Kisah Pembunuhan Kejam Fitria Almuniroh Hafidloh Diniyah

Kes yang berlaku di Indonesia ini melibatkan seorang wanita muda bernama Fitria Almuniroh Hafidloh Diniyah yang berusia 23 tahun yang berasal dari Surabaya. Fitria digambarkan sebagai seorang anak solehah, pendiam dan sangat berbakti kepada orang tuanya. Dia baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Sueb Wibisono pada Mei 2023. Pasangan ini kemudiannya menetap di rumah bapa mentuanya, Khoiri alias Satir (52 tahun), di Dusun Belimbing, Desa Parirejo, Kecamatan Purwodadi, Pasuruan. Pada ketika kejadian, Fitria sedang sarat mengandung enam bulan, satu fasa yang sepatutnya penuh dengan kegembiraan menanti kelahiran cahaya mata sulung.
Beberapa jam sebelum nyawanya diragut, Fitria sempat melakukan panggilan video yang cukup lama dengan ibunya di Surabaya. Semasa panggilan video tersebut, mangsa menunjukkan gelagat yang agak luar biasa dengan kerap memohon maaf kepada orang tuanya. Dia juga menyatakan hasrat untuk menjual televisyen bagi membeli sebuah basikal agar mudah untuknya keluar membeli barangan dapur. Ibunya tidak menyangka bahawa itu adalah perbualan terakhir mereka sebelum menerima berita duka pada malam harinya.

Kejadian ini berlaku pada petang Selasa, 31 Oktober 2023. Mengikut siasatan pihak polis, kejadian bermula apabila mangsa sedang berehat dan tidur di dalam biliknya selepas mandi. Bapa mentuanya, Khoiri yang ketika itu baru selesai mandi dan hanya berkain pelikat telah melihat mangsa dalam keadaan terbaring lalu timbul nafsu syahwat yang membuak-buak. Suspek menceroboh masuk ke dalam bilik dan cuba mencabul serta merogol menantunya itu. Walau bagaimanapun, mangsa tersedar dan bertindak melawan serta menjerit meminta pertolongan. Disebabkan panik dan takut perbuatan jijiknya didengari oleh jiran tetangga, Khoiri segera ke dapur untuk mengambil sebilah pisau pemotong daging. Tanpa sebarang belas kasihan, suspek menindih tubuh mangsa dan mengelar leher mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Suami mangsa, Sueb yang baru pulang dari latihan kerja terkejut apabila mendapati pintu rumah berkunci dari dalam. Selepas berjaya masuk, dia melihat bapanya sedang duduk di ruang tamu dengan gelagat yang mencurigakan sebelum suspek melarikan diri ke rumah jiran. Sueb kemudiannya menemui isterinya dalam keadaan bersimbah darah di dalam bilik tidur. Fitria serta janin yang dikandungnya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke pusat perubatan. Pihak polis berjaya memberkas suspek yang bersembunyi di dalam sebuah bilik di rumah jirannya selepas pintu bilik tersebut terpaksa diumpil.

Semasa disoal siasat, suspek cuba memberikan pelbagai alasan palsu termasuk mendakwa mangsa tidak memasak untuknya dan marah kerana bebanan hutang anaknya. Namun pemeriksaan forensik dan keterangan saksi membuktikan motif sebenar adalah cubaan rogol yang berakhir dengan pembunuhan. Walaupun suspek berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun di bawah Pasal 338 dan 351 KUHP, kes ini berakhir apabila Khoiri dilaporkan meninggal dunia di hospital akibat komplikasi kesihatan semasa dalam tempoh perbicaraan pada awal tahun 2024.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Fitria Almuniroh Hafidloh Diniyah "