudian mencetuskan kemarahan luar kawalan Suprianto. Dalam keadaan amuk, dia bertindak menekup muka Kartika menggunakan sehelai tuala selama lebih kurang lapan minit sehingga mangsa kejang dan akhirnya meninggal dunia akibat lemas.
Selepas menyedari mangsa sudah tidak bernyawa, Suprianto tidak menunjukkan rasa kesal tetapi sebaliknya bertindak licik untuk menghilangkan jejak jenayahnya. Dia menggali dua buah lubang di kawasan belakang rumahnya yang tersorok. Mangsa kemudian diletakkan di dalam lubang pertama lalu dibakar menggunakan petrol serta tayar terpakai bagi memastikan mayat tersebut hangus dan sukar dicam. Setelah tubuh mangsa musnah dimakan api, dia memindahkan sisa-sisa rangka tersebut ke lubang kedua untuk ditimbus. Bagi mengaburi mata jiran tetangga dan pihak berkuasa, dia menutup kawasan galian tersebut dengan timbunan sampah, semak-samun dan sisa kayu agar ia kelihatan seperti kawasan pembuangan sampah biasa.

Kehilangan Kartika mula menimbulkan tanda tanya apabila dia gagal dihubungi oleh ahli keluarganya selepas waktu bekerja. Siasatan pihak polis mula menumpukan perhatian kepada Suprianto selepas mendapat maklumat daripada saksi yang melihat mangsa memasuki rumah lelaki tersebut pada hari kejadian tetapi kelibatnya tidak kelihatan keluar selepas itu. Pihak polis akhirnya menyerbu kediaman suspek dengan bantuan unit anjing pengesan (K9). Anjing pengesan tersebut berjaya mengesan bau mayat di satu titik mencurigakan di pekarangan belakang rumah. Selepas kerja-kerja penggalian dilakukan, pihak berkuasa menemui rangka manusia yang sudah rentung. Ujian DNA seterusnya mengesahkan bahawa rangka tersebut adalah milik Kartika.
Kes ini kini dalam proses perbicaraan di mahkamah. Berikutan Suprianto adalah seorang bekas banduan yang mengulangi jenayah perbuatan jenayah, ramai pihak berharap agar dia dikenakan hukuman yang paling berat iaitu penjara seumur hidup atau hukuman mati walaupun mengikut undang-undang asas pembunuhan, dia berdepan hukuman minimum 15 tahun penjara.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam di Wonogiri: Misteri Kehilangan Pegawai Bank Terbongkar di Lubang Belakang"