Robot Gedek: Kisah Pemangsa Kanak-Kanak Jalanan Jakarta

     Individu di sebalik nama ngeri ini adalah Siswanto, seorang lelaki yang dilahirkan dalam kemiskinan tegar di Batang, Jawa Tengah pada tahun 1963. Siswanto membesar sebagai seorang yang buta huruf dan mempunyai keadaan fizikal yang unik di mana kepalanya sering bergerak ke kiri dan ke kanan secara tidak sengaja. Disebabkan pergerakan kepala yang dipanggil "gedek" dalam bahasa Jawa dan cara jalannya yang kaku, dia mendapat gelaran Robot Gedek. Sejak kecil, Siswanto sering menjadi mangsa buli dan gangguan seksual oleh remaja serta lelaki dewasa di kampungnya!yang menurut pakar psikologi telah membentuk kecenderungan menyimpang dalam dirinya apabila dewasa.

     Kegiatan jenayah Siswanto mula dikesan antara tahun 1994 hingga 1996 di sekitar Jakarta Pusat dan Jakarta Timur. Dia mensasarkan golongan yang paling lemah di kota raya iaitu kanak-kanak gelandangan yang mengemis atau mencari rezeki di stesen kereta api dan kawasan pasar. Modus operandinya cukup licik. Dia akan mendekati mangsa dengan menunjukkan sifat kebapaan selain memberikan makanan seperti nasi bungkus atau menjanjikan wang.

     Setelah mangsa mempercayainya, Siswanto akan membawa mereka ke kawasan semak yang sunyi, bangunan terbiar atau di sepanjang landasan kereta api. Di sana, mangsa akan dicabuli sebelum dibunuh dengan kejam menggunakan senjata tajam seperti pisau pemotong kertas. Apa yang paling mengejutkan pihak berkuasa adalah tabiat kanibalisme Siswanto. Dia mengaku memotong bahagian tubuh mangsa dan meminum darah mereka. Siswanto turut mendakwa rasa darah tersebut memberikan ketenangan kepada jiwanya.

     Pihak polis pada mulanya menghadapi kesukaran kerana mangsa adalah gelandangan tanpa identiti dan tiada ahli keluarga yang tampil membuat laporan kehilangan. Namun penemuan mayat seorang kanak-kanak bernama Kasikin pada Julai 1996 menjadi titik tolak penting. Berdasarkan keterangan saksi yang melihat Kasikin bersama seorang lelaki dengan ciri fizikal yang unik, pihak polis akhirnya berjaya menjejak Siswanto.

     Siswanto ditangkap pada 27 Julai 1996 di Stesen Kereta Api Tegal semasa dia cuba melarikan diri ke kampung halamannya. Semasa disoal siasat, dia tanpa rasa kesal mengaku telah membunuh 12 orang kanak-kanak walaupun pihak polis hanya berjaya menemukan lapan mayat secara rasmi. Di mahkamah, bukti forensik seperti kesan DNA dan barang milik mangsa yang ditemui dalam simpanan Siswanto mengukuhkan lagi kes tersebut.

     Pada 21 Mei 1997, Mahkamah Negeri Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman mati ke atas Siswanto. Namun dia tidak sempat berhadapan dengan skuad penembak. Selepas bertahun-tahun merengkuh jeruji besi di Penjara Nusa Kambangan, Siswanto meninggal dunia pada Mac 2007 akibat serangan jantung. Kematiannya tidak menamatkan spekulasi. Muncul teori konspirasi yang mendakwa Siswanto hanyalah kambing hitam atau diperangkap oleh pembunuh sebenar. Spekulasi ini dikuatkan lagi apabila seorang lagi pembunuh bersiri kanak-kanak, Baekuni (Babe) ditangkap pada tahun 2010. Baekuni mempunyai profil jenayah yang hampir serupa dan pernah menjadi saksi dalam kes Siswanto. Walau bagaimanapun, pihak polis tetap dengan pendirian bahawa Siswanto adalah pelaku utama berdasarkan bukti fizikal yang kukuh pada waktu itu.


Catat Ulasan for "Robot Gedek: Kisah Pemangsa Kanak-Kanak Jalanan Jakarta"