Kisah Pembunuhan Kejam Fitria Wulansari


     Pada penghujung tahun 2023, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di bandar Bogor, Indonesia yang melibatkan seorang wanita muda bernama Fitria Wulansari atau lebih dikenali sebagai Wulan. Rentetan kejadian ini bermula apabila mangsa dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya iaitu Rahmat Agil yang dikenali dengan panggilan Alung. Apa yang disangka sebagai kehilangan misteri rupa-rupanya merupakan sebuah jenayah keja dilakukan dengan penuh tipu muslihat oleh orang yang paling dipercayai oleh mangsa sendiri.


     Segalanya bermula pada malam Khamis, 30 November 2023 apabila Alung menjemput Wulan untuk bertemu dan kemudian menginap di sebuah hotel bajet di kawasan Tanah Sareal. Di dalam bilik hotel tersebut, suasana bertukar menjadi tegang apabila Wulan menyatakan hasrat secara muktamad untuk memutuskan hubungan mereka. Keputusan Wulan itu bagaimanapun telah mencetuskan kemarahan luar kawalan dalam diri Alung yang berasa tercabar kerana dia enggan melepaskan mangsa. Lelaki tersebut bertindak melakukan keganasan fizikal yang ekstrem dengan memukul wajah mangsa hingga menyebabkan trauma tumpul yang teruk pada bahagian hidung. Tidak cukup dengan itu, Alung kemudian menekup mulut serta hidung mangsa. Pada masa sama,Alung menekan leher Wulan selama beberapa minit hingga wanita itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat lemas atau asfiksia.


     Menyedari mangsa sudah tidak bernyawa, Alung mula menyusun strategi licik untuk melupuskan bukti. Pada awal pagi Jumaat, 1 Disember 2023, dia nekad membawa mayat Wulan menggunakan motosikal di mana mayat tersebut diletakkan di bahagian raga hadapan seolah-olah mangsa sedang tidur. Destinasi pilihannya adalah sebuah bangunan kedai kosong di Jalan Semeru, Bogor Barat yang merupakan milik kenalannya. Di sana, dia meletakkan jasad Wulan di atas sebuah meja kayu, menutupnya dengan kain dan mengunci premis tersebut. Bagi mengelakkan kecurigaan keluarga, Alung memulakan sandiwara dengan mendakwa bahawa Wulan telah hilang selepas dihantar pulang. Dia bahkan berpura-pura membantu keluarga mencari mangsa di sekitar bandar.

     Detik hiba penemuan mayat berlaku pada petang Sabtu, 2 Disember 2023 yakni kira-kira 40 hingga 48 jam selepas pembunuhan. Selepas didesak bertubi-tubi oleh rakan-rakan mangsa yang berasa curiga dengan kenyataannya yang sering berubah-ubah, Alung akhirnya membawa bapa mangsa, Iwan Irawan ke rumah kosong tersebut. Alangkah hancurnya hati seorang bapa apabila dia sendiri yang menemui mayat anak perempuannya terbujur kaku di atas meja kayu. Keadaan fizikal Wulan ketika itu sangat menyedihkan. Wajahnya kelihatan bengkak dan hampir tidak dikenali. Selain daripada kesan pukulan, pembengkakan tersebut juga berpunca daripada proses pereputan semula jadi kerana mayat telah berada di dalam ruang tertutup yang panas selama lebih dua hari.
.

     Walaupun Alung cuba berdalih dengan mendakwa kecederaan Wulan berpunca daripada kemalangan motosikal, kecekapan pihak Polis Bogor melalui siasatan forensik dan penelitian rakaman litar tertutup (CCTV) berjaya membongkar segala penipuannya. Alung akhirnya mengaku membunuh Wulan kerana motif pertengkaran hubungan. Pada Mei 2024, Mahkamah Negeri Bogor telah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara terhadap Rahmat Agil mengikut Pasal 338 dan 340 KUHP. 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Fitria Wulansari"