Kisah Kematian Aaliyah Haughton

      Aaliyah Dana Haughton atau lebih dikenali sebagai Aaliyah merupakan seorang penyanyi R&B dan pelakon berkaliber antarabangsa dari Amerika Syarikat. Dia terkenal dengan suara yang halus, gaya muzik yang inovatif serta lakonan berkesan dalam filem seperti Romeo Must Die. Sebelum kejadian menimpanya pada tahun 2001, Aaliyah telah mencatat kejayaan besar dalam industri muzik dan perfileman.

      Pada 25 Ogos 2001, Aaliyah yang ketika itu berusia 22 tahun berada di Abaco Islands, Bahamas bersama beberapa orang kru produksi dan rakan sekerja selepas selesai menjalani penggambaran video muzik bagi lagu popularnya, Rock the Boat. Disebabkan penggambaran selesai lebih awal daripada jadual, Aaliyah dan rombongannya membuat keputusan untuk pulang ke Florida, Amerika Syarikat lebih awal daripada tarikh yang dirancang. Mereka kemudian menempah sebuah pesawat ringan jenis Cessna 402B untuk membawa mereka dari Lapangan Terbang Marsh Harbour ke Lapangan Terbang Opa-Locka, Florida pada petang hari yang sama.

      Pesawat tersebut pada asalnya dijadualkan tiba lebih awal namun hanya sampai sekitar jam 6.15 petang waktu tempatan. Walaupun semua penumpang dan peralatan dimasukkan ke dalam pesawat, saiz pesawat itu didapati lebih kecil berbanding pesawat yang digunakan oleh kumpulan tersebut ketika tiba di Bahamas. Akhirnya, Aaliyah bersama kru penggambaran serta beberapa pekerja syarikat rakaman menaiki pesawat tersebut sekitar jam 6.50 petang waktu tempatan.

     Menurut beberapa saksi yakni sebelum pesawat berlepas, berlaku perbincangan antara kru dengan juruterbang berhubung jumlah barangan serta beban yang dibawa. Juruterbang dilaporkan menyuarakan kebimbangan bahawa pesawat mungkin terlalu berat dan tidak selamat untuk diterbangkan. Namun disebabkan tekanan daripada pihak penumpang, penerbangan tetap diteruskan. Tidak lama selepas berlepas dari landasan, pesawat tersebut terhempas dan terbalik ke dalam kawasan paya yang terletak tidak jauh dari hujung landasan. Pesawat itu kemudian terbakar dan hancur sepenuhnya yang mengakibatkan kesemua sembilan individu di dalamnya termasuk Aaliyah terkorban di tempat kejadian. Antara mangsa lain ialah juruterbang Luis Morales III, penata gaya rambut, pengurus keselamatan Aaliyah, jurusolek serta beberapa pekerja produksi muzik dan video.


      Siasatan rasmi mendapati terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kejadian ini. Antaranya, pesawat berkenaan didapati melebihi had berat maksimum yang dibenarkan dengan lebihan anggaran lebih 700 paun (sekitar 317 kilogram) daripada kapasiti selamat untuk berlepas. Bebanan berlebihan ini menyebabkan pusat graviti pesawat berada dalam kedudukan yang tidak seimbang sekali gus menyukarkan kawalan pesawat semasa fasa berlepas. Selain itu, siasatan turut mendedahkan bahawa juruterbang pesawat tersebut tidak memiliki lesen yang sah untuk mengendalikan pesawat jenis Cessna 402B walaupun dia mendakwa sebaliknya. Ujian toksikologi ke atas juruterbang juga mengesan kehadiran kokain dan alkohol dalam sistem badannya pada waktu kejadian yang dipercayai telah menjejaskan keupayaannya untuk membuat keputusan penting semasa penerbangan.

     Pihak berkuasa penerbangan Bahamas bersama Agensi Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat mengesahkan bahawa tiada kerosakan besar dikesan pada enjin atau struktur pesawat sebelum ia berlepas. Faktor bebanan berlebihan, ketidakseimbangan pesawat serta kelayakan juruterbang dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan ngeri yang meragut nyawa Aaliyah dan lapan individu lain itu.

      Kejadian itu turut mendapat liputan meluas dalam media selain tindakan undang-undang daripada keluarga Aaliyah. Keluarga beliau mengemukakan tuntutan kematian tidak adil terhadap syarikat penerbangan yang menguruskan pesawat berkenaan. Tuntutan tersebut kemudiannya diselesaikan secara luar mahkamah dengan terma kewangan yang tidak didedahkan kepada umum.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Aaliyah Haughton"