Laporan Bedah Siasat Michael Jackson yang Menceritakan Segalanya

Pada 25 Jun 2009, dunia dikejutkan dengan berita kematian legenda King of Pop iaitu Michael Jackson. Pemergiannya yang mengejutkan itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keadaan kesihatan sebenar dan punca kematian yang menyelubungi detik-detik terakhir hidupnya. Segala persoalan ini mula terungkai apabila laporan bedah siasat rasmi setebal 51 muka surat didedahkan kepada umum mendedahkan realiti pahit di sebalik kemasyhuran luar biasa yang dimilikinya.
Beberapa bulan sebelum kematiannya, Michael Jackson sedang bersiap sedia untuk siri konsert This Is It yang dirancang sebagai kemunculan semulanya selepas lebih sedekad tidak menjelajah dunia. Pada Mac 2009 semasa dalam satu sidang akhbar di London yakni penampilan rasmi terakhir Michael Jackson di hadapan media, dia menyatakan, “This is it… this is the final curtain call.”
Pada asalnya, hanya 10 konsert dirancang di O2 Arena, London. Namun permintaan luar biasa menyaksikan lebih 1.5 juta peminat cuba mendapatkan tiket serentak hingga menyebabkan laman web penjualan tiket lumpuh. Akhirnya jumlah konsert ditambah kepada 50 malam dengan hampir satu juta tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja. Konsert ini dirancang sebagai produksi paling canggih dalam sejarah muzik moden yang melibatkan penggunaan skrin LED 3D gergasi, kesan khas berteknologi tinggi, aksi udara ala Cirque du Soleil serta set pentas yang dianggarkan menelan belanja antara RM80 juta hingga RM100 juta. Namun di sebalik perancangan megah ini, tekanan fizikal dan mental yang ditanggung Michael Jackson semakin meruncing.

Walaupun rakaman latihan yang dipaparkan dalam dokumentari This Is It menunjukkan Michael Jackson kelihatan fokus, bertenaga dan vokalnya masih mantap, hakikatnya Michael mengalami masalah insomnia kronik yang teruk. Beban latihan dan tekanan untuk menjayakan 50 konsert akhirnya mendorong kepada penggunaan ubat bius Propofol sebagai ubat tidur yang diberikan oleh doktor peribadinya, Dr. Conrad Murray. Konsert pertama sepatutnya berlangsung pada 13 Julai 2009. Walau bagaimanapun Michael Jackson meninggal dunia 18 hari lebih awal, pada 25 Jun 2009.
Laporan bedah siasat secara muktamad mengesahkan bahawa punca kematian Michael Jackson adalah keracunan akut Propofol, sejenis ubat bius kuat yang lazimnya hanya digunakan di bilik pembedahan hospital di bawah pemantauan rapi pakar. Dalam kes ini, Propofol telah diberikan di bilik tidur rumahnya sebagai bantuan tidur tanpa sebarang peralatan pemantauan jantung atau pernafasan yang lengkap. Lebih membimbangkan, Propofol tersebut turut digabungkan dengan ubat penenang lain seperti lorazepam dan midazolam. Gabungan ini menyebabkan sistem pernafasan Michael terhenti lalu membawa kepada klasifikasi kematian sebagai pembunuhan tanpa niat oleh pihak koroner.

Siasatan lanjut mendedahkan bukti kecuaian perubatan yang serius. Pakar perubatan yang memberi keterangan menyatakan bahawa jumlah Propofol dalam tubuh Michael adalah setara dengan dos pesakit yang menjalani pembedahan besar. Memberikan ubat bius sekuat itu di persekitaran rumah dianggap sebagai pelanggaran berat etika dan amalan perubatan. Selain itu, Dr. Murray didapati gagal menghubungi talian kecemasan (911) dengan segera apabila mendapati Michael tidak bernafas. Dia sebaliknnya cuba melakukan CPR di atas katil yang berpermukaan lembut, satu tindakan yang diketahui tidak berkesan. Pada masa, Dr. Murray didakwa mengemas dan menyembunyikan botol-botol ubat sebelum ketibaan paramedik.
Cubaan pihak pembelaan untuk mengaitkan kematian Michael Jackson sebagai bunuh diri secara tidak sengaja turut ditolak. Teori bahawa Michael Jackson menyuntik Propofol sendiri semasa Dr. Murray keluar dari bilik didapati mustahil berdasarkan tahap kepekatan ubat dalam darah dan kandungan perut yang menunjukkan dia sudah berada dalam keadaan terlalu khayal untuk berbuat demikian. Berdasarkan fakta forensik dan keterangan pakar yang kukuh, mahkamah mendapati Dr. Conrad Murray bersalah atas pertuduhan pembunuhan tanpa niat. Dia dijatuhi hukuman penjara maksimum empat tahun tetapi hanya menjalani hukuman selama dua tahun sebelum dibebaskan pada Oktober 2013 atas faktor kelakuan baik dan kesesakan penjara. Lesen perubatannya di California dan Texas turut digantung sekali gus menamatkan kerjaya perubatannya secara sah di Amerika Syarikat.

Selepas dibebaskan, Murray terus hidup dalam bayangan kontroversi. Dia menerbitkan buku bertajuk This Is It! dan muncul dalam beberapa temu bual media untuk mempertahankan diri namun reputasinya terus tercemar. Murray dilaporkan menghabiskan masa di luar negara, termasuk di Caribbean dengan cubaan memberikan khidmat rundingan perubatan secara tidak rasmi. Namun label sebagai doktor yang membunuh Michael Jackson kekal menghantui hidupnya.

Laporan bedah siasat turut mendedahkan pelbagai fakta penting mengenai keadaan fizikal Michael Jackson. Salah satu pendedahan paling signifikan ialah pengesahan bahawa dia menghidap Vitiligo, sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan kehilangan pigmen kulit secara bertompok. Tompokan depigmentasi yang luas ditemui pada muka, dada, perut dan lengan sekali gus menafikan dakwaan lama bahawa dia sengaja melunturkan kulitnya. Keadaan rambut Michael Jackson juga terjawab apabila dia didapati memakai rambut palsu yang dilekatkan pada kulit kepala akibat kebotakan kekal kesan insiden kebakaran rambut semasa penggambaran iklan Pepsi pada tahun 1984. Bagi menutup parut lecur, Michael Jackson turut mempunyai tatu hitam di bahagian atas dahi bagi mencipta ilusi garis rambut semula jadi.


Tubuh Michael Jackson juga menunjukkan kesan pelbagai prosedur kosmetik termasuk tatu kekal pada kening, garis mata, garis bibir serta parut kecil di belakang telinga, sisi hidung dan pangkal leher. Walaupun sering digambarkan terlalu kurus, berat badannya direkodkan sekitar 62 kilogram. Berat masih dalam julat berfungsi bagi ketinggiannya. Organ dalaman Michael Jackson pula menunjukkan gambaran bercampur-campur. Jantungnya dilaporkan kuat dan bebas daripada penyakit kronik namun paru-parunya mengalami keradangan kronik yang mungkin menyumbang kepada masalah sesak nafas. Banyak kesan suntikan ditemui pada lengan dan kaki yang membuktikan kebergantungan tinggi terhadap ubat preskripsi untuk mengurus kesakitan fizikal dan insomnia berpanjangan.
Catat Ulasan for "Laporan Bedah Siasat Michael Jackson yang Menceritakan Segalanya"