Pempengaruh China Dikecam Kerana 'Content' Isteri Bersalin Demi Keuntungan

     BEIJING, CHINA – Seorang pempengaruh sanggup menggadaikan maruah dan privasi isterinya sendiri demi meraih tontonan serta keuntungan iklan. Pempengaruh yang dikenali sebagai Paul in USA itu kini berhadapan dengan gelombang kecaman hebat daripada netizen selepas memuat naik siri video proses kelahiran anaknya yang dianggap sangat tidak sensitif.

     Video yang berdurasi panjang itu mendokumentasikan proses kelahiran selama 23 jam yang pada mulanya disangkakan sebagai kenangan keluarga namun bertukar menjadi detik cemas yang mengerikan. Mengikut laporan, isteri pempengaruh tersebut mengalami komplikasi kelahiran yang kritikal termasuklah koyakan perineal tahap serius dan pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage).

     Situasi dilaporkan menjadi sangat kritikal apabila wanita tersebut kehilangan lebih daripada 3 liter darah hingga menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar dan nyawa di hujung tanduk. Namun bukannya fokus kepada memberikan sokongan moral atau bantuan kepada petugas perubatan, si suami dikesan terus memegang kamera untuk memastikan setiap detik penderitaan tersebut dirakam secara dekat.

   Apa yang mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan netizen adalah tindakan pempengaruh itu yang sempat menyelitkan kandungan berbayar (paid review) semasa isterinya sedang bertarung nyawa. Di tengah-tengah babak yang memaparkan darah dan penderitaan, lelaki itu dengan tenang membacakan skrip iklan untuk sebuah jenama lampin bayi.


     Tindakan tersebut dianggap sebagai satu bentuk eksploitasi yang melampau di mana nilai nyawa dan maruah seorang isteri dilihat seolah-olah lebih murah berbanding kontrak pemasaran. Ramai penonton menyifatkan perbuatan itu sebagai pencabulan privasi memandangkan rakaman tersebut turut memaparkan bahagian tubuh sensitif isterinya yang terdedah ketika prosedur perubatan dijalankan.

     Meskipun dihujani kritikan, isteri pempengaruh tersebut kemudiannya tampil membuat kenyataan bagi mempertahankan tindakan suaminya. Dia mendakwa bahawa keputusan untuk merakam dan menyiarkan detik tersebut adalah persetujuan bersama bagi tujuan dokumentasi. Penjelasan itu bagaimanapun gagal meredakan kemarahan netizen. 

     Ramai berpendapat bahawa walaupun terdapat persetujuan, tanggungjawab moral seorang suami seharusnya mengatasi keinginan untuk mengejar trafik atau tular di media sosial. Netizen turut menyeru agar pihak platform media sosial mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan akaun-akaun yang mempromosikan kandungan yang tidak beretika dan mengeksploitasi penderitaan manusia demi kepentingan komersial.


Catat Ulasan for "Pempengaruh China Dikecam Kerana 'Content' Isteri Bersalin Demi Keuntungan"