Kisah Pembunuhan Kejam Jovelyn Galeno

     Kes kehilangan Jovelyn Galeno, seorang gadis cantik berusia 22 tahun di Puerto Princesa, Filipina pada Ogos 2022 pernah menggemparkan media sosial dan mencetuskan pelbagai spekulasi mistik sebelum kebenaran yang pahit akhirnya terbongkar. Jovelyn yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah butik di pusat beli-belah Robinson Place Mall dilaporkan hilang selepas tamat waktu bekerja pada malam 5 Ogos 2022. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terakhir menunjukkan kelibatnya masih berada di dalam kawasan mall tersebut.  Namun selepas Jovelyn melangkah keluar, jejaknya seolah-olah hilang ditelan bumi.

​     Apa yang menjadikan kes ini tular secara luar biasa adalah kaitannya dengan urban legend atau legenda bandar yang menghantui pusat beli-belah tersebut sejak sekian lama. Penduduk setempat mempercayai kewujudan Snake Man (manusia ular) atau Taong Ahas yang kononnya mendiami ruang rahsia di bawah bilik persalinan untuk mencari mangsa. Spekulasi liar di media sosial mendakwa Jovelyn telah diculik oleh entiti ini untuk dijadikan sebagai korban bagi menjamin kekayaan pemilik pusat beli- belah itu. Malah nama aktres terkenal iaitu Alice Dixson turut terpalit semula dalam kontroversi ini sehingga dia terpaksa membuat dia kenyataan terbuka bagi menafikan dakwaan bahawa dirinya pernah dibayar untuk menutup mulut mengenai rahsia mistik ppusat beli-belah tersebut pada masa lalu.

​     Walau bagaimanapun, segala teori mistik itu mula runtuh apabila siasatan polis menemui petunjuk fizikal yang nyata selepas 18 hari pencarian dilakukan. Pada 23 Ogos 2022, pihak berkuasa menemui barang peribadi mangsa seperti beg galas, kad pengenalan dan pakaian di sebuah kawasan semak terpencil di Barangay Santa Lourdes. Di lokasi yang sama, polis menemui tulang-belulang manusia yang sudah kering sepenuhnya. Keadaan mayat yang hanya tinggal tulang dalam tempoh singkat itu menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan pakar forensik kerana proses pereputan sedemikian lazimnya mengambil masa berbulan-bulan. Muncul teori kuat bahawa pelaku mungkin menggunakan bahan kimia tertentu untuk mempercepatkan proses pereputan bagi menghilangkan bukti jenayah dan kesan DNA pada tubuh mangsa.

     Kebenaran yang lebih pahit akhirnya terbongkar melalui tindakan pihak polis yang berjaya mengenal pasti suspek utama hasil daripada tekanan siasatan. Segalanya bermula apabila salah seorang sepupu mangsa yang dikenali sebagai Leobert Dasmarinas tampil menyerah diri kerana dihantui rasa bersalah dan tekanan daripada pencarian besar-besaran pihak berkuasa. Leobert membawa polis secara terus ke lokasi mayat dibuang dan menamakan seorang lagi sepupu, Jovert Valdestamon, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan sebagai rakan subahatnya. Mereka mengaku telah mengekori Jovelyn dari pusat beli-belah sebelum menculiknya ke kawasan sunyi lalu merogol mangsa secara bergilir-gilir dan akhirnya membunuhnya dengan kejam bagi menutup mulut kerana mangsa mengenali identiti mereka.

     Kes ini ditutup secara rasmi selepas ujian DNA mengesahkan dengan ketepatan 99.9% bahawa tulang-belulang yang ditemui adalah milik Jovelyn Galeno. Kedua-dua suspek berhadapan dengan pertuduhan berat iaitu rogol dengan pembunuhan (Rape with Homicide) yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Jovelyn Galeno"