Kisah Pembunuhan Kejam Li Lingli

     Kejadian yang menggemparkan seluruh wilayah Guangdong ini bermula pada 2 Januari 2009 sejurus selepas sambutan Tahun Baru berakhir. Di sebuah kawasan perumahan lama di Jalan Chagang, Daerah Panyu, Guangzhou, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bernama Li Lingli dilaporkan hilang secara misteri. Lingli yang digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang ceria dibesarkan oleh datuk dan neneknya kerana ibu bapanya sibuk bekerja sebagai buruh kasar untuk menampung kehidupan keluarga mereka yang serba kekurangan.

     Kehilangan tersebut berlaku apabila datuknya, Li yang bekerja sebagai pengumpul barang kitar semula terpaksa keluar seketika untuk mengambil barang daripada seorang pelanggan. Dia telah menitipkan Lingli di bawah jagaan seorang jiran, Puan Liu yang mengendalikan sebuah kedai runcit kecil. Namun disebabkan kesibukan melayan pelanggan yang ramai, Puan Liu meminta Lingli duduk di tangga hadapan kedai. Apabila datuknya kembali sekitar jam 9 pagi, Lingli sudah tidak kelihatan. 


     Usaha mencari dilakukan secara besar-besaran oleh penduduk kampung. Kelibat mangsa bagaimanapun gagal dikesan walaupun pintu keluar masuk lorong tersebut sentiasa diperhatikan oleh penduduk setempat.

    BPihak polis yang menerima laporan segera menjalankan siasatan dan tumpuan mula terarah kepada seorang lelaki bernama Ah He yang tinggal di hujung lorong yang sama. Ah He dikenali sebagai seorang yang mempunyai gangguan mental, sering berkelakuan aneh dengan memakai pakaian wanita dan sering menakut-nakutkan kanak-kanak di kawasan tersebut. Apabila polis cuba mengetuk pintu rumahnya, Ah He enggan membuka pintu. Walau bagaimanapun bau masakan stimbot yang sangat kuat dari dalam rumah menimbulkan syak wasangka yang besar di pihak berkuasa.

     Setelah pintu dipecahkan, polis menemui keadaan rumah yang sangat kotor dan berselerak. Bau hanyir yang menusuk hidung membawa kepada penemuan tompokan darah yang besar di bawah permaidani ruang tamu. Ketakutan paling ngeri menjadi kenyataan apabila polis membuka sebuah peti sejuk kecil di sudut rumah. Di dalamnya, mereka menemui kepala Li Lingli dan bahagian badan mangsa yang telah dikerat-kerat. Ibu mangsa yang turut berada di lokasi terus pengsan akibat trauma manakala datuknya cuba menyerang suspek dengan pisau kerana terlalu marah dan sedih.

     Siasatan lanjut mendedahkan pengakuan yang sangat kejam daripada Ah He. Dia mengaku telah menculik Lingli menggunakan gula-gula dan membunuhnya sejurus tiba di rumah. Lebih mengerikan, suspek mengaku telah menghiris dua bahagian daging mangsa untuk dimasak di dalam stimbot lalu memakannya manakala bahagian lain disimpan untuk bekalan makanan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba. Ah He menyatakan tanpa rasa kesal bahawa daging manusia sangat sedap.

     Motif pembunuhan ini dikaitkan dengan sejarah silam suspek yang mengalami tekanan jiwa selepas bercerai dan dilarang bertemu anak perempuannya. Dia mula obses dengan filem seram berkaitan pemotongan mayat. Walaupun Ah He cuba berlakon gila selain mendakwa pihak undang-undang tidak boleh menyentuhnya kerana masalah mental, pemeriksaan perubatan pakar mengesahkan bahawa dia sebenarnya waras dan sedar akan tindakannya. Akhirnya pada tahun 2009, Mahkamah Perantaraan Panyu menjatuhkan hukuman mati ke atas Ah He atas kesalahan membunuh dengan sengaja.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Li Lingli"