Kisah Pembunuhan Kejam Komsatun Wachidah

     Kes ini bermula daripada kerakusan seorang lelaki bernama Deni Prianto, seorang penganggur tegar san bekas banduan yang berasal dari Cilacap, Jawa Tengah. Deni yang mempunyai sejarah jenayah lampau seperti kes kecurian dan penculikan pada tahun 2013 nampaknya tidak pernah serik walaupun sudah berkali-kali keluar masuk penjara. Setelah dibebaskan pada awal 2019, dia yang terdesak akibat masalah kewangan telah merancang satu modus operandi penipuan melalui media sosial untuk mencari mangsa wanita kaya yang boleh diperas ugut atau ditipu.

​     Deni menggunakan akaun Facebook dengan nama samaran Thunderfash dan memuat naik foto yang telah disunting secara drastik agar kelihatan seperti seorang lelaki muda yang tampan dan bekerja sebagai pegawai perkapalan. Melalui identiti palsu ini, dia berjaya memikat hati seorang wanita bernama Komsatun Wachidah yakni seorang penjawat awam berusia 51 tahun yang bertugas di Kementerian Agama, Bandung. Walaupun Komsatun sudah mempunyai keluarga yang harmoni, dia terperangkap dalam jerat cinta maya Deni yang pandai bermain kata-kata sehingga sanggup memindahkan wang berjumlah puluhan juta rupiah kepada lelaki itu tanpa rasa curiga.

     Hubungan sulit ini menjadi semakin serius apabila Komsatun mula mengabaikan tanggungjawabnya di rumah dan sering bertengkar dengan suaminya. Kemuncaknya pada Julai 2019 apabila Komsatun mengajak Deni untuk berkahwin secara rahsia. Permintaan ini menimbulkan keresahan buat Deni kerana dia sememangnya tidak berniat untuk berkahwin tetapi sebaliknya hanya mahu terus memeras harta mangsa. Dek kerana tergila-gilakan kereta Toyota Rush milik Komsatun, Deni akhirnya merancang satu pembunuhan yang amat kejam demi merampas kenderaan serta dokumen-dokumen penting milik wanita tersebut.

​     Pada 7 Julai 2019, mereka bertemu di sebuah bilik sewa  di Bandung. Selepas mereka meluangkan masa bersama, Deni mengambil kesempatan ketika mangsa sedang leka untuk menyerangnya secara mengejut. Deni menggunakan sebatang tukul yang telah disembunyikan di bawah katil untuk menghentam kepala Komsatun berkali-kali sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Bagi memudahkan proses membuang mayat, Deni dengan kejamnya telah memotong badan Komsatun  menjadi beberapa bahagian dan memasukkannya ke dalam kotak plastik yang baru dibelinya.

     Deni kemudian memandu kereta mangsa pulang ke rumah isterinya di Banjarnegara sambil membawa potongan mayat tersebut. Dalam satu tindakan yang sangat luar biasa, dia sempat menunjukkan sisa mayat itu kepada isterinya sebelum bergerak ke kawasan terpencil di Banyumas dan Kebumen untuk membuang serta membakar kotak plastik tersebut di dalam longkang.  Dia berharap dengan membakar bahagian tubuh itu, identiti mangsa tidak akan dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

​      Walau bagaimanapun, jenayah tersebut mula terbongkar apabila sekumpulan kanak-kanak menemui bungkusan plastik yang masih mengeluarkan asap di sebuah longkang di Desa Watuagung. Penemuan kepala manusia itu menggemparkan penduduk setempat dan laporan segera dibuat kepada polis. Pada masa yang sama, suami Komsatun yang menyedari kehilangan isterinya telah membuat laporan polis di Bandung lalu memberikan maklumat mengenai perbualan mencurigakan di akaun Facebook isterinya. Pihak polis akhirnya berjaya mengesan Deni apabila dia cuba melakukan urusan tukar beli kereta Toyota Rush mangsa dengan sebuah kereta lain di sebuah kedai kereta terpakai di Purwokerto.

     Pihak polis yang telah bersedia melakukan serbuan akhirnya berjaya menangkap Deni Prianto di kedai tersebut pada 9 Julai 2019. Selepas disoal siasat, Deni mengakui segala perbuatannya termasuk menunjukkan lokasi sisa bahagian tubuh mangsa yang lain. Susulan tindakan yang sangat kejam dan terancang itu, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman mati ke atas Deni Prianto sebagai balasan terhadap jenayah kejam dan pembunuhan terancang yang dilakukannya.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Komsatun Wachidah"