Pembunuhan Kejam di Bilik 502: Obsesi Gelap Remaja

     Pada bulan Oktober 2025, satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku di bandar Yangon, Myanmar. Kejadian ini bermula di Hotel Terti Beauty Land, sebuah premis penginapan yang terletak di kawasan sibuk Pabedan Township. Segalanya terbongkar pada pagi Isnin, 6 Oktober apabila orang awam yang sedang memulakan rutin harian dikejutkan dengan pemandangan ngeri iaitu sebuah beg plastik biru besar yang tersangkut secara janggal di antara unit pendingin hawa di tingkat lima bangunan hotel tersebut.

      Pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian mendedahkan satu penemuan yang menyayat hati. Di dalam plastik tersebut, terbaring kaku jasad seorang wanita muda yang dikenal pasti sebagai Ma Su Myat Win, 23 tahun. Mangsa yang berasal dari wilayah Nataline itu merupakan seorang perantau yang datang ke kota besar Yangon dengan harapan untuk membina masa depan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, impiannya berkubur dalam keadaan yang sangat ngeri. Keadaan fizikal mangsa menunjukkan kesan kecederaan ekstrem di mana pihak forensik menemui pelbagai luka tikaman dalam serta kesan pemotongan anggota badan yang dilakukan dengan penuh ketelitian seolah-olah pelaku mempunyai perancangan yang rapi dan bukannya bertindak mengikut emosi semata-mata.

     Penyiasatan digital menjadi kunci utama dalam merungkai misteri ini. Melalui analisis telefon bimbit mangsa, pihak polis menemui jejak komunikasi di sebuah saluran Telegram bernama Leader. Saluran ini merupakan ruang gelap (dark web) yang sering digunakan untuk urusan perkhidmatan tanpa kontrak rasmi. Mangsa telah diperdaya oleh seorang individu yang menyamar sebagai pelanggan. Pelaku menggunakan kata-kata yang halus dan tawaran wang tunai lumayan untuk memancing mangsa ke Hotel Beauty Land. Tanpa disedari, Ma Su Myat Win sebenarnya sedang melangkah masuk ke dalam perangkap maut yang telah disediakan oleh seorang remaja berusia 18 tahun.

     Hasil rakaman litar tertutup (CCTV) dan bukti digital membawa kepada penangkapan dua suspek utama iaitu Aung Kyaw Zin dan teman wanitanya, Mae Mon Aung. Penangkapan ini mengejutkan kerana kedua-duanya baru sahaja berusia 18 tahun. Aung Kyaw Zin yang digambarkan sebagai seorang pemuda yang pendiam dan penyendiri oleh jiran-jirannya mengaku melakukan pembunuhan tersebut tanpa rasa kesal yang mendalam. Apa yang lebih mengerikan, dia mendedahkan bahawa motif utamanya adalah untuk merealisasikan obsesi fantasi gelap yang dipelajarinya melalui filem-filem jenayah barat, video grafik kekerasan dan permainan video bertema pembunuhan. Dia mahu meniru teknik pemisahan organ dan daging yang sering dilihatnya di skrin komputer dalam dunia nyata. Peranan Mae Mon Aung pula adalah sebagai rakan subahat yang membantu membersihkan kesan darah di bilik hotel dan membantu menyembunyikan mayat selepas pembunuhan berlaku. 

     Pihak berkuasa menemui barangan peribadi mangs seperti pakaian yang berlumuran darah dan dua bilah pisau keluli yang telah diasah tajam di rumah suspek. Kes ini kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Myanmar yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Pembunuhan Kejam di Bilik 502: Obsesi Gelap Remaja "