Kisah Pembunuhan Kejam Le Thi Thuy Linh


     Kisah ini bermula di sebuah perkampungan di wilayah Nam Tu Liem, Vietnam melibatkan seorang gadis muda bernama Le Thi Thuy Linh atau lebih mesra dipanggil Linh. Pada usia 21 tahun, Linh memikul tanggungjawab besar sebagai tunjang keluarga setelah kematian ibunya akibat kemalangan jalan raya. Sebagai anak sulung, dia berhijrah ke bandar Hanoi untuk bekerja sebagai pengurus sebuah rumah kos di kawasan Cau Giay demi menyara bapa dan dua adiknya. Linh dikenali sebagai seorang yang sangat rajin, berbakti dan cekal dalam mencari rezeki.

     Kejadian malang ini tercetus pada 16 Februari 2024 bertepatan dengan musim perayaan Tahun Baru Cina. Segalanya bermula apabila seorang pemuda berusia 20 tahun bernama Hoang Minh Hao menghubungi Linh selepas melihat iklan bilik sewa yang dimuat naik oleh gadis itu di media sosial. Hao yang sebenarnya sedang terdesak akibat masalah kewangan dan hutang judi dalam talian berpura-pura berminat untuk menyewa bilik tersebut. Mereka bersetuju untuk bertemu di tempat sewa berkenaan pada jam 5 petang bagi sesi melihat bilik.


     Setelah meninjau keadaan bilik, Hao mendapati wang simpanannya tidak mencukupi dan terpaksa meminjam wang daripada keluarganya. Dia kembali semula ke bilik sewa tersebut pada jam 8 malam untuk membuat bayaran. Ketika Linh membawa Hao ke tingkat tiga untuk menyerahkan kunci bilik nombor 302, Hao menyedari bahawa bangunan tersebut sangat sunyi kerana hampir kesemua penghuni lain telah pulang ke kampung untuk bercuti. Suasana sepi itu mencetuskan niat jahat dalam diri Hao untuk merompak gadis tersebut.

     Apabila Linh sedang leka dengan telefon pintarnya, Hao secara tiba-tiba menyerang dan menjerat leher mangsa dari belakang. Walaupun Linh cuba melawan, kudrat lelaki Hao jauh lebih kuat. Dia menyeret Linh ke dalam bilik 302 sebelum menolak mangsa ke atas katil lalu mencekiknya sehingga gadis itu menghembuskan nafas terakhir. Namun kekejaman Hao tidak terhenti di situ. Dia tergamak melakukan perbuatan nekrofilia (perihal seksual) terhadap mayat Linh sebelum menyembunyikan mayat wanita itu di dalam almari dapur bilik tersebut. Hao kemudian melarikan diri bersama motosikal, telefon pintar dan kad kredit milik mangsa.


     Kehilangan Linh hanya disedari apabila dia gagal dihubungi oleh bapanya, sesuatu yang sangat luar biasa bagi gadis yang sentiasa mengutamakan keluarga itu. Laporan polis dibuat pada 18 Februari 2024 sebelum pihak berkuasa mula melakukan pencarian intensif. Melalui rakaman CCTV, polis melihat Linh memasuki tempat sewa tersebut bersama seorang lelaki tetapi tidak pernah kelihatan keluar semula. Pada 19 Februari, pihak polis menemui jasad Linh yang sudah mula berbau di dalam almari di bilik 302. Bukti transaksi kad kredit akhirnya membawa kepada penangkapan Hoang Minh Hao pada petang yang sama.

     Hasil siasatan mendedahkan bahawa Hao mempunyai latar belakang jenayah lampau, termasuk kecurian motosikal. Di mahkamah, Hao mengaku melakukan jenayah tersebut kerana tekanan hutang dan ketagihan judi. Walaupun dia memohon maaf, hakim memutuskan bahawa tindakannya terlalu zalim dan berbahaya kepada masyarakat. Hao akhirnya dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh selain hukuman penjara bagi pertuduhan merompak, mencuri, dan melakukan gangguan seksual.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Le Thi Thuy Linh"