Tragedi Ultramaraton Gansu: 21 Pelari yang Maut Akibat Ribut Salji Mengejut

Pada 22 Mei 2021, satu kemalamgan dalam sukan yang amat memilukan berlaku di China apabila 21 orang pelari maut dalam satu perlumbaan ultramaraton sejauh 100 kilometer akibat perubahan cuaca ekstrem di kawasan pergunungan Yellow River Stone Forest, daerah Jingtai, Baiyin di Provinsi Gansu, barat laut negara itu. Perlumbaan tersebut disertai kira-kira 172 peserta namun kejatuhan suhu secara mendadak yang disertai hujan batu, hujan beku dan angin kencang menyebabkan ramai pelari tidak bersedia sekali gus terdedah kepada hipotermia dan mengakibatkan kehilangan nyawa dalam tempoh yang singkat.
Perlumbaan ultramaraton ini merupakan acara tahunan yang semakin mendapat sambutan di China. Namun pada hari kejadian, cuaca berubah secara drastik di kawasan pergunungan sekitar 20 hingga 31 kilometer dari garisan permulaan. Ketika ramai pelari berada di laluan yang tinggi serta terbuka, suhu menurun jauh di bawah paras sifar disertai tiupan angin kuat dan hujan batu sekali gus meningkatkan risiko hipotermia dengan cepat. Kebanyakan peserta hanya mengenakan pakaian ringan seperti seluar pendek dan kemeja T selain dibekalkan selimut kecemasan yang nipis membuatkan mereka tidak cukup bersedia untuk menghadapi keadaan cuaca luar biasa tersebut.

Kesemua 21 pelari yang terkorban merupakan ahli kumpulan lead pack iaitu kumpulan pelari hadapan yang berada di laluan paling terdedah ketika cuaca buruk melanda. Mereka dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri akibat hipotermia ketika berada di lereng bukit yang terbuka yakni jauh daripada bantuan segera. Mangsa-mangsa ini hanya ditemui oleh pasukan penyelamat beberapa jam kemudian di antara titik pemeriksaan kedua dan ketiga berikutan kesukaran akses kawasan serta ketiadaan liputan isyarat telefon.
Berdasarkan jumlah mangsa yang terkorban, beberapa nama pelari terkenal diketahui umum kerana pencapaian dan latar belakang mereka. Antaranya ialah Liang Jing, seorang pelari ultramaraton tersohor yang digelar Liang God dan pernah memenangi pelbagai acara jarak jauh termasuk Ultra Gobi 400 kilometer. Turut terkorban ialah Huang Guanjun, seorang pelari pekak dan bisu yang juga merupakan juara acara maraton lelaki dalam National Paralympic Games China 2019. Walaupun beberapa nama ini didedahkan kepada umum, senarai penuh 21 mangsa tidak pernah diterbitkan secara rasmi. Perkara ini menyebabkan identiti sebahagian besar mangsa kekal tidak diketahui oleh media antarabangsa.
Dalam kejadian tersebut, beberapa pelari lain berjaya diselamatkan hasil usaha gigih pasukan penyelamat dan bantuan penduduk tempatan. Seorang penggembala tempatan dilaporkan menemui beberapa peserta yang mengalami hipotermia dan membawa mereka berlindung di dalam sebuah gua sementara menunggu bantuan tiba sekali gus menyelamatkan nyawa mereka.

Selepas kejadian itu, pihak berkuasa China berdepan kritikan hebat daripada orang ramai terutama pengguna media sosial yang mendakwa penganjur gagal membuat penilaian risiko cuaca dengan mencukupi selain tidak menyediakan pelan keselamatan dan kontinjensi yang memadai bagi acara berskala besar di kawasan pergunungan. Ramai berpendapat bahawa walaupun cuaca ekstrem sukar diramal sepenuhnya, penganjur seharusnya mewajibkan peralatan perlindungan cuaca sejuk, menyediakan sistem komunikasi yang lebih berkesan serta menambah stesen bantuan kecemasan di sepanjang laluan perlumbaan.
Berikutan kejadian ini, pihak berkuasa China mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur acara berkenaan. Pada Disember 2023, beberapa individu yang terlibat dalam perancangan dan pengurusan perlumbaan tersebut dijatuhi hukuman penjara kerana didapati cuai dalam memastikan keselamatan peserta sehingga menyebabkan insiden keselamatan yang serius.
Catat Ulasan for "Tragedi Ultramaraton Gansu: 21 Pelari yang Maut Akibat Ribut Salji Mengejut "