Kisah Brigida McInvale: Racun Tanpa Bau

     Kes ini bermula pada penghujung tahun 2017 apabila Brigida McInvale, seorang wanita muda dari San Diego mula mengalami kemerosotan kesihatan yang sangat drastik tanpa punca yang jelas. Dia mengalami kesakitan saraf yang melampau (peripheral neuropathy) hingga menyifatkan rasa sakit itu seperti berjalan di atas kaca tajam.  Dalam tempoh beberapa minggu, rambutnya gugur dalam gumpalan yang besar dan berat badannya menyusut. Selain itu, dia kehilangan keupayaan untuk berjalan atau menguruskan diri sendiri. Pihak hospital pada mulanya buntu kerana simptom tersebut tidak sepadan dengan penyakit lazim hinggalah ujian toksikologi khas dilakukan.

​      Hasil ujian makmal mendedahkan penemuan yang mengejutkan. Sistem badan Brigida didapati mengandungi tahap thallium yang sangat tinggi yakni sejenis logam berat yang sangat bertoksik. Thallium sering digelar sebagai racun peracun (poisoner's poison) kerana ia tidak mempunyai rasa, bau atau warna menjadikannya agen pembunuh yang hampir mustahil dikesan dalam makanan. Penggunaan thallium telah diharamkan di Amerika Syarikat sejak tahun 1972. Maka penemuan bahan ini dalam badan mangsa segera mencetuskan siasatan jenayah oleh Jabatan Polis San Diego dan Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS).

     ​Siasatan mula tertumpu kepada suami mangsa iaitu Race Remington Uto, seorang anggota tentera laut berpangkat Petty Officer 2nd Class. Pihak forensik digital berjaya menggeledah komputer dan telefon bimbit Uto, di mana mereka menemui bukti sejarah carian yang sangat mencurigakan. Uto dikesan membuat carian internet mengenai cara membeli thallium secara dalam talian, kesan thallium terhadap manusia dan dos maut logam berat. Siasatan lanjut mendapati Uto telah memesan bahan kimia tersebut melalui laman web pasaran gelap dan membayar menggunakan mata wang kripto untuk mengelak daripada dikesan.

​     Motif jenayah ini didorong oleh keinginan Uto untuk menamatkan perkahwinannya demi hubungan sulit dengan wanita lain. Walau bagaimanapun, dia memilih jalan yang paling kejam dengan meracuni isterinya secara perlahan-lahan. Uto mencampurkan thallium ke dalam makanan dan minuman Brigida sekurang-kurangnya tiga kali antara tahun 2017 hingga awal 2018. Setiap kali Brigida menunjukkan tanda-tanda pulih selepas keluar dari hospital, Uto akan memberikan dos tambahan untuk memastikan mangsa terus menderita dan akhirnya meninggal dunia tanpa menimbulkan syak wasangka sebagai kes pembunuhan.

     Pada Mac 2019, Race Remington Uto mengaku bersalah atas tiga pertuduhan cubaan membunuh dengan niat. Hakim Mahkamah Tinggi, Gale Kaneshiro menyifatkan tindakan Uto sebagai perbuatan yang sangat sadis kerana dia sanggup melihat isterinya mati secara perlahan di hadapan matanya sendiri. Uto dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan kemungkinan parol hanya selepas 21 tahun. Walaupun Brigida terselamat, dia mengalami kerosakan saraf kekal dan trauma psikologi yang mendalam akibat pengkhianatan oleh individu yang sepatutnya melindunginya.

Catat Ulasan for "Kisah Brigida McInvale: Racun Tanpa Bau"